Tuesday, 6 May 2014

Jejaka Metroseksual Bukan 'Homoseksual'

“Ish tak nak lah aku dengan dia. Kau tengok rambut dan pemakaian dia, bergaya sakan sampai kalah aku. ‘Confirm’ dia tu sesuatu!”. Itu yang acap kali kita dengar daripada kawan perempuan atau gadis yang mudah jatuh hukum terhadap lelaki yang mementingkan soal gaya dan personaliti.


Metroseksual

Pada mereka, hanya perempuan boleh pening memikirkan gaya dan fesyen. Cuma perempuan yang akan memikirkan gaya hidup sempurna dengan begitu teliti dalam setiap perkara.

Jujurnya, itu semua pemikiran lama yang tidak patut wujud lagi pada 2014 ini. Mentaliti dan pandangan seumpama itu mungkin masih relevan dua dekad lalu namun bukan hari ini terutama golongan anak muda yang sudah sedia terdedah kepada dunia luar.

Mengapa lelaki tidak boleh mementingkan gaya? Adakah seseorang lelaki perlu kekal dengan imej selekeh, serabai dan tidak kemas? Adakah jenis lelaki seperti itu baru dianggap lelaki maskulin dan sejati?

Fikirkan sekali lagi jika ‘ya’ jawapan kamu

Sebenarnya istilah ‘metroseksual’ adalah perkataan Yunani iaitu ‘metropolis’ yang bermaksud ibu kota dan digabungkan dengan perkataan seksual. Terdapat lebih daripada 70 definisi yang memberikan interpretasi makna metroseksual dan istilah berkenaan muncul pertama kalinya pada 1994 yang diperkenalkan oleh penulis fesyen, Mark Simpson.

Istilah ini wujud bagi mewakili lelaki ‘urban’ yang muncul dalam masyarakat kita dengan kecenderungan mereka lebih pada aspek gaya. Membezakan mereka berbanding lelaki lain adalah dari segi mereka membelanjakan wang. Lelaki lain mungkin lebih gemar membeli alat kelengkapan rumah, kereta mahupun barangan elektronik.

Lelaki metroseksual pula lebih suka menghabiskan masa di butik pakaian dan aksesori selain salun kecantikan yang mengikut pemikiran kolot itu adalah tempat kegemaran wanita. Antara ciri jejaka metroseksual adalah mereka memiliki penampilan menarik terutama gaya dan peribadi diri. Jejaka metroseksual juga tidak terbatas pada satu-satu usia.

Lelaki metroseksual adalah mereka yang sangat mementingkan kecantikan dan penampilan diri. Semuanya perlu terbaik untuk dirinya. Mereka dilihat begitu mengambil berat dan menyayangi diri sendiri dan menyenangi gaya hidup metropolitan.

Mereka juga kebiasaannya terdiri daripada kelompok anak muda yang tinggal di ibu kota dan menjawat jawatan tinggi, hidup mewah, mencintai fesyen, melakukan perawatan wajah dan tubuh badan. Kebiasaannya wajah mereka rapi dan disapu bedak asas lengkap dengan pelembap bibir.

Mereka juga sering digambarkan mempunyai kulit bersih dan lembut hasil daripada penggunaan produk kecantikan berjenama.

Mungkin kecenderungan lelaki metroseksual untuk tampil sebegitu akibat desakan kehidupan kontemporari yang saban hari sentiasa memerlukan perubahan dan pembaharuan dalam aliran fesyen serta produk kecantikan. Metroseksual juga sering dikaitkan dengan barangan atau pakaian berjenama kerana mereka selalunya terdiri daripada golongan profesional muda yang begitu menggemari pakaian label antarabangsa.

Pertambahan golongan profesional muda yang berpendapatan tinggi juga menyebabkan syarikat produk kecantikan dan pakaian berlumba-lumba mengeluarkan barangan yang mampu memenuhi cita rasa golongan itu. Kini ramai jejaka urban metroseksual di Malaysia tidak lagi malu menonjolkan penampilan mereka kepada umum.

Namun perlu diingat, perubahan gaya hidup metroseksual bukan secara anatomi tetapi menerusi sikap dan perilaku. Jangan salah anggap, metroseksual bukan perlambangan seksualiti seseorang.

Ia sekadar usaha luar sedar seseorang lelaki untuk menempatkan diri mereka sebagai individu yang perlu diberi layanan istimewa. Jujurnya kita perlu menghormati hak orang lain untuk melakukan apa yang terbaik untuk diri mereka tanpa prasangka dan iri hati.

Jika berkemampuan, tidak salah untuk sesiapa saja berusaha memperbaiki penampilan diri supaya lebih berkeyakinan selain dapat menyerlahkan keperibadian mereka.

Tidak sepatutnya kita terus melekat dengan stigma kononnya lelaki sebegini adalah homoseksual dan cenderung menyukai jantina sama sedangkan ia langsung tidak berkaitan. Lelaki metroseksual adalah mereka yang bersih, kemas dan inginkan kesempurnaan pada diri mereka.

Logiknya, ada juga golongan homoseksual atau gay yang berpakaian selekeh dan berbau badan kerana tidak langsung mementingkan soal penjagaan diri. Ada juga lelaki berusia sudah mempunyai anak dan cucu tapi masih sibuk membelek baju di butik serta mengenakan pencuci muka setiap kali habis bermain bola.

Hari ini senario seperti ini lebih jelas kelihatan apabila begitu ramai lelaki yang sudah berkahwin masih sibuk membina badan di pusat kesihatan dan gimnasium bagi memiliki susuk tubuh yang cantik.

Betul ke aku metroseksual?

Ada juga kawan lelaki yang sibuk bertanya adakah mereka juga tergolong dalam golongan metroseksual. Kononnya saja nak membuat tinjauan diri sendiri. Tetapi lelaki metroseksual tidak bermaksud mereka tak gemar sukan atau hanya menonton filem romantis dan Twilight.

Kalau kamu jenis yang menghabiskan masa dan wang beli-belah untuk penampilan kamu, itu sudah bermaksud kamu jenis yang begitu mementingkan gaya. Jika kita lihat imej lelaki sejati seperti yang digambarkan dalam filem, mereka selalunya tidak kisah dengan penampilan diri.

Janggut tak cukur, rambut tidak sikat rapi dan seluar jeans tak basuh berminggu-minggu. Jika kamu seorang jejaka metroseksual, kamu nampak kacak dan kemas walaupun baru bangun tidur. Minyak rambut malam tadi pun masih ada melekat pada rambut.

Ini kerana lelaki metroseksual menghabiskan masa, wang dan tenaga untuk menjaga penampilan mereka.

Fakta kelakar pula, kalau kamu ada poster David Beckham dan Cristiano Ronaldo yang ditampal di dinding bilik tidur kamu tapi peliknya poster itu bukan poster mereka beraksi di padang bola sepak sebaliknya gambar mereka bergaya dengan produk ataupun poster daripada majalah.

Itu menunjukkan kamu jenis yang menjadikan mereka sebagai idola untuk kamu bergaya dan bukan ikon kerana kehebatan mereka di padang.

Kamu membawa beg tangan lelaki ketika berjalan-jalan di kompleks beli-belah. Beg tangan lelaki di sini bukan ‘pouch’ yang dipakai di pinggang macam orang selalu pakai ketika berniaga di pasar malam sebaliknya beg tangan lelaki yang berjenama seperti Louis Vuitton dan Guess.

Kamu mudah untuk bergaul dan dengan tenang boleh berbicara tanpa perlu rasa pelik ataupun terdiam tak tahu nak cakap apabila berbicara mengenai fesyen terkini ataupun minat wanita terbaru. Ataupun paling mudah dikesan kalau kamu jenis lepak minum kopi di Starbucks berbanding kedai mamak sambil membaca majalah.

Itu antara kriteria seseorang lelaki metroseksual. Kalau kamu begitu, jangan tanya lagi!

Kekasihku metroseksual

Kenapa mesti menjadi satu masalah kepada kamu kalau betul teman lelaki kamu jenis metroseksual. Mereka lebih tegas dalam soal penjagaan diri dan lebih lama membeli pakaian berbanding kamu?

Adakah kamu masih meragui kejantanannya? Itu semua salah dan satu kesilapan kerana sepatutnya kamu perlu gembira mempunyai kekasih hati jenis lelaki metroseksual memandangkan mereka lebih romantis dan bijak mengambil hati kamu.

Selain itu, mereka ada banyak lagi kelebihan istimewa yang patut kamu hargai. Antaranya;

1. Teman membeli-belah - Sering kelihatan di kawasan beli-belah dengan wanita sibuk berbelanja sakan dalam premis manakala pasangan mereka pula setia menunggu di luar. Bukan semua lelaki boleh melayan kerenah anda tatkala cerewet memilih barangan sehingga berjam lamanya.

Lain pula halnya jika kekasih kamu itu dalam kalangan lelaki metroseksual. Mereka tidak kisah untuk menunggu, malah sanggup menemani serta memberi pandangan mengenai pilihan anda.

2. ‘Dua jam untuk bersiap? - Mereka tidak pernah merungut jika anda bersiap dalam masa lama hanya untuk makan malam di kedai mamak berhampiran. Mereka juga apa kurangnya tatkala menghias rambut supaya sentiasa kelihatan kemas ketika bersama kamu.

3. Penyuntik semangat peribadi - Sanggupkah kamu untuk mempunyai kekasih yang jauh lebih kemas dan sihat tubuh badannya daripada diri kamu sendiri? Dengan dia di sisi, kamu akan cuba sehabis baik untuk tampil seiring dengan si dia.

Secara tidak langsung, ia dapat membakar semangat kamu untuk jadi lebih baik dengan mengawal pemakanan seharian, bersenam untuk tubuh badan yang lebih menarik serta tampil dengan gaya yang sedap mata memandang.

4. Lebih banyak persamaan - Kebiasaannya, lelaki metroseksual gemar perkara yang berkaitan dengan seni, muzik dan fesyen. Dia boleh menjadi teman baik kamu untuk melakukan hobi kalian bersama. Tiada lagi keluhan dan rasa tidak puas hati sebelah pihak yang tidak bersetuju dengan pilihan lokasi bertemu janji.

5. Wangi - Sesetengah lelaki memandang enteng perihal kebersihan serta penampilan diri dan ini yang menjadikan perasaan kurang senang bersarang dalam hati pasangan mereka. Sebagai contoh, bau badan yang ketara tanpa palitan wangian benar-benar mengganggu fokus ketika ‘dating’.

Tetapi jika berdamping dengan kekasih metroseksual, kamu anda seakan sentiasa mahu mendakapnya dengan wangian yang begitu menyenangkan justeru membangkitkan rasa selesa. [Sumber]

No comments:

Post a Comment