Thursday 8 May 2014

Aziz Sattar Ikon Seni Sepanjang Zaman!

Bagi peminat filem Melayu lama khususnya filem seniman agung Tan Sri P. Ramlee, dialog “Walaupun rupamu tidak ku kenal, tapi lobang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku”, pastinya mengundang ingatan kepada filem komedi ‘Seniman Bujang Lapok’.


Aziz Sattar

Dialog itu yang pernah menjadi ikutan ramai diungkap oleh watak yang dilakonkan oleh seniman serba boleh tanah air Datuk Abdul Aziz Sattar atau nama sebenarnya Abdul Azeez Satta yang kembali ke rahmatullah awal hari ini.

Abdul Aziz yang mesra dengan panggilan Pak Ajis dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia sebelum dibawa berhijrah oleh ibu bapanya Satimah Jalal dan Satta Sawal ke Singapura ketika berusia tiga tahun.

Allahyarham yang dibesarkan di Kampung Panjang, Singapura hanya bersekolah setakat darjah lima di Sekolah Melayu Kota Raja dan bekerja sebagai pemandu lori untuk menampung kehidupannya.

Kehidupan awal beliau penuh onak dan ranjau, malah pernah ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun selepas dikatakan mencuri.

Beliau juga pernah dimasukkan ke penjara bersama bapa seniwati Roseyatimah, dikenali Wak Jasni selepas disyaki terbabit dalam rusuhan ‘Natrah’.

Kehidupan seniman ini mula berubah apabila beliau menjadi penterjemah di Studio Produksi Filem Melayu, Jalan Ampas selepas diajak oleh dua sahabat baiknya pelakon Salleh Kamil dan Shariff Dol.

Beliau yang pada masa itu aktif dalam Pancaragam Suara Hiburan Keroncong kemudian ditawar watak tambahan dalam filem ‘Putus Harapan’.

Perjalanan kariernya semakin berkembang apabila dapat memegang watak utama dalam filem Arjuna (1954) diikuti siri Bujang Lapok (1957-1961) dan Aksi Kucing (1966).

Uniknya kebanyakan dialog dalam filem lakonan beliau diungkap secara spontan dan sering menjadi ikutan peminat filem-filem Melayu malar segar.

Melalui filem-filem ini jugalah beliau menjadi sahabat baik kepada Allahyarham P. Ramlee.

Selain berlakon, Allahyarham juga pernah diberi kepercayaan mengarah filem selain menulis skrip antaranya filem ‘Si Badol’ (1979), ‘Da Di Du’ (1981), ‘Setinggan’ (1982), ‘Darah Satria’ (1984), dan Bujang Lapuk Kembali Da (1984).

Bakat seninya tidak dilupakan oleh penggiat seni era moden apabila sering diundang membintangi filem mereka antaranya ‘Cicakman’, ‘Anak Halal’, ‘Setem’ dan ‘Pontianak Harum Sundal Malam’.

Kehebatannya sebagai anak seni diiktiraf menerusi beberapa anugerah antaranya Anugerah Seniman Veteran ketika Festival Filem Malaysia ke-11 (1994), Anugerah Seniman Veteran (Lelaki) ketika Anugerah Bintang Popular (2000) selain Anugerah Artis Sepanjang Zaman (Lelaki) pada Festival Filem Malaysia ke-25.

Allahyarham turut dianugerah Tokoh Budaya Kolej Burhanuddin Helmi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada 2007 beliau dikurnia Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Aziz, 89, dimasukkan ke Hospital KPJ Ampang dua hari lepas setelah mengadu sakit dada dan meninggal dunia pukul 2 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan tujuh anak hasil empat perkahwinan sebelum berkahwin kali kelima dengan Datin Hashimah Delan pada 2006. –BERNAMA

Pernah DIHALAU Dari Set Oleh P. Ramlee

Aziz Sattar [2]

Allahyarham Datuk Aziz Sattar pernah menceritakan kepada Astro AWANI kisah di mana beliau dan Allahyarham S. Shamsudin dihalau dari set pengambaran filem Pendekar Bujang Lapok.

Allahyarham yang juga dikenali sebagai Pak Ajis berkata demikian ketika menjadi tetamu program Temujanji terbitan Astro AWANI sekitar tahun 2008 yang dihoskan oleh Dino Omar.

Menurut Pak Ajis, ketika itu mereka sedang melakonkan satu babak ketika S.Shamsudin menyalakan lilin untuk berjumpa dengan seniwati Allahyarhamah Roseyatimah.

“Saya tak tahu apa yang saya dan Sudin dah buat, tapi P.Ramlee tidak boleh menahan gelak sepanjang shooting sampai kami kena halau.

“Esok bila pengambaran disambung semula, selepas satu take, P. Ramlee gelak lagi sampai nak pecah lampu”

Mengimbas kembali, Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai Pengalih Bahasa di Jalan Ampas.

Walaupun bergaji kecil dari kerja sebelumnya, namun kerana minat yang mendalam pada bidang seni, Allahyarham sanggup.

“Satu hari, mereka tak cukup watak extra. Saya cakap, buat apa susah-susah cari, di sinikan ada. Siapa? Tanya mereka. Aku la!” cerita Allahyarham yang kemudiannya diiringi gelak tawa penonton program Temujanji.

Di situlah, bermula kerjaya Pak Ajis sebagai pelakon dan kemudiannya menjadi pelakon utama di dalam filem.

Sepanjang hayat, Pak Ajis sering mengagumi P. Ramlee.

Di dalam temubual ini, Pak Ajis ada menceritakan beberapa babak yang disyorkan olehnya kepada P.Ramlee.

“P. Ramlee seorang yang menghormati orang dan senang menerima pendapat orang lain. Ada beberapa babak yang saya cadangkan diterima olehnya.

“Seperti babak Pendekar Bujang Lapok, babak saya dibaling batu. Itu idea saya. Ketika itu juga P. Ramlee tukar posisi kamera dan rakamkan babak tersebut” cerita Allahyarham lagi.

Di akhir bicara, Pak Ajis yang sememangnya dikenali sebagai seorang yang suka buat orang ketawa, mengucapkan syukur apabila sehingga sekarang, filem-filem lakonan beliau dan rakan-rakan ditontoni ramai.

“Alhamdulillah, sehingga sekarang orang masih sukakan cerita P.Ramlee, orang kenal siapa itu Ajis, Sudin dan Ramlee.

“Itulah yang P. Ramlee katakan, seni kami bukan untuk wang, seni kami untuk masyarakat”

Pak Ajis atau sebenarnya Abdol Azez Bin Satta dilahirkan pada 8 Ogos 1925 dan telah kembali ke rahmatullah pada 6 Mei lalu akibat sakit jantung.

Pada zaman kegemilangannya, Allahyarham berlakon bersama-sama seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham S. Shamsuddin, sebagai trio Bujang Lapok pada tahun 1950-an.

Antara dialog Allahyarham yang masih diingati ialah menerusi filem Pendekar Bujang Lapok ketika membaca surat biarpun buta huruf.

“Aziz: Sekali syair daa!…Alkisah… Alkisah tersebutlah kisah sang kancil mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Firaun

P Ramlee: Cit!… mana Firaun pakai sultan”.

No comments:

Post a Comment