Tuesday 23 September 2014

Keserasian Ajak, Tasha


PERTAMA kali digandingkan sebagai hos Galaksi, Ajak dan Tasha mampu mengemudi program tersebut dengan baik pada siaran pertamanya 4 Julai lalu.

EMPAT tahun dikendalikan Ikhwan yang juga penyampai Hot FM, pada 4 Julai lalu program informasi hiburan sensasi di TV9, Galaksi memperkenalkan wajah baharu sebagai hos program berkenaan.

Tempat Ikhwan atau nama sebenarnya, Mohd. Khairul Ikhwan digantikan oleh pelakon yang semakin mengukir nama dalam industri seni tanah air, Tasha Shilla. Tidak hadir berseorangan, Tasha digandingkan bersama pelawak terkenal daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak.






Selepas dua bulan mengemudikan rancangan itu, keserasian antara Tasha dan Ajak sebagai pengacara dilihat mampu menggamatkan malam hari anda dengan gosip-gosip artis yang segar berserta pelbagai segmen menghiburkan.

Program Galaksi yang bersiaran setiap hari Jumaat pada pukul 8.30 malam itu tidak sekadar memaparkan gosip hangat artis tanah air, namun lebih menekankan konsep berita hiburan yang telus dan profesional.

Penerbit rancangan tersebut, Nas Ahmad menyifatkan pemilihan Tasha Shilla dan Ajak Shiro sendiri dibuat berdasarkan keserasian yang dimiliki dua selebriti itu.

Tasha dan Ajak sebenarnya pernah dijemput menjadi artis jemputan ke studio Galaksi.

“Dalam ramai-ramai artis jemputan yang hadir dalam episod lepas, kami melihat bakat Tasha dan Ajak yang paling sesuai untuk digandingkan dalam rancangan ini.

“Selepas mereka menjadi pengacara, maklum balas daripada peminat yang kami terima sangat baik. Saya tidak takut untuk mengetengahkan artis sebagai pengacara rancangan ini kerana sesiapa sahaja boleh dikaitkan dengan gosip.

“Seseorang selebriti itu harus berdepan dengan gosip dan perlu bijak menanganinya asalkan berada pada tahap yang masih terkawal,” jelas Nas Ahmad.

Tasha Shilla dan Ajak Shiro yang ditemui di Studio B, Sri Pentas, Bandar Utama mengakui, awalnya mereka gugup mengendalikan rancangan secara langsung.

Biarpun masih hijau dalam dunia pengacaraan, lama-kelamaan, keserasian dapat ditemui dan akhirnya segala yang kekok dapat diatasi.

Bagi Tasha sendiri, ini merupakan kali pertama dirinya terbuka hati untuk menerima tawaran menjadi pengacara.

Jika sebelum ini dirinya pernah diberi banyak tawaran mengacara, namun dek kerana kepadatan tugas dalam jadual memaksa dirinya menolak tawaran itu.

Pernah menjadi pengacara karpet merah Anugerah Blockbuster, Tasha masih menyimpan rasa gementar.




“Perasaan gementar itu memang ada tetapi semua benda tidak akan menjadi kalau kita tidak mencuba. Penerbit sendiri banyak memberi tunjuk ajar. Pengalaman beliau dalam pengacaraan banyak membantu saya mengenali selok-belok tugas ini.

“Walaupun ini kali pertama bekerja dengan Abang Nas (penerbit), namun pertolongan daripada kru penerbitan banyak membantu. Mereka tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada saya. Ternyata, lakonan dan pengacaraan sangat berbeza.

“Tugas mengacara memerlukan seseorang kena bersedia untuk sebarang reaksi spontan,” ujar pelakon yang sedang mengisi slot Akasia, Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu ceria.

Ditanya perasaan pertama kali bergandingan dengan Ajak, Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd. Razak, 27, bersyukur dan bangga kerana mereka mudah mencapai persefahaman.

“Ajak seorang yang sangat kelakar. Sebagai seorang pelawak, Ajak dapat mengalirkan tenaganya ketika di hadapan kamera. Bekerja dengan rakan setugas yang sebegitu membuatkan saya juga berasa selesa,” tambah Tasha.

Sejujurnya, Ajak juga mengakui, tugas sebagai seorang pengacara bukanlah sesuatu yang mudah. Membuka isi hatinya, Ajak awalnya berasa serba salah untuk mengambil alih tempat Ikhwan memandangkan mereka berdua merupakan rakan baik.

“Mulanya saya agak berat hati, namun ketika bertemu Ikhwan, saya terkesan dengan kata-katanya. Dia membuatkan saya tersedar. Ikhwan katakan kepada saya, ini semua fitrah. Suatu hari nanti, jika bukan saya yang duduk di tempat dia, tetap akan ada orang lain sebagai pengganti.

“Saya fikir semula apa yang dia cakapkan kepada saya dan mengakui, perkata itu logik. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjadi hos Galaksi menggantikan Ikhwan.

“Saya galas tanggungjawab yang diberikan kepada saya dengan baik mengikut apa yang telah tertulis untuk saya. Saya juga bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan rakan sekerja seperti Tasha.

“Saya tidak pernah berjumpa Tasha sebelum kami memulakan tugas sebagai hos Galaksi. Bayangkan, pada episod pertama, kami berjumpa beberapa minit sahaja sebelum kami bersiaran. Kami berjaya menyesuaikan diri dengan karakter masing-masing,” luah Ajak atau nama penuhnya, Mohd. Hanaffi Razak.

Selain Galaksi, bapa kepada dua cahaya mata itu turut bertindak sebagai pengacara sebuah program hiburan di saluran Indopack.

View the original article here

No comments:

Post a Comment