Lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan
dalam sangkar warga China di Pulau Baik, dekat sini pada kira-kira 2.45
pagi ini, selepas sebulan seorang pelancong wanita warga China diculik
di sebuah resort di Semporna.
Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)
Datuk Mohammad Mentek yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa
dikenali Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao dan telah bekerja di
syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd milik warga China dari Hongkong itu
selama tiga tahun.
Beliau berkata anggota pasukan keselamatan dan pertahanan Esscom
termasuk unit udara dan laut telah berusaha untuk mengejar dan memintas
bot yang dinaiki oleh penjenayah tersebut sehingga berlaku kejadian
berbalas tembakan berhampiran Pulau Mataking.
"Namun penjenayah tersebut dari selatan Filipina itu berjaya meloloskan
diri ke perairan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan ringkas, di
sini Selasa.
Mohammad berkata siasatan awal menunjukkan terdapat 16 pekerja di
syarikat ternakan ikan berkenaan, dengan lapan lelaki bangsa Timor
memiliki dokumen manakala lapan pekerja bangsa Suluk termasuk seorang
wanita tidak mempunyai dokumen yang sah.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Wira Hamza Taib dijangka
mengadakan sidang media bagi memberikan butiran penuh berhubung kejadian
culik itu petang ini.
Pada 2 April lepas, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan seorang pekerja
wanita warga Filipina dikenali sebagai Marcy Dayawan, 40, diculik di
Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna oleh sekumpulan tujuh
lelaki bersenjata. -Bernama
No comments:
Post a Comment