Tuesday, 21 October 2014

Mohd. Azam nama sebenar Encik Mimpi


KEMAMPUAN Encik Mimpi semakin teruji apabila disunting syarikat rakaman di Indonesia untuk melebarkan sayap ke negara jiran itu.

BERTOPENG putih dan menyembunyikan identiti diri yang sebenar. Itu imej yang dicipta oleh penyanyi yang memperkenalkan dirinya sebagai Encik Mimpi (EM) selama tempoh empat tahun masuk ke lembah muzik tanah air.

Mengakui menggunakan nama Encik Mimpi kerana ingin mengekalkan nama pena yang digunakannya ketika aktif dalam penulisan blog suatu ketika dahulu, hal itu mendorong jejaka ‘misteri’ itu tampil di khalayak dengan imej bertopeng. Sekian lama hanya dikenali dengan gelaran Encik Mimpi dan tanpa pernah walaupun pertama kali membuka topengnya di khalayak umum, pintu rahsia pemuda itu sedikit terkuak apabila sudi berkongsi nama penuhnya.






“Nama sebenar saya Mohd. Azam Zamri dan berumur 26 tahun,” tuturnya dalam nada penuh getar.

Sebaris pendedahan identiti berbunyi normal, namun buat Encik Mimpi, perkongsian maklumat yang selama ini dirahsiakan itu begitu mendebarkan. Cuba untuk bertenang dan berlagak seperti tiada apa yang menrunsingkan fikiran, pelantun runut bunyi drama popular, Playboy Itu Suamiku meredakan emosinya dengan cara tersenyum.

Mengakui masih mentah dan kurang faham dengan selok-belok dunia hiburan dan media yang memerlukan seseorang artis itu merekodkan nama penuh sebagai langkah berjaga-jaga pada masa hadapan, Encik Mimpi akur atas permintaan yang sudah terlalu kerap disuakan ke muka palsunya selama ini.

Berkesempatan bertemu rakan media usai majlis pelancaran album pertamanya, Selamat Malam Cinta di Red Box Ria, Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini, Encik Mimpi yang mengenakan sut serba hitam dilihat semakin bijak mengawal situasi. Seperti biasa, persoalan mengenai identiti dirinya masih menjadi butir persoalan.

“Sebenarnya saya memilih untuk merahsiakan identiti kerana pada awal kemunculan dalam blog dan YouTube, saya tidak mendedahkan wajah dan nama sebenar. Jadi, apabila telah bergelar artis, saya ingin kekalkan watak misteri yang saya bawa setelah sekian lama.

“Dahulu, saya fikir tiada masalah jika merahsiakan identiti. Lama-kelamaan selepas mempunyai hubungan yang rapat dengan rakan media, saya berasa sudah tiada masalah untuk berkongsi identiti. Tambahan pula, pihak media begitu menghormati dan memahami situasi saya.

“Saya tidak kisah untuk berkongsi nama sebenar dengan orang lain asalkan imej dan pendirian yang saya bawa selama ini diterima ramai. Saya mahu orang kenal saya dengan imej yang berlainan,” ujar jejaka yang berasal dari Kuala Lumpur itu dengan yakin.


ENCIK MIMPI kini muncul dengan album sulung yang berjudul Selamat Malam Cinta.

Mencuri tumpuan peminat hiburan tanah air dengan kemunculan video parodinya sebelum ini, Encik Mimpi hadir dengan mencuri perhatian apabila mampu menghasilkan lagu-lagu sendiri sehingga membawa kemunculan album pertamanya.

“Dalam album ini terkandung enam buah lagu. Semua lagu dalam album ini adalah ciptaan saya sendiri antaranya, Ayuh Tinggalkan Dia, Selamat Malam Cinta, Hikmah Atas Segalanya dan Menu Cintaku yang merupakan lagu berkolaborasi dengan sebuah kumpulan cilik dari Indonesia, AT-RI. Sebuah lagi lagu yang berjudul Rindukanlah pula merupakan lagu ciptaan pengurus saya iaitu Rumnan Rumhadi,” ujarnya ceria.

Mengakui sanggup berdepan risiko apabila mengeluarkan album sendiri memandangkan perjalanan kariernya yang masih hijau dalam dunia seni, jejaka itu menganggap setiap usaha yang dilakukan itu demi kepuasan sebagai seorang penggiat muzik.

“Bagi saya, menghasilkan album adalah satu bentuk kepuasan. Jika berkarya, saya mahukan sesuatu yang menampakkan hasil. Dalam semua perkara pun kita akan berhadapan dengan risiko. Saya tidak akan mengalah dan berhenti daripada terus berkarya. Sebelum ini, saya sudah tampil dengan beberapa single hasil ciptaan saya sendiri dan ternyata mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat,” ujar Encik Mimpi bersungguh-sungguh.

Mengulas lanjut perkembangan kariernya, penyanyi bawah naungan Indigital Muzik itu memberitahu, dia kini dilamar sebuah syarikat produksi dari Indonesia iaitu Media Muzik Proaktif (MMP) untuk kerjasama merakamkan sebuah lagu dalam bahasa Indonesia serta melakukan promosi jelajah persembahan di negara jiran itu.

“Alhamdulillah, pihak MMP sudah dengar lagu saya dan mereka suka. Lalu mereka tawarkan kontrak selama dua tahun. Mereka mahu saya merakamkam kembali lagu-lagu saya dalam bahasa Indonesia. Awalnya, pihak MMP tertarik dengan lagu Ayuh Tinggalkan Dia kerana melodi yang agak ‘catchy’, kemudian mereka putuskan untuk melibatkan lagu-lagu yang lain dalam tawaran berkenaan.

“Saya juga akan ke Indonesia pada hujung Oktober nanti untuk mengadakan promosi dan persembahan. Saya tidak menduga akan menerima tawaran seperti ini tetapi saya memandangnya sebagai peluang terbaik untuk saya mengembangkan sayap karier ke negara orang,” ujarnya.



View the original article here

No comments:

Post a Comment