Tuesday, 6 May 2014

1,001 Rahsia Khasiat Madu

Madu adalah salah satu penawar yang tertua di dunia. Walaupun rasanya manis, ia mengandungi pelbagai khasiat dan manfaat untuk manusia.


Khasiat Madu
Madu mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan manusia.

Madu mempunyai 1,001 kebaikan dan khasiat. Tidak dinafikan madu sa­ngat baik untuk sistem badan kita. Namun, sejauh manakah kita tahu khasiat madu?

Khasiat madu lebah bagi tujuan perubatan sememangnya diketahui umum. Hari ini madu lebah dianggap penting dalam industri penjagaan kesihatan yang meliputi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Menurut Dr Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), madu mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Secara semula jadi, madu berkhasiat dan mengandungi gula seperti fruktus dan glukos selain mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat. Ia juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.

Berikut adalah beberapa kebaikan madu yang boleh kita peroleh:

Melegakan sakit tekak dan batuk

Sejak beribu-ribu tahun lamanya, madu sering dikenali sebagai penawar semula jadi untuk mengurangkan sakit tekak dan batuk. Ini kerana madu mempu­nyai sifat antibakteria yang­ mampu menghalang jangkitan bakteria dan mengurang­kan kesakitan.

Merawat luka dan cedera ringan

Sebelum penciptaan peti kecemasan atau ‘first aid’, madu sering digunakan untuk merawat luka dan kecederaan ringan.

Dengan sifat antibakteria di dalamnya, madu mampu menghalang pembentukan bakteria pada kawasan yang cedera dengan berkesan dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Baik untuk sistem pencernaan badan

Masalah kembung perut dan angin sering mengganggu kita. Anda boleh mengambil madu kerana mempunyai kesan laksatif yang mampu mengelakkan sembelit dan masalah tidak lawas. Selain itu, madu juga efektif untuk melegakan sakit perut dengan pengambilan dos tertentu.

Menjadikan kulit lebih cantik

Vitamin dan mineral yang terkandung di dalam madu boleh mencantikkan, melembap dan menghaluskan kulit. Untuk wanita yang baru melahirkan anak, mereka disyorkan me­ngambil madu bagi menganjalkan kembali tubuh supaya kelihatan lebih cantik seperti sedia kala.

Kegunaan lain

Jika disapu pada rambut dan kulit kepala, madu boleh melebatkan rambut, membunuh kutu dan menghilang­kan kelemumur. Jika digunakan untuk meng­gosok gigi, ia boleh memutihkan dan mengilatkan gigi.

Bahan aktif di dalam madu yang dipanggil eucalyptol mampu bertindak sebagai antiseptik untuk mencegah jang­kitan kuman dan kulat.

Kebaikan madu dari sudut perubatan Islam

Madu memang dijadikan ubat dalam perubatan Islam berdasarkan dalil di dalam al-Quran dan hadis Nabi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia,” (Al-Nahl 16:68).

Sabda Rasulullah SAW “Barang siapa minum madu setiap bulan dengan niat mengikut nasihat al-Quran, maka Allah SWT akan me­nyembuhkannya daripada 77 penyakit.

“Barang siapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu.

“Sebaik-baik minuman ialah madu kerana ia dapat memusatkan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada”.

Seperti perubatan moden, kaedah mengambil madu perlu diambil mengikut dos yang ditetapkan sesuai dengan penyakit dialami. Jika dosnya kurang, ia tidak mengurang­kan sakit. Jika dosnya berlebihan pula, ia boleh membahayakan badan dan menimbulkan masalah lain.

Untuk kes tertentu, pesakit perlu menambah dos madu sehingga mencapai tahap penyakitnya boleh sembuh dengan izin Allah SWT.

Terdapat satu kisah Rasulullah SAW menyuruh seorang lelaki meminum madu untuk mengubati sakit perutnya.

Lelaki itu hanya me­ngambil dalam dos yang sama sebanyak beberapa kali. Ini menyebabkan sakitnya tidak pulih kerana dos madu yang diambil tidak mampu untuk membuang kotoran sepenuhnya di dalam perut.

Selepas lelaki itu datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu sakitnya belum pulih, Rasulullah SAW sangat faham dos yang diambil lelaki itu tidak mencukupi.

Nabi menekankan bahawa lelaki itu perlu terus menambah dos madu sehingga mencapai dos sesuai untuk merawat penyakit.

Dengan manfaat dan amalan perubatan dari dunia moden dan alternatif seperti perubatan Islam, madu tidak syak lagi adalah makanan yang bermanfaat untuk kesihatan kita.

Inilah masanya kita mendapatkan kebaikan daripada khazanah alam ciptaan Allah SWT yang tidak ternilai harganya. [Sumber]

No comments:

Post a Comment