Wednesday 22 October 2014

Fazurina, Afiq kini bergelar usahawan



GOLONGAN artis yang menceburi bidang perniagaan bukan lagi perkara asing, malah kini ia dilihat sebagai satu trend yang semakin mendapat perhatian masyarakat.

Tidak ketinggalan merebut peluang keemasan itu, dua pelakon ini juga melibatkan diri dalam bidang perniagaan masing-masing.

Memiliki latar belakang pendidikan Diploma Pengurusan Perniagaan, Fazurina kini lebih serius merealisasikan impiannya untuk memiliki produknya sendiri.






“Sebenarnya minat dalam bidang perniagaan ini timbul sebelum saya terlibat dalam dunia lakonan lagi. Tapi bila rezeki dalam lakonan sampai dulu, saya tidak tolak.

“Saya memang berhasrat untuk memiliki perniagaan sendiri apabila usia mencecah 30 tahun dan Alhamdulillah, ia tercapai dan selepas dua tahun saya kini lebih serius dan menjadikannya keutamaan berbanding lakonan,” katanya yang bakal memperkenalkan butik pakaian Muslimah, Nina Fazurina Collection di bangunan Medan Mara, awal tahun depan.

Berlainan pula dengan Afiq yang masih menjadikan karier lakonan sebagai keutamaan.

“Memang sebelum berlakon saya pernah berniaga tapi untuk terlibat dalam bidang fesyen, ini adalah kali pertama. Buat masa sekarang, saya hanya menjual pakaian yang diambil daripada pembekal.

“Jika sambutannya baik, saya memang merancang untuk lebih serius dengan rekaan dan jenama sendiri iaitu AFM Design.

“Tapi bidang lakonan masih lagi keutamaan bagi saya. Jika ada masa terluang, saya akan penuhkan dengan aktiviti perniagaan ini,” jelasnya.

Fazurina dan Afiq adalah antara artis yang turut memeriahkan program Celebrity Bazaar anjuran AFS Icon Celebrity Sdn Bhd yang dijalankan selama tiga bulan di Dataran Underground, Dataran Merdeka.


Fazurina: Saya masih laku!

Menafikan dirinya sudah tidak laku sehingga terpaksa meninggalkan dunia lakonan, Fazurina menjelaskan dia terpaksa memilih tawaran bersesuaian dengan statusnya.

“Saya masih laku dan buktinya projek terbaharu, saya turut terlibat dalam drama siri Misiku Kuza tayangan Astro.

“Saya jarang berlakon kerana bidang ini bukan lagi keutamaan buat saya, tambahan pula dengan situasi saya sekarang, saya perlu lebih memilih watak yang bersesuaian dengan status saya,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon Dunia Anita ini turut mendedahkan selain sibuk menguruskan perniagaan, masanya turut terisi dengan aktiviti bersama komuniti Best Entrepreneur Selebriti Team Love All Hijrah (Bestlah) bersama beberapa rakan artis yang lain.

“Saya tidak akan tinggalkan lakonan kerana itulah minat saya sejak dari kecil, lagipun ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Alhamdulillah selain lakonan, tuhan bukakan pintu rezeki yang lain, jadi saya mahu lakukannya dengan baik,” katanya.




Afiq elak cinta monyet

Selepas kisah cintanya terkandas, Afiq mengakui tidak mahu lagi membuang masa untuk terlibat dalam hubungan cinta yang tidak memberi manfaat buat dirinya.

“Buat masa sekarang, hidup saya sibuk dengan lakonan dan perniagaan. Rasa untuk bercinta masih belum ada lagi.

“Kalau sudah tiba masa pun, saya tidak mahu terlalu memperbesarkannya kerana sudah lali. Saya tidak mahu cinta monyet dan kalau betul sudah bertemu jodoh saya mahu terus dengan ikatan perkahwinan,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Afiq kini terlibat dengan penggambaran sebuah drama bersiri 140 episod, Love To Remember terbitan Global Station yang turut dilakonkan oleh Hisham Hamid dan Anzalna.

View the original article here

No comments:

Post a Comment