Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja berikutan ia
sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah disebut dalam
Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan Pengajian Semitik
Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr Menachem Ali.
Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH,
semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab
suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi
mengelakkan ketegangan agama.
Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan menunjukkan
bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak menggunakan
kalimah ALLAH untuk merujuk istilah ‘Tuhan’ dalam agama Kristian,
katanya kepada pemberita pada ‘Seminar Kalimah ALLAH dan Kristologi
Nusantara’ anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.
Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks asli
New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun ia
(ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui
berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat
pada abad pertengahan dahulu.
“Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam terjemahan
kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun dalam
bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi persoalan
besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat kesepakatan
bahawa ALLAH adalah nama khas,” katanya.
Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini namun
melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi
menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan
Bible versi Bahasa Melayu.
Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah
suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak
penggunaannya.
“Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama baik
Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak, akan
terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung pada
sesuatu yang bersifat kebaikan.” katanya. –BERNAMA
No comments:
Post a Comment