Thursday 25 September 2014

Awal, Scha saling membantu



MELIHAT reaksi wajah pasangan itu ketika bercerita mengenai ragam anak pertama mereka Lara Alana, jelas membuktikan bahawa Lara membawa semangat baharu dalam kehidupan mereka.

Kosong pengalaman dalam penjagaan anak, namun hal itu tidak sedikit pun mematahkan semangat Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya memastikan permata mereka mendapat kasih sayang secukupnya.

Mereka terpaksa berkorban masa, tetapi sebagai ibu bapa itulah lumrah yang menjadi tanggungjawab berat untuk dipukul sepanjang membesarkan anak.

Bagaimanapun pada sisi lain, karier seni masing-masing tidak dilupakan dalam usaha meneruskan kelangsungan kehidupan.






Bercerita lanjut mengenai ragam yang terpaksa dihadapi oleh pasangan ini, Scha berkata, dia terpaksa berkorban masa dan tenaga sejak kehadiran Lara dua bulan lalu. Di samping itu, mahu tidak mahu dia juga terpaksa belajar selok-belok dalam menjaga bayi pertama mereka.

"Sejak saya melahirkan Lara, Awal banyak melakukan segala perkara. Bermula dengan memandikan Lara sehingga menidurkan dia, saya rasa dia lebih banyak menjaga Lara. Kini giliran saya pula menjaga Lara memandangkan Awal sibuk dengan kerjanya.

"Apa yang menjadi cabaran utama kepada saya ialah ketika hendak memandikan Lara. Pada mulanya saya sangat takut untuk memandikan Lara memandangkan saya tidak mempunyai pengalaman langsung dalam hal sedemikian. Namun kini, saya sudah biasa dan menjadi rutin saya untuk memandikannya," katanya ketika ditemui pada pelancaran koleksi terbaharu jenama kulit Ecco di Bee Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SCHA dan Awal menerima pandangan semua pihak terhadap mereka dengan hati yang terbuka. Bagaimanapun, pandangan tersebut biar dilontarkan secara berhemah.

Scha menambah, mereka juga berkorban masa apabila terpaksa bangun setiap dua jam pada tengah malam untuk memastikan Lara tidak menangis kehausan susu. Sementelah, dia berusaha untuk memberi anaknya susu badan.

"Perkara yang banyak menguji kesabaran kami ialah ketika terpaksa bangun malam untuk memastikan Lara tidak menangis. Kami sangat risaukan Lara apabila dia mula menangis dan hauskan susu. Sememangnya ia bukan tugas yang mudah.

"Di samping itu, jika dahulu kami hanya mengambil masa dua jam sahaja untuk bersiap, kini kami terpaksa mengambil masa empat jam untuk bersiap disebabkan banyak barang yang perlu dibawa termasuk barangan keperluan Lara," katanya yang mengakui telah bersedia berhadapan dengan situasi tersebut.

Ditebak soalan mengenai kritikan yang diterima pasangan ini ketika mengambil keputusan untuk membawa anak mereka yang masih kecil untuk melancong ke Perth, Australia baru-baru ini, pasangan ini mengakui sudah meminta pandangan profesional mengenai hal tersebut.

"Pada mulanya saya agak gusar untuk membawa Lara bercuti ke Perth baru-baru ini memandangkan dia masih kecil. Tetapi setelah meminta pandangan daripada doktor, ia tidak menjadi permasalahan kepada bayi untuk untuk pergi bercuti. Malah ia dikatakan mampu untuk menguatkan sistem imun badan bayi.

"Jadi, kami rasa ia tidak menjadi permasalahan untuk membawa bayi menaiki kapal terbang dan bercuti kerana ia sememangnya bagus untuk bayi tersebut. Namun demikian, saya tidak menafikan mengenai risiko keselamatan. Ahamdulillah segala berjalan dengan lancar.

"Lagipun ketika hamil, saya dan suami banyak menghabiskan masa bercuti dan pernah ke beberapa tempat peranginan termasuk Indonesia, London, Thailand dan Terengganu, perkara itu telah menjadi kebiasaan kepada saya," ujar Scha yang bercadang untuk membawa anak mereka bercuti ke Amsterdam menjelang awal tahun depan.


SCHA dan Awal mahu menjaga Lara sendiri sebelum mengambil khidmat pengasuh selepas ini.

Tiga bulan

Meninggalkan cerita kebahagiaan mereka dengan kehadiran Lara, Scha ditanya tentang kesediaannya kembali aktif selepas menjadi ibu.

Kata Scha, tidak pernah terlintas langsung di dalam hatinya untuk berhenti dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan. Bagaimanapun, akuinya dia telah meletakkan satu tempoh bagi dirinya untuk memberi keutamaan kepada anaknya terlebih dulu sebelum kembali aktif di dalam bidang seni.




"Buat masa sekarang saya tidak terfikir untuk menerima sebarang tawaran lakonan kerana saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada Lara. Lagipun, kami masih lagi belum menemui penjaga yang sesuai untuk menjaga anak kami. Saya tidak mahu menganggu suami saya kerana dia juga sibuk dengan kerjayanya.

"Insya-Allah pada masa akan datang saya akan mencari pengasuh untuk menjaga anak kami dalam masa terdekat. Mungkin selepas memperolehi pengasuh yang sesuai saya akan terus bergiat aktif kembali. Namun buat masa sekarang, untuk tempoh tiga bulan ini, saya dan Awal akan menjaga anak kami sendiri secara bergilir-gilir," katanya yang masih mengacara program Muzik-Muzik untuk TV3.

Scha menambah, walaupun bercadang untuk mencari pengasuh untuk anaknya, dia tetap akan mengawasi permata hatinya itu dari semasa ke semasa.

"Saya mahu anak saya membesar di depan mata dan saya mahu dia mendapat kasih sayang yang secukupnya daripada kami," kata Scha tegas.

View the original article here

No comments:

Post a Comment