Monday 22 September 2014

Maya Karin Jarak, masa jadi penghalang


ANTARA sebab kukuh yang mengaitkan beberapa siri kembara Maya Karin ke luar negara sejak tahun lalu ialah bertemu kekasih hati. Biarpun begitu, empunya diri membiarkan teka-teki itu bersarang dalam fikiran peminatnya.

Melalui pelbagai fasa kehidupan termasuk kisah peribadi yang sering diintai masyarakat, Maya akui adakalanya nilai privasi yang menjadi milik khalayak antara korban terbesar baginya setelah memilih untuk ke bidang seni.

Kembali mengungkit perjalanan kisah cintanya bersama jejaka luar negara yang masih dirahsiakan identitinya, akui pemilik nama sebenar Maya Karin Roeckle, 35, hubungan yang terbina sejak pertengahan tahun lalu itu sudah berderai menemui noktah.

Jelas Maya, sebab utama yang menjadikan hubungan itu goyah apabila masing-masing mulai sibuk dengan karier dan jarang berkesempatan meluangkan waktu bersama.






"Hidup dan kerjaya saya ikut arus. Saya bukan seorang wanita yang melawan gerak angin tapi sekali-sekala jika perlu saya akan memberontak.

"Sekarang saya sudah kembali solo dan ada banyak sebab yang memutuskan hubungan kami berdua. Salah satunya kerana kami terlalu sibuk hingga tiada ruang untuk diluangkan bersama-sama.

"Selain itu, faktor jarak menjadi penghalang percintaan kami untuk kembang dengan sempurna. Susah juga untuk terbang ke sana setiap masa, bagi saya hubungan tidak patut terlalu susah dan tidak harus terlalu berjuang untuk mempertahankannya," lentur bicara Maya ketika sesi fotografi eksklusif Kosmo! di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SETAHUN cukup dua filem, itu misi kerja Maya bagi memberi ruang untuk kehidupan peribadinya sendiri.

Berpisah cara baik

Maya berpegang kepada prinsip profesionalisme, memandangkan dia juga terikat dengan kontrak dan beberapa projek di Malaysia, tidak harus membiarkan dirinya hanyut kerana cinta.

"Buat masa sekarang Tuhan tidak berikan saya jodoh yang kuat, jadi mungkin selepas ini saya perlu membuka hati kepada individu lain pula. Ya, kami berpisah dengan cara baik atas dasar keadaan yang tidak mengizinkan.

"Saya sendiri pun ada komitmen lain di Malaysia, ada kontrak dan janji yang perlu saya tunaikan, jadi saya perlu profesional," tambahnya.

Selain Maya yang pernah beberapa kali terbang ke luar negara untuk bertemu jejaka berkenaan, pernah sekali jejaka itu bertamu di bumi Malaysia untuk berjumpa dengan Maya sendiri.

Enggan membiarkan dirinya terpukul dengan perkara yang berlaku dalam kehidupan peribadinya, Maya kini sibuk menguruskan kerjayanya yang semakin berkembang.

Maya dalam Katerina

Selain rangka promosi filem terbaharunya Lagenda Budak Setan 3, Maya sekali lagi mengikat janji dengan produksi SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging yang sedang bermain di pentas Istana Budaya.

Filem Lagenda Budak Setan 3: Kasyah merupakan filem terakhir trilogi novel tulisan Ahadiat Akashah yang menampilkan Maya sebagai pendukung peranan utama, Katerina.

"Watak Katerina lebih matang, sama seperti Maya yang sebenar. Dalam percintaan dan kehidupan, kadang-kadang apa yang kita mahu tidak semestinya kita akan dapat. Begitu juga jodoh yang adakalanya tidak kesampaian.

"Katerina lebih matang untuk menempuhi fasa berkeluarga dan berdepan pelbagai cabaran termasuk alam perkahwinan dan mempunyai cahaya mata," kongsi Maya yang tidak berdepan masalah untuk mencari keserasian bersama Farid Kamil.


MAYA KARIN yang kini muncul dengan filem Lagenda Budak Setan 3: Kasyah memberitahu watak Katerina yang dipegangnya mempunyai banyak persamaan dengan dirinya.

Melihat graf lakonan Maya sepanjang 13 tahun usianya dalam industri lakonan, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 itu menegaskan, dia hanya akan memperuntukkan waktunya untuk berlakon dua buah filem setahun.

Relevannya, Maya perlu meneliti dan memilih karya yang betul-betul menarik, berkualiti dan mencabar kredibiliti lakonannya.




"Saya juga enggan memaksa diri saya melakukan perkara yang tidak terdaya saya lakukan. Jika begitu, hasilnya pun kurang memberangsangkan.

"Apabila saya muncul dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam pada tahun 2004, karier saya memuncak dengan tiba-tiba. Beberapa buah filem saya seterusnya masih menjadi bualan dan kemudiannya ada gelombang kedua muncul menerusi Ombak Rindu.

"Saya bersyukur kerana tidak dilupakan dalam industri ini dan khidmat saya masih diperlukan. Kadang-kadang saya pun rasa tidak percaya apabila masih diberikan peluang," katanya penuh bersyukur.

View the original article here

No comments:

Post a Comment