Friday 29 August 2014
Segudang emosi Datuk Rossa
FIGURA ini kini muncul dengan album terbaharu yang berjudul, Love, Life & Music.
SEGUDANG emosi meribut di jiwa penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa. Lalu, air mata pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani itu mengalir tanpa dapat ditahan.
Semuanya disebabkan video perjalanan kariernya selama 10 tahun di Malaysia dipertontonkan di hadapannya ketika majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Love, Life & Music di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambil menangis, pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu memberitahu, beliau menangis kerana media Malaysia tidak pernah jemu menulis tentang dirinya.
“Terima kasih buat semua media yang sentiasa menjaga perasaan saya dalam penulisan. Saya bertuah kerana diberi rezeki dan kemudahan menyanyi daripada yang Maha Esa. Saya juga sentiasa membuka telinga daripada sebarang kritikan mahupun saranan pencinta Rossa,” ungkapnya terharu.
Berkongsi mengenai resipi kejayaannya mengukuhkan nama selama 10 tahun di Malaysia, dedah Rossa, beliau cukup berhati-hati dalam pemilihan lagu. Disebabkan itu juga, katanya, pembikinan albumnya sering mengambil masa yang lama.
Rossa juga memastikan setiap bulan beliau akan mengeluarkan single untuk peminat-peminatnya di Malaysia.
Kisah peribadi
Mahu lagu-lagu yang dimuatkan dalam album terbaharunya, Love, Life & Music, memenuhi cita rasa peminat, Rossa mengakui mengambil masa selama tiga tahun untuk menghasilkan album keenamnya itu.
“Sempena ulang tahun ke-10 karier nyanyian saya di Malaysia, saya mahu menghadiahkan peminat dengan album yang matang. Disebabkan itu, saya mengambil masa yang lama untuk menghasilkan album ini. Saya mengambil kira cita rasa peminat selain melihat senario industri muzik supaya lagu-lagu itu nanti dapat menambat hati peminat,” ujarnya.
Tidak hanya menampilkan sisi matang, ungkap Rossa, beliau juga turut mencurahkan cerita peribadinya sebagai penyanyi.
Menerusi album itu juga, Rossa berkata, dia ingin menampilkan sisi matangnya sebagai seorang penyanyi termasuk dari segi lirik dan muzik.
“Album ini merupakan cerita tentang kehidupan. Cerita tentang peribadi saya sebagai penyanyi. Ingin juga ada sisi matang, jadi album ini juga menjadi refleksi dari pertambahan usia saya,” ucap Rossa yang masih mementingkan kualiti dan juga komersial dalam sesebuah lagu.
Dalam album Love, Life & Music, lagu yang bernuansa sedih bakal peminat temui menerusi lagu Sisakan Hatimu, Hijrah Cinta, Milyaran Abad, Hati Tak Bertuan dan Salahkan (berduet dengan Hafiz Suip). Namun, tidak seluruh lagu dalam album tersebut bernuansa sedih. Terdapat tiga buah lagu yang bernuansa cerah, riang dengan tempo cepat (up beat) seperti Jatuh Cinta Setiap Hari, Bukan-Bukan dan As One.
Kahwin
Dalam 10 buah lagu yang terkandung, kongsi Rossa, terdapat juga lagu gubahan Melly Goslow yang berjudul Hijrah Cinta.
Lagu itu cukup emosi bagi dirinya dan Melly kerana ia lahir dari kehangatan hubungan persahabatan mereka dengan seorang ustaz bernama Jeffrey al Buchori.
“Selepas Ustaz Jeffrey meninggal dunia. Saya dan Melly berasa terpukul secara emosi. Saya meminta Melly menghasilkan lagu tentang Ustaz Jeffrey daripada beliau menghisap dadah sehingga beliau berubah menghambakan diri kepada Allah,” ceritanya.
Masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas bercerai dengan Surendro Prasetyo atau Yoyo yang juga anggota kumpulan Padi lima tahun lalu, luah Rossa, beliau bukannya serik untuk berkahwin semula tetapi masih belum bertemu dengan lelaki yang sesuai.
“Tidak mudah untuk saya mencari pengganti. Ketika ini, Allah belum temukan jodoh saya,” ujarnya.
Hasil perkahwinan Rossa dengan Yoyo mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Rizki Langit Ramadan, 8.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment