Tuesday 29 April 2014

Kissable Plant, Tumbuhan Paling Seksi Di Dunia!

Tumbuhan kecil ini dikenali sebagai Kissable Plant, Hooker Lips dan Hot Lips oleh penduduk tempatan. Mungkin kerana bentuknya begitu, maka gelaran seseksi itu diberikan.



Pun begitu, nama saintifiknya adalah Psychotria Elata. Seperti yang anda boleh lihat sendiri, tumbuhan ini sebenarnya kelihatan sangat pelik. Berbentuk seperti bibir wanita dewasa. Mungkin seperti Angelina Jolie, mungkin?

Selalunya, apabila tumbuhan berwarna merah, orang akan memanggilnya bunga. Namun, tidak bagi tumbuhan ini. Bertentangan dengan kelaziman hukum alam, ia adalah daripada kumpulan daun yang menyerupai bunga.

Fungsinya adalah untuk melindungi kuntuman bunga kecil berwarna putih dan buahnya yang belum matang di dalam daun yang unik ini. Apabila sudah berkembang dan mekar, ia akan mengubah warna kepada warna hitam atau biru tua.

Kissable Plant adalah sejenis tumbuhan renek dari keluarga Rubiaceae yang memiliki 1900 jenis spesis berbeza.

Warna merah menyerlah bukan hanya menarik perhatian manusia tetapi turut menarik minat haiwan lain seperti rama-rama, burung kelicap dan serangga penghisap madu.



'Bibir munggil' ini boleh ditemui di hutan hujan tropika di tengah dan selatan benua Amerika. Antaranya di Colombia, Costa Rica, Panama dan Ecuador.

Ia biasanya tumbuh di kawasan sungai ataupun di bawah pokok-pokok kanopi yang teduh. Tumbuhan ini juga dikatakan hanya tumbuh dua tahun sekali.

Bagaimanapun, sekarang ini, tumbuhan istimewa ini semakin jarang ditemui. Mungkin suatu hari nanti, ia akan lenyap di muka bumi kerana aktiviti pembalakan dan penebangan hutan yang tidak terkawal.

Satu lagi ancaman datangnya daripada pengumpul tumbuhan yang menjadikan ia koleksi berharga dan mengeluarkannya daripada habitat asal.

Hutan Amazon adalah hutan hujan tropika yang terletak di Amerika Selatan. Ia memiliki keluasan sehingga 2.1 juta batu persegi. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira sembilan buah negara memiliki sebahagian hutan ini apabila ia termasuk di dalam sempadan negara-negara tersebut.

Antaranya, Brazil 60 peratus, Peru 13 peratus dan Columbia 10 peratus. Manakala negara-negara lain seperti Venezuela, Ecuador, Bolivia, Guyana, Surinam dan French Guiana memiliki bahagian-bahagian yang sangat kecil di sempadan masing-masing.

Hutan ini telah wujud sejak 55 juta tahun dahulu. Ia merupakan syurga kepada pelbagai spesis hidupan liar. Dan kira-kira 80 peratus tumbuhan hijau di dunia terdapat di hutan hujan Amazon.

Dianggarkan 1,500 jenis spesis tumbuhan tinggi dan 750 lain-lain spesis boleh di dapati hanya dalam kawasan seluas 2.5 ekar di hutan tersebut.



Sejak beberapa dekad lalu, aktiviti penebangan dan pembalakan hutan bagaikan tidak terkawal. Hutan Amazon yang memiliki keluasan lebih kurang 200 buah padang bola sepak telah kehilangan lebih daripada 2,700 jenis spesis tumbuhan sama ada yang jarang ditemui mahupun yang biasa ditemui termasuklah Kissable Plant.

Bagaimanapun, memang agak mustahil untuk mengira satu persatu berapa jumlah yang masih tinggal.

Namun, apa yang pasti, kita perlu mengubah tabiat sendiri agar tidak terlalu rakus meneroka hutan hingga mengorbankan khazanah alam yang berharga ini.

No comments:

Post a Comment