Sunday, 21 September 2014

Sisi hidup Aisyah Aziz



AISYAH sedar dia perlu berusaha lebih keras untuk terus membina nama di persada seni tanah air.

PERJALANAN anak muda yang memperkenalkan diri sebagai Aisyah Aziz ini masih jauh. Ada banyak ranjau yang menanti dirinya di hadapan sana.

Lahir daripada program realiti televisyen Akademi Fantasia 2013, Aisyah sedar ia bukan tiket mudah untuk dia terus dikenali ramai.

Seperti kebanyakan artis lain, Aisyah juga bermula daripada bawah untuk membina portfolionya sebagai anak seni.






Sungguhpun begitu, Aisyah masih boleh dianggap beruntung. Bergelar adik kepada penyanyi Aliff Aziz, anak kelahiran Singapura itu sedikit sebanyak menerima tempias populariti abangnya.

Bagaimanapun, Aisyah mahu dia dikenali atas nama dan bakatnya sendiri tanpa dibayangi oleh abangnya.

Tercalon sebagai Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2014, Aisyah berjaya membuktikan kemampuan dirinya untuk berada dalam kelompok tersendiri.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Mimpi itu juga turut tercalon dalam kategori Kolaborasi Terbaik dan Artis Paling Popular Singapura pada majlis anugerah yang sama.

“Alhamdulillah, saya anggap itu semua rezeki buat saya untuk terus lebih berusaha demi mengejar impian bergelar penyanyi,” katanya yang kini sedang sibuk menguruskan pembikinan single keduanya.

LELAKI PILIHAN

MENYENTUH soal cinta, Aisyah sedar dia tidak boleh terburu-buru. Ada banyak perkara yang perlu diberikan keutamaan berbanding kisah cinta.

Bagi Aisyah, buat masa sekarang, dia mahu fokus kepada pembangunan karier seninya sebagai penyanyi.

Sungguhpun begitu, apabila menyentuh soal bakal suami menurut Aisyah, dia mahukan seorang yang betul-betul matang.

“Saya memang jenis yang suka lelaki yang lebih tua dan yang penting dia matang. Bukan apa, saya ini masih muda lagi, jadi kalau nak mencari teman hidup, mestilah yang sudah jauh matang.

“Kalau jarak beza umur 10 tahun pun tak mengapa. Soal kaya atau tidak pun bukan menjadi ukuran saya dalam mencari teman hidup,” katanya.

BANTAL BUSUK

RASANYA setiap orang mempunyai tabiat yang terbawa-bawa daripada kecil sehinggalah dewasa. Begitu juga dengan Aisyah yang mendedahkan, dia mempunyai tabiat suka mencium bau bantal busuk miliknya.

“Saya tak boleh tidur kalau tak ada bantal busuk. Kena ada bau bantal itu baru saya senang sikit nak tidur.

“Saya sendiri pernah menangis sebab mak buang bantal busuk dan menggantikannya dengan bantal lain,” kongsinya.

Biarpun tabiat itu ada kalanya dipandang jijik oleh sesetengah orang, Aisyah tidak pernah ambil pusing.

“Ada pihak akan kata, orang pengotor sahaja ada bantal-bantal busuk ini. Ye lah, ada orang geli apabila melihat tabiat suka mencium bantal. Bagaimanapun, saya jenis tak kisah apa orang nak kata,” tawanya.


AISYAH (kanan) sewaktu menghadiri majlis pelancaran produk kecantikan Zarraz di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

PENAMPILAN DIRI

BERGELAR seorang selebriti, Aisyah sedar penampilan diri menjadi perkara asas yang perlu diberikan perhatian.

“Kulit muka antara bahagian yang paling saya titik beratkan.

“Begitu juga dengan berat badan. Saya kena kawal berat badan supaya sentiasa kekal sihat,” tuturnya ketika ditemui pada majlis perasmian produk kecantikan Zarraz di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Menurut Aisyah, dia juga seorang yang sangat mementingkan isi kandungan sesuatu produk kecantikan sebelum menggunakannya.

“Apa sahaja jenis produk kecantikan yang ingin digunakan, saya akan pastikan ramuan yang digunakan selamat untuk mengelak daripada terguna produk yang memberi kemudaratan dalam jangka masa panjang,” katanya.

ALIFF AZIZ

ADIK kepada penyanyi Aliff Aziz ini mengakui

dia sangat rapat dengan abangnya.

Salah satu perkara yang membuatkannya

selesa dengan Aliff ialah sifatnya yang suka menyakat dirinya.

“Dia seorang yang ceria. Jika berdua dengannya, dia memang suka mengacau dan menyakat saya. Sungguhpun begitu, apabila berada bersamanya, saya berasa seronok kerana dia buat saya ketawa,” ceritanya yang memberitahu abangnya itu juga pandai melakukan silap mata.

Sementara itu, Aisyah mengakui, kontroversi Aliff yang didakwa menghilangkan diri baru-baru ini juga membuatkan dia turut diburu pihak media untuk bertanyakan mengenai abangnya itu.

“Abang saya ada di Singapura. Cuma buat masa sekarang, dia perlukan masa untuk berehat. Dia beritahu saya akan kembali apabila sudah bersedia,” ujarnya.




KAMERA POLAROID

SELAIN sibuk dengan jadual nyanyian, Aisyah sebenarnya mempunyai hobi merakam gambar. Minatnya itu membuatkan dia banyak merakamkan momen-momen yang pernah dilaluinya dalam hidup.

Uniknya, Aisyah akan mengambil gambar tersebut menggunakan kamera polaroid miliknya.

“Sejak dulu lagi, saya memang minat merakam gambar. Tidak kiralah sama ada gambar pemandangan ataupun gambar momen ketika bersama rakan-rakan,” katanya.

Sungguhpun begitu, menurut Aisyah, kesemua gambar tersebut tidak pernah dikongsikannya untuk paparan umum di laman sosial.

“Saya ada sebuah diari. Di dalam buku itulah, saya simpan semua koleksi gambar yang ada. Buku itu saya anggap sebagai sebuah diari hidup bergambar mengenai diri sendiri.

“Saya tak pernah berkongsi gambar-gambar itu kerana ia sangat peribadi dan hanya untuk simpanan sendiri,” ceritanya.


LAGU Mimpi membawa tuah kepada Aisyah selepas keluar dari Akademi Fantasia 2013.

MEMASAK

SUDAH menjadi lumrah sebagai anak muda, kebanyakan mereka lebih gemar keluar bersosial bertemu rakan pada waktu lapang.

Berbeza pula dengan Aisyah yang memberitahu, dia lebih suka menghabiskan masa terluang yang ada dengan duduk di rumah sahaja.

Bukan melabelkan diri sebagai antisosial, tetapi di rumah Aisyah lebih suka melakukan aktiviti yang digemarinya iaitu memasak.

“Saya ini memang jenis yang lebih suka duduk di rumah jika tidak ada apa-apa kepentingan untuk keluar. Biasanya saya suka memasak.

“Apa yang peliknya lepas masak, saya sendiri tak akan makan masakan itu. Saya lebih suka beri orang lain makan termasuk jiran,” katanya.

Tambah Aisyah, antara menu masakan yang paling digemarinya ialah sotong masak hitam.

“Saya lebih sukakan masakan yang mudah dan ringkas sahaja.

“Paling mudah dan cepat untuk saya masak adalah masakan Itali, olio aglio,” kongsinya yang banyak belajar memasak daripada ibunya, selain menerusi buku resipi,” ujarnya.

View the original article here

No comments:

Post a Comment