Thursday 28 August 2014

Sharifah Aleya cepat penat masa mengandung


Keluarga bahagia Sharifah Aleya ketika menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri di Damansara, baru-baru ini.

Penyampai Hot FM, Sharifah Aleya, dijangka melahirkan anak perempuan Januari depan.

Anak yang bakal dilahirkan itu hasil perkongsian hidupnya dengan Mohammed Azam Abdullah atau Miko 11 Januari lalu.

Dalam perkahwinan terdahulu, pelakon dan pengacara ini dikurniakan sepasang anak kembar, Aza Ameena dan Asha Ameena.

Menurut Aleya dan suami, mereka tidak kisah apa jantina bakal anak. Usia kandungannya kini lima bulan.

Aleya ditemui BH Online baru-baru ini ketika menganjurkan rumah terbuka bersama ahli keluarga yang lain di Bukit Utama. Malah kakak kepada Sharifah Amani ini mengakui tidak berdepan dengan alahan yang teruk dan semuanya masih terkawal.






"Mendengar pengalaman dan cerita lalu mengenai perihal ibu mengandung memang ada yang mengidam yang bukan-bukan atau alahan yang teruk.

"Ada yang saya dengar memang menyeramkan juga termasuklah mahukan sup ekor pada tengah malam dan nasi beriani awal pagi. Dalam hati saya jadi kasihan juga kepada suami yang terpaksa berdepan dengan situasi sebegitu.

"Saya sejak mengandung anak kembar yang dulu dan sekarang, alhamdulillah tidak teruk sangat alahan atau mengidam. Kali ini adalah juga mengidam burger tapi kalau tak mampu dipenuhi, daging masak kicap pun memadai.

"Saya memang tak meroyan. Cuma sepanjang mengandung dan bekerja ini, saya cepat rasa penat. Penat yang pada satu tahap saya jadi tak larat nak bangun dari katil. Sampai kena ambil cutilah," katanya.

Menurut Aleya, daripada sudut emosi, beliau mengakui ia masih mampu dikawal.

"Kehamilan di usia yang awal 30-an ini berbeza sikit daripada yang pertama. Tapi saya bersyukur kerana suami terus bertahan dengan perangai saya ketika hamil. Beliau (suami) saya umpamakan ketenangan kepada saya. Dia pandai buat saya ketawa. Selalu dia akan cakap buat rileks. Tag line dia kepada saya ialah steady jer.

"Anak kembar saya pun teruja dengan kehamilan ini. Mereka tak sabar nak dapat adik baru. Selalu kalau jumpa saya, mereka akan peluk perut saya bukannya saya. Kalau kena masanya, mahu juga anak dalam perut ini lahir pada 11 Januari. Boleh jadi hadiah ulang tahun perkahwinan kami genap setahun," katanya.




Mengenai kerjaya, Aleya mengakui terus selesa mengendalikan rutin hariannya di Hot FM.

"Saya menikmati apa yang dilalui sekarang dengan seadanya. Sudah lapan tahun saya bersama Hot FM. Saya masih banyak mahu belajar lagi. Kalau rezeki saya masih di sini, saya akan terus melakukan kerja ini sebaik mungkin. Mana tahu ke depan, rezeki saya bertukar ke tempat lain.

"Macam dunia lakonan, saya masih lakukannya. Tahun lalu saya ada berlakon sana sini terutamanya teater dan filem pendek. Macam tahun ini dengan saya memang tak ambil sangat kerana lebih fokus radio. Lagipun ini tahun pertama saya berkahwin. Negara kita pun turut dilanda pelbagai tragedi yang cukup menyentap hati. Ada tawaran berlakon teater tapi masa tak kena. Saya pun sudah sarat," katanya.

View the original article here

No comments:

Post a Comment