Monday 22 September 2014

Pemuda 26 tahun takluk hati Nita


NITA kini mahu kembali aktif dalam bidang seni. Dia bakal muncul dengan single Jikalau Kau Tahu.

PERNAH melalui fasa cinta dengan penyampai radio Era FM dan juga bekas bintang Akademi Fantasia, Zahid suatu ketika dahulu, kini, cerita cinta penyanyi yang lahir daripada program realiti televisyen Malaysian Idol, Norhanita Hamzah, atau lebih dikenali sebagai Nita dilihat sepi tanpa sebarang khabar berita.

Menginjak usia 34 tahun, sudah semestinya, gadis sepertinya perlu mencari teman hidup dengan secepat mungkin. Mengakui dirinya sebelum ini sibuk dengan karier seni dan aktiviti sebagai seorang guru penyelam, Nita kini komited untuk menjalinkan hubungan serius.






Perkenalan selama lapan bulan bersama seorang jejaka menerusi kenalannya membibitkan perasaan cinta.

Nita yang membuka ruang untuk kaum yang bernama lelaki mengakui dia tidak pernah memilih apabila berkaitan isu lelaki walaupun lelaki tersebut hanya bekerja sebagai ‘office boy’ sahaja.

Apa yang menjadi kepentingan bagi gadis yang berasal dari Kuala Lumpur ini ialah hati budi seseorang lelaki. Budi pekerti dan perasaan saling memahami merupakan keutamaan kepadanya.

Bertemu tuan empunya badan pada sidang akhbar konsert amal kanser payu dara Pinktober Hard Rock Cafe Kuala Lumpur yang bakal diadakan pada 19 Oktober di Hard Cafe Kuala Lumpur, Nita bercakap tentang hubungannya dengan lelaki yang diperkenalkan sebagai Fareez itu.

Kosmo!: Setelah kegagalan percintaan Nita dengan bekas bintang Akademi Fantasia, Zahid, adakah anda kini mempunyai teman lelaki baharu dalam kehidupan anda?

NITA: Ya, saya kini dalam proses mengenali seorang jejaka Melayu yang dikenali sebagai Fareez. Dia merupakan rakan kepada kenalan saya. Kami mula mengenali antara satu sama lain secara serius pada Disember tahun lepas. Sedar tidak sedar kini kami telahpun menjalinkan hubungan selama lapan bulan.

Bagaimanakah jejaka tersebut dapat menawan hati anda?

Dia (Fareez) kini berusia 26 tahun. Walaupun umur kami berbeza sebanyak lapan tahun tetapi dia merupakan seorang yang sangat matang. Dia banyak menasihati saya dan dia juga merupakan seorang yang serius terhadap sesuatu perkara. Daripada situlah saya yakin dan berasa selamat bersamanya.

Memandangkan kini anda telah mempunyai kekasih, adakah anda bercadang untuk membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya?

Saya masih belum terfikir ke tahap itu lagi. Kami masih lagi dalam proses perkenalan, mungkin sedikit masa lagi saya akan mengumumkan berita baik tersebut kelak. Namun demikian, buat masa sekarang kami sudah mengenali ibu bapa masing-masing. Insya-Allah kalau tidak apa aral melintang kami akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.


KATA Nita, jarak usia yang berbeza lapan tahun dan biar baru lapan bulan berkenalan, Fareez menunjukkan sikap yang matang dalam hubungan mereka.

Anda kini dilihat semakin menyepi dalam bidang seni, adakah anda bercadang untuk berhenti dalam bidang nyanyian?

Saya tidak pernah terfikir langsung untuk berhenti dalam bidang nyanyian. Cuma sebelum ini saya sibuk dengan aktiviti selam skuba kerana saya merupakan salah seorang tenaga pengajar. Selama dua tahun saya menetap di Pulau Mabul dan Tioman bagi memahirkan skil dan kini saya telahpun mempunyai lesen menyelam sebagai pembantu jurulatih menyelam.




Adakah kini anda ingin melakukan ‘comeback’ dalam industri muzik tempatan?

Saya kini telah menetap sepenuhnya di Kuala Lumpur sejak setahun yang lalu dan bertekad untuk memberi sepenuh perhatian dalam bidang muzik. Tahun ini sememangnya difokuskan kepada penghasilan single terbaru dan kini single tersebut sudah memasuki proses akhir rakaman. Single yang berjudul Jikalau Kau Tahu itu telah dicipta oleh komposer Daly Filsuf.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharu anda, adakah anda mempunyai strategi untuk mendapat tempat kembali dalam arena muzik tempatan tanah air?

Saya kini bergerak secara sendiri, namun pada masa yang sama saya masih mencari syarikat rakaman yang mahu merealisasikan cita-cita saya untuk melakukan come back. Terus-terang saya rasa berdebar-debar juga untuk melakukan come back. Tetapi, saya rasa tahun ini saya memang sudah bersedia. Saya juga tidak sabar untuk memperdengarkan single terbaharu kepada peminat muzik tanah air. Lagipun ada yang bertanya bila saya mahu menyanyi semula (sebagai penyanyi rakaman) dan muncul dengan lagu baharu.

View the original article here

No comments:

Post a Comment