Wednesday 1 October 2014

Cerita Hantu Coldplay



COLDPLAY meneruskan kredibiliti dan momentum mereka sebagai sebuah band kelas A melalui Ghost Stories.

TERDAPAT banyak kritikan yang diterima Coldplay sebaik Ghost Stories muncul, walau bagaimanapun seiring itu, sokongan positif juga masuk menderu terhadap album terkini grup tersebut.

Sejak zaman album sulung mereka, Parachutes sehingga yang terakhir Mylo Xyloto, Coldplay tidak melakukan banyak rombakan besar terhadap karya mereka. Sebaliknya, terdapat banyak penambahbaikan yang mencantikkan karya-karya mereka sesuai dengan peredaran masa.






Terkenal dengan elemen elektronik disulam dengan bunyi instrumen keyboard dalam setiap gubahan dan susunan muzik yang dihasilkan, Ghost Stories umpama sebuah rangkuman kepada misteri di sebalik kumpulan itu. Jawapan kepada misteri tersebut pula terdapat di setiap bait-bait lirik yang disampaikan.

Dengan makna yang lebih dalam, Ghost Stories merupakan untaian sebuah cerita cinta masa lalu. Ironinya, walaupun ia sekadar peristiwa lepas, cerita cinta boleh menghantui seseorang buat selama-lamanya. Album itu kena benar dengan perjalanan hidup vokalisnya yang berpisah dengan isteri, Gwyneth Paltrow yang dikahwininya sepuluh tahun lepas.

Masih menggunakan khidmat barisan produser yang sudah berkhidmat dengan mereka sejak album keempat berjudul Viva La Vida pada tahun 2008, Ghost Stories masih mampu tampil dengan kelainan yang tersendiri berbanding album terdahulu. Barangkali lima jejaka berusia lewat usia 30-an itu sudah mahir mengenali selok-belok dan genre muzik yang menjadi makanan mereka selama ini.

Album ini dibuka dengan trek berjudul Always In My Head karya Chris Martin sendiri. Lagu berdurasi tiga minit 36 saat itu diiringi oleh penyanyi latar yang sudah tentu merupakan elemen baharu dalam muzik Coldplay.

Senarai lagu tersebut disusuli dengan judul kedua yang berbunyi Magic. Gabungan dua instrumen iaitu drum yang dikenali sebagai muffled snare dan bunyi riff bass yang diulang berkali-kali menghasilkan melodi yang menarik.

Ditambah pula suara bersahaja vokalisnya, Chris menjadikan lagu sealiran dengan pendirian muzik kumpulan. Bagaimanapun, lagu tersebut kedengaran mendatar tanpa mempunyai titik tumpu untuk pendengar.




Lagu Inks pula menampilkan nuansa elektronik yang sarat digunakan dalam karya yang diterbitkan oleh Paul Epworth. Sentuhan elektronik tersebut terus digunakan dalam lagu seperti True Love dan Midnight.

Pada trek Another's Arms, sedikit perubahan dalam kancah muzik Coldplay apabila menggunakan suara sahutan wanita sebagai daya penarik dalam sesebuah lagu. Selain itu, getaran gitar dan drum membuatkan lagu tersebut sempurna sebagai sebuah lagu bergenre rock alternatif.

Trek seterusnya pula menampilkan lagu berjudul Oceans, lagu yang bergenre balada yang boleh dikatakan mirip dengan lagu yang terdapat dalam album pertama kumpulan ini Parachutes berjudul Rush Of Blood To The Head.

Lagu seterusnya berjudul A Sky Full Of Stars. Lagu yang mendapat persepsi baik sejak pelancaran album berkenaan pada 2 Mei lalu itu sudah tentu menjadi senjata utama dalam album berkenaan.

Lagu yang dikategorikan sebagai Electronic Dance Music (EDM) ini sangat rancak dan mengasyikkan.

Tambah menarik, penggunaan muzik elektronik antara setiap rangkap membuatkan lagu tersebut cukup sesuai diangkat menjadi lagu terbaik dalam keseluruhan album ini.

Menggunakan resipi yang agak sama, setiap elemen yang diadun dalam album ini kedengaran seperti sebuah interpretasi berbeza oleh Coldplay.

View the original article here

No comments:

Post a Comment