Sunday, 21 September 2014

Mariah Carey sanjung Malaysia



KEMUNCULAN Mariah pada konsert Mariah Carey Live In Malaysia 2014 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini memang dinantikan peminatnya.

PENYANYI terkenal dunia, Mariah Carey yang bakal mengadakan konsertnya, Mariah Carey Live In Malaysia 2014 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini, nyata menyanjungi Malaysia.

Melalui laman Facebook miliknya, pelantun lagu Hero itu menulis Happy Malaysia Day! Stay strong! See you in Kuala Lumpur on 22 October (Selamat Hari Malaysia. Kekal kuat! Jumpa anda semua di Kuala Lumpur pada 22 Oktober).






Hakikatnya, kiriman status tersebut membuatkan peminat-peminat penyanyi tersohor itu teruja.

Tidak hanya ucapan tersebut, penyanyi berusia 45 tahun itu juga melayangkan kerinduannya untuk mengadakan sekali lagi konsert di Malaysia selepas menjayakannya pada tahun 2004.

Mariah juga menyifatkan konsert yang pernah dijayakan pada 2004 itu antara konsert terbaiknya kerana kehangatan yang dirasai daripada peminat-peminat di negara ini.

Dianjurkan oleh IME Productions dan disokong oleh Malaysia Major Events sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, konsert Mariah itu nanti bakal terpahat momen indah buat para pencinta penyanyi antarabangsa itu.




15,000 peminat

Menurut Pengurus Besar Major Events, Tony Nagamaiah, pihaknya menganggarkan seramai 15,000 peminat Mariah termasuk 3,000 orang dari luar negara bakal hadir ke konsert itu nanti.

"Konsert Mariah Live In Malaysia 2014 ini adalah antara usaha terbaik yang dapat menyumbang kepada kedatangan pelancong asing ke Malaysia. Ia sekali gus mampu menampilkan Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian kegemaran di Asia Tenggara. Lebih-lebih lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Kami juga menganggarkan konsert Mariah yang bakal diadakan itu mampu meraih pulangan sebanyak RM15 juta," jelasnya.

Menurutnya, pihak Malaysia Major Events bersyukur kerana dapat memberi peluang istimewa kepada peminat-peminat Mariah untuk menyaksikan persembahan idola kesayangan serta mendengar nyanyian lagu-lagu kegemaran mereka.

Harga tiket yang dikenakan untuk konsert Mariah adalah RM680 untuk VVIP (tempat duduk bernombor), RM580 (tempat duduk bernombor), RM480 (tempat duduk bernombor), RM380 (tempat duduk bernombor), RM280 (tempat duduk bebas) dan RM120 (tempat duduk bebas).

Orang ramai yang ingin membuat sebarang pembelian tiket konsert tersebut, boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 03 -9222 8811 atau secara dalam talian menerusi ejen jualan tiket rasmi iaitu www.ticketcharge.com.my.

Peminat juga boleh melayari laman Facebook IME iaitu www.facebook.com/imepmy.

View the original article here

No comments:

Post a Comment