Tuesday 23 September 2014

Teater Bangsawan Badang, terap mesej berguna



KISAH Badang yang perkasa sememangnya begitu dekat dengan masyarakat kita namun ianya kini seolah-olah makin dilupakan generasi muda.

Demi menghidupkan semula kisah lagenda ini, Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerbitkan pementasan teater Bangsawan 'Badang' di Auditorium DBKL, baru-baru ini.

Teater tulisan Roydy Anuar Eddy Sauly dan arahan M Nasri Ayob ini menampilkan barisan pelakon lulusan ASWARA iaitu Shahrul Mizad Ashaari, Juhara Ayob, Syed Atiq Wan Long, Eliza Mustafa, Hairi Safwan serta ramai lagi.






Dipentaskan selama dua jam lebih, teater Badang pernah dihasilkan dalam bentuk filem klasik pada 1962, nyata ia agak berbeza apabila dipentaskan ke bentuk berbeza.

Perbezaan yang jelas dilihat berbanding filem arahan S. Romai Noor itu dari segi penceritaan, penggunaan bahasa dan lenggok pertuturan.

Para pelakon dilihat begitu menitik beratkan penggunaan bahasa agar ia tidak lari daripada konsep asal bangsawan yang kian luput dalam ingatan masyarakat.

Secara keseluruhannya, penulis berpendapat, kisah sang perkasa ini begitu menarik untuk dipertonton biarpun ia berkisar mengenai kisah dogeng.

Malah dari segi idea yang ditampilkan, ia kelihatan segar namun tidak lari daripada konsep asal.


Bangsawan Badang mengisahkan seorang pemuda yang bernama Badang yang sering dikritik kerana fizikal yang kurus dan tidak bermaya.

Suatu hari, Sultan negeri Langka Puri, Sultan Naim Syah mengumumkan untuk mengadakan pertandingan mengangkat batu besar yang menghalang pemandangan istananya.

Dalam titahnya itu, barang siapa yang berjaya berbuat demikian, dia akan dilantik menjadi Datuk Laksamana Negeri.

Keinginan Badang untuk menyertai pertandingan itu membuatkan pendekar-pendekar negeri itu diketawakan sehingga Badang merajuk membawa diri ke sungai.

Tibanya ke tempat tersebut, Badang kecewa melihat bubu ikannya rosak dan kosong membuatkannya berazam untuk menangkap pencuri tersebut.

Tanpa disangka, pencuri tersebut merupakan Hantu Air yang kemudiannya menawarkan Badang kuasa sakti sebagai syarat untuk lepaskan diri.

Selepas peroleh kuasa itu, Badang terus meninggalkan Hantu Air menuju ke istana dan dia berjaya mengangkat batu besar tersebut.

Namun selepas dilantik menjadi Laksamana dan terkenal kerana kegagahan dan keperkasaannya, Badang mula lupa diri dan bongkak.

Walaupun mengetahui Puteri itu adalah tunangan Tengku Muda Alam Perkasa, namun Badang berkeras untuk memperisterikan Puteri Seri Nilam Cahaya.

Sehinggalah Sultan menitahkan untuk mengadakan perlawanan beradu tenaga antara mereka. Namun akhirnya, Badang tewas akibat tusukkan buluh teberau runcing dan dilucutkan jawatan.

Diarahkan M. Nasri Ayob, ternyata pementasan ini bukan sekadar untuk berhibur sahaja sebaliknya ia tersirat dengan tauladan berguna untuk penonton.

Katanya, mesej yang hendak disampaikan menerusi Badang amat mudah, iaitu mahu mengingatkan penonton supaya tidak tamak dan berbangga diri dengan apa yang mereka ada.

Sebagai contoh, apabila dikurniakan pangkat dan kuasa, Nasri berkata jangan menjadi sombong kerana ia hanya sementara sama seperti Badang.

Katanya, kita hanya manusia biasa perlu bersyukur dengan apa yang diberikan dan tidak boleh mengikut perangai Badang yang tidak pernah bersyukur dengan anugerah yang diberikan.

Baginya, teater Badang merupakan sebuah karya yang hebat kerana jalan ceritanya dan mesej yang cukup jelas untuk difahami.

"Kita sedia maklum bahawa pementasan karya sebegini cabaran sangat besar. Lagipun cerita rakyat ini cukup popular sehingga ia dipentaskan dalam pelbagai medium termasuk filem dan buku cerita.

"Jika dilihat, usaha untuk mevisualkan Badang sangat rumit kerana perlu menggunakan lenggok bahasa orang zaman dahulukala," jelasnya.




Hairi bersilat dalam 'Badang'

Lulusan program realiti televisyen Anak Wayang, Hairi Safwan, 26, terkenal dengan karakter antagonis yang sering dilakonkan di kaca TV termasuk drama popular, Kerana Terpaksa Ku Relakan.

Menerusi Badang pula, Hairi melakonkan watak Tengku Muda Alam Perkasa, tunang kepada Puteri Sri Nilam Cahaya.

Wataknya kali ini, dia dilihat banyak bertempur dengan Badang (Syed Atiq) yang ingin merampas puteri raja itu.

Bahkan Hairi mampu menguasai seni mempertahankan diri itu dengan baik biarpun baru sahaja mempelajari seni silat.

Bercerita mengenai lakonannya itu, dia menjelaskan pernah menonton filem Badang sebelum ini dan dapat memahami jalan cerita tersebut.

Walaupun tidak memegang watak utama, Hairi tetap bersyukur kerana menerusi watak ini dia dapat tampilkan permainan seni silat Melayu yang menarik.

"Mungkin ramai yang tidak faham permainan silat persembahan dan permainan di gelanggang sebenarnya berbeza dari segi gerakan dan bunga silat.

"Paling penting, saya titik beratkan aspek gerakan silat agar ia tak nampak kekok dan cacat," katanya.

Meskipun sukar untuk memenuhi komitmen latihan kerana jadual lakonan yang padat, Hairi berkata dia berusaha untuk melakukan yang terbaik.

Tidak hanya membintangi teater bangsawan Badang sahaja, Hairi sebenarnya pernah terlibat dalam bangsawan 12 Gayung Fatani, Tun Teja, Burung Tiong Seri Gading, Raden Galoh dan Satria Menara Putih.


Tinggal berjauhan

Baharu sahaja melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihannya, Fara Afiza Azman, 24, pada Mac lalu, Hairi mengakui tidak tinggal sebumbung dengan isterinya itu.
Jelasnya, dek kesibukan kerja dan terikat dengan tugas, mereka terpaksa berjauhan buat sementara.

"Lagipun isteri terikat dengan tugasan di Maktab Perguruan Bangsar manakala saya sibuk dengan tawaran lakonan.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik walaupun kami jarang berjumpa," ujarnya.

Sambungnya lagi, masing-masing memahami tugas dan jika ada kelapangan di hujung minggu mereka pasti akan bertemu.

Ada kalanya, mereka tidak dapat bertemu selama dua minggu kerana tiada masa untuk bersama.

"Saya bertuah kerana isteri semakin faham kerja saya sebagai pelakon yang tidak mempunyai waktu kerja yang tetap," katanya.

Ditanya mengenai soal anak, Hairi berkata dia mahu isterinya menghabiskan pelajarannya dahulu baru memikirkan untuk mempunyai zuriat.

Pasangan ini bernikah di Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang manakala majlis resepsi pula diadakan pada 7 Jun lalu di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah.

View the original article here

No comments:

Post a Comment