Sunday 28 September 2014

Momentum 22 tahun AC Mizal



PERJALANAN karier Datuk AC Mizal boleh diibaratkan seperti luasnya hamparan sebuah lautan. Dalamnya tidak mampu diduga, geloranya pula tidak boleh dijangka. Begitupun, tuan empunya diri, Mizal Zaini, 43, masih cekal dan utuh menongkah badai yang menjengah kehidupannya bertubi-tubi.

Berkesempatan bertemu dengan pengacara Maharaja Lawak Mega itu pada majlis pelancaran single terbaharunya, Paranoid, di Skybar, G Tower, Kuala Lumpur baru-baru ini, wawancara singkat yang diatur usai majlis berkenaan terisi penuh makna.






Tidak jemu berkongsi cerita, beliau yang memulakan karier sebagai anggota kumpulan 4U2C berkata, banyak dugaan yang telah dilaluinya sepanjang 22 tahun terlibat dalam dunia seni.

"Sepanjang tempoh itu, saya pernah 'jatuh' beberapa kali," ujarnya memulakan bicara.

"Selepas zaman kegemilangan bersama kumpulan 4U2C, nama saya mulai jatuh. Kemudian, saya bangkit semula menerusi watak Inspektor Mazlan menerusi drama bersiri kepolisan, Gerak Khas.

"Ketika isu rumah tangga bersama bekas isteri menjadi tatapan umum, saya tersungkur sekali lagi. Ketika itu, saya berasa begitu tertekan dengan tohmahan yang dilemparkan oleh orang ramai. Saya pernah berasa tawar hati terhadap dunia hiburan. Namun, isteri saya, Emylia Rosnaida banyak memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan," ujarnya lagi.

Mengimbas kembali polemik yang melanda selepas berpisah dengan bekas isterinya, Shafnie Zainuddin pada 17 Oktober 2001, AC berkata, beliau lebih sedih memikirkan situasi Emylia berdepan kritikan dan tohmahan. Apa yang dilalui oleh Emylia lebih teruk berbanding apa yang dialami oleh dirinya sendiri.

"Itu merupakan saat yang paling getir dalam hidup saya. Selama sembilan tahun saya terpaksa menerima kritikan daripada khalayak umum.

"Paling menyedihkan, isteri saya merupakan individu yang paling hebat menerima kecaman. Saya tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Saya hanya mampu berdiam diri kerana tidak mampu mengawal apa yang dilemparkan oleh masyarakat," kata AC Mizal yang menyifatkan isterinya Emylia sebagai tulang belakang yang mendukungnya bangun dan berdiri teguh dalam karier seni.



AC MIZAL kini muncul dengan single terbaharu berjudul Paranoid bergandingan dengan bintang dari seberang, Luna Maya.

Ketika disoal tentang nilai privasinya sebagai seorang artis dan individu normal, pelakon filem Cicak-Man itu mengulas, jika seseorang itu bersedia untuk menjadi selebriti, maka dia juga perlu mempersiapkan diri untuk dijadikan milik mutlak masyarakat.

"Karier kita sebagai seorang artis tidak mempunyai sebarang tarikh luput, apatah lagi jangka hayat. Selagi kita bernafas, selagi itu kita menjadi hak kepada masyarakat.

"Jadi, kita perlu bersedia menghadapi apa jua kemungkinan pada hari yang mendatang. Terpulang pada diri sendiri sama ada ingin meninggalkan dunia hiburan dengan cerita positif atau negatif," katanya lagi.

Anggap tubuh pejabat bergerak

Sentiasa kelihatan segak dan kemas sepanjang masa, melihat imej sebegitu ramai yang menyangka AC Mizal sebagai penggemar pakaian berjenama. Sesuai dengan kestabilan karier ketika ini, imej merupakan aset penting kepada AC.

Bagi AC Mizal, imej sebagai simbolik yang mewakili kehadiran itu dianggap sebagai sebauah 'pejabat bergerak'. Pejabat bergerak itulah yang mempersembahkan jawatannya sebagai pengacara, pelakon dan penyanyi.

"Kalau mahu menjadi artis, kita harus ibaratkan diri kita ini sebagai pejabat. Bayangkan, jika pejabat kita masih menggunakan peralatan dan perkakasan lama, adakah ia mampu membantu melancarkan kerja sehari-hari?

"Begitu juga dengan diri kita. Saya bukan mahu menunjuk-nunjuk, tetapi itu adalah nilai tambah jika mahu bergelar artis. Secara tidak langsung, bergelar artis ialah bisnes untuk seseorang itu pandai 'menjual diri', tetapi dengan cara yang baik.

"Kita tidak tahu bila wartawan akan datang melakukan temu bual sambil mengambil gambar. Justeru, apabila kita berpakaian dengan sempurna, kita akan sentiasa kelihatan bersedia dan mampu mewakili diri dengan baik," katanya sambil mengakui tidak hanya mementingkan jenama atau harga pakaian yang mahal semata-mata untuk kelihatan kemas.


BEBERAPA kali jatuh dan kembali bangkit, AC Mizal menamakan isterinya Emylia sebagai tulang belakang yang menyokong dan penentu jalan kariernya hari ini.
Advertisement


Melanjutkan perbualan mengenai rutin penjagaan penampilannya, beliau amat mengagumi dedikasi yang ditunjukkan oleh isterinya. Emylia, bukan sekadar isteri bahkan pengurus peribadi yang bertindak menentukan stail dan gabungan busana yang akan dikenakan setiap kali mahu membuat persembahan.

"Apa sahaja yang saya pakai merupakan hasil seliaan isteri saya. Kami akan pergi membeli-belah bersama-sama, tetapi dia yang akan menentukan apa yang sesuai dan selari dengan imej saya.

"Saya harus berterima kasih kepadanya kerana banyak membantu penjenamaan saya sebagai AC Mizal seperti hari ini. Tambahan pula, kami turut berkongsi minat tentang berfesyen. Jadi soal tata rias bukan satu masalah yang besar," katanya lagi.

Momentum populariti

Menyentuh pengiktirafan sebagai Pengacara Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular 2014, AC menyifatkan anugerah itu sebagai pencapaian paling tinggi yang pernah dikecapinya.

Walaupun mengambil masa yang agak lama untuknya menggenggam trofi berkenaan, namun, beliau sangat bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepadanya.

"Kadang-kadang, ada yang mendapat pengiktirafan dengan kadar yang cepat dan ada yang lewat. Mungkin sejak kebelakangan ini, cara saya mengacara mendapat tempat di hati penonton. Saya sangat bersyukur dengan kepercayaan itu," getusnya.

Ditebak dengan perancangannya masa depan, beliau berkata, momentum yang ada perlu dikekalkan supaya kariernya berjalan seiring dengan pencapaian berkenaan.

"Anugerah bukan sekadar pengiktirafan semata-mata, malah, ia menjadi pembakar semangat untuk terus engejar cita-cita.

"Bila saya menang kategori Pengacara Popular, saya tahu ini jalan yang betul buat saya. Mungkin pada masa akan datang, saya akan cuba jalan yang berlainan pula," katanya sambil tersenyum.


GAMBAR keluarga yang dirakamkan pada tahun 2009 ini menunjukkan AC bahagia bersama isterinya, Emylia dan dua anak mereka, Muhammad Reeve Damien dan Fea Eryssa.

Gila tonton DVD

Sehelai demi sehelai kisah jatuh bangun kariernya diselak. Berawal dengan jerih perih menempa nama sebagai penggiat seni, sehinggalah kisah personaliti dan keperibadian anak jati negeri Johor itu memasuki bicara.

Nampak lucu ketika berada di atas pentas, hakikatnya, beliau merupakan seorang yang pendiam dan suka menghabiskan masa terluang bersama keluarga di rumah.

"Saya sebenarnya seorang yang pendiam. Apa yang peminat lihat dan tonton menerusi kaca televisyen sebenarnya bertentangan dengan sifat peribadi saya.

"Saya gemar berfikir dan mengkaji. Selain itu, jika ada waktu, saya sering mencari perkara-perkara baharu untuk dibuat dalam persembahan. Jika tidak terlibat dengan sebarang sesi penggambaran, saya lebih selesa menghabiskan masa di rumah," tuturnya yang turut gemar mencuci keretanya setiap hari.

Akui AC, selain menghabiskan masa di rumah, beliau juga gemar menonton filem secara maraton menerusi cakera padat digital (DVD).

"Saya sangat gilakan DVD. Saya boleh berbelanja sehingga RM500 setiap kali membeli koleksi DVD baharu.

"Jika mood menonton DVD itu tiba, saya mampu menghabiskan sepuluh tajuk filem dalam masa empat hari sahaja. Kalau dilanggar kereta sekali pun saya tidak sedar," tuturnya sambil tertawa.




Pitbull

Menyentuh mengenai single terbaharunya, Paranoid, lagu yang menampilkan Luna Maya sebagai artis undangan itu, merupakan projek pertama AC bersama syarikat rakaman Sony Music.

Menurut beliau, terdapat 11 lagi buah lagu lagi bakal dirakamkan berserta klip video bersama 11 orang artis atau penyanyi yang berbeza.

"Saya menandatangani kontrak bersama Sony Music Malaysia untuk projek khas ini sekitar bulan Mei lalu. Menerusi projek tersebut, saya akan merakamkan sebanyak 12 buah single dan setiap karya akan menampilkan artis yang berbeza.

"Bagi saya, lagu Paranoid merupakan lagu yang sangat istimewa. Selain keunikan vokal Luna Maya, lagu ciptaan Jeff A To Z ini telah melalui proses mastering dan adun semula oleh jurutera bunyi bernama Heidi di Sweden," ujarnya sambil memberitahu tiada had masa yang ditetapkan untuk merakamkan lagu-lagu berkenaan.

Disoal mengenai perancangan masa hadapan, AC berkata, beliau memasang cita-cita mahu berkolaborasi dengan rapper terkemuka daripada Amerika Syarikat, Pitbull.

"Dia merupakan idola saya. Dalam masa lima tahun lagi, mungkin nama Pitbull telah tercatat sebagai salah seorang artis yang telah berduet dengan saya," katanya mengakhiri bicara.

View the original article here

No comments:

Post a Comment