Wednesday, 8 October 2014

Anuar Zain ikon kasih sayang IJN


ANUAR disifatkan sebagai mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi oleh pihak IJN.

Pengalaman menjaga bapanya Zain Abdullah, 76, yang juga merupakan seorang penghidap penyakit jantung membuatkan Anuar Zain tekad untuk membantu Institut Jantung Negara (IJN) mengumpul dana demi menubuhkan sebuah kumpulan sokongan yang dikenali sebagai Pusat Jantung Kanak-Kanak Kongenital IJN bagi membantu penghidap penyakit tersebut.






Anuar sendiri pernah mengalami situasi getir menjaga bapanya yang menjalani pembedahan jantung 10 tahun lalu. Gangguan emosi yang dilalui saat itu juga mendorong pelantun lagu Ajari Aku itu memahami betapa sukar dan sedihnya perasaan ahli keluarga penghidap sakit jantung.

“Saya telah melalui masa sukar tersebut. Saya sangat memahami perasaan yang dialami oleh golongan pesakit jantung terutamanya ahli keluarga mereka yang terpaksa berserah kepada takdir yang menentukan hidup dan mati insan kesayangan mereka. Pengalaman lama itulah menyuntik kesedaran untuk saya tampil membantu meringankan beban golongan ini,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar majlis makan malam amal bersama Anuar Zain di Auditorium Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memilih IJN untuk melakukan kerja amal, kata Anuar, keputusan itu banyak didorong oleh faktor peribadi memandangkan institusi perubatan berkenaan telah banyak berjasa dalam kehidupannya. Anuar berasa terhutang budi dengan pihak IJN kerana institusi itu merupakan pihak yang bertanggungjawab dan sama-sama berusaha untuk memastikan bapanya kembali sihat.

“Saya berasa sangat dekat dengan IJN kerana 10 tahun lalu, bapa saya pernah melakukan pembedahan di situ. Ketika itu saya sangat risaukan keadaannya, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Namun, syukurlah, semuanya berjalan lancar dan pembedahan itu berjaya.

“Sehingga kini dia (bapa) masih mendapatkan rawatan susulan di IJN. Saya juga selalu datang sini (IJN) untuk menghantar bapa saya mendapatkan rawatan susulan. Hal tersebut sekali gus membuka mata saya betapa pentingnya peranan saya membantu golongan berkenaan,” kata Anuar yang berharap persembahan amal tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka.




Tambah Anuar yang bercadang untuk menyanyikan lebih 15 buah lagu sepanjang sejam persembahan berlangsung: “Saya berharap akan ada pihak-pihak tertentu yang akan tampil memberi sumbangan dan membantu IJN dalam mengutip dana yang diperlukan. Saya juga berharap agar rakan-rakan artis lain yang mempunyai waktu terluang supaya datang ke IJN untuk melawat pesakit-pesakit ini. Sekurang-kurangnya kita dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka."

Sementara itu, Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Doktor Marshisham Che Mood berkata, pemilihan Anuar diputuskan atas pertimbangan seluruh institusi perubatan itu yang menyifatkan penyanyi itu sebagai ikon kasih sayang.

“Kita nampak Anuar Zain seorang yang penyayang dan dia boleh dijadikan ikon kasih sayang bagi IJN. Karakternya disenangi segenap lapisan masyarakat. Kutipan ini adalah untuk dana kumpulan sokongan yang mana untuk membantu dan memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga sepanjang proses rawatan yang dilakukan mereka,” ujarnya.

Majlis makan malam amal yang diberi nama Sempurnakan Aku With Anuar Zain itu akan diadakan di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur pada 5 Disember nanti. Tiket untuk majlis makan malam ini dijual dari harga RM500 hingga RM88,000. Tiket-tiket boleh diperoleh melalui TicketCharge di talian 03-9222 8811 atau melayari laman web www.ticketcharge.com.my. Pembelian tiket untuk meja korporat boleh dibuat terus melalui talian 03-2617 8430/8317/8465 (Aziee Jais).

View the original article here

No comments:

Post a Comment