Tuesday 2 September 2014

Almy tak kisah jantina anak


ALMY NADIA dan Fizz Fairuz cukup teruja menanti kelahiran zuriat sulung mereka.

UMUM sudah mengetahui pelakon Almy Nadia yang juga isteri kepada pelakon, Fizz Fairuz kini sedang hamil tiga bulan.

Berkesempatan bertemu dengan Almy yang datang bersama-sama dengan suaminya itu pada majlis rumah terbuka anjuran produk Jamu Mak Dara baru-baru ini, dia ditebak dengan persoalan tentang kehidupan yang dilaluinya sekarang ini.

“Sejak berbadan dua ini tidak banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan saya, kecuali pada peringkat awal kehamilan.

“Ketika itu, emosi saya sering terganggu dan berada dalam keadaan kurang stabil. Biasanya, saya akan mengalami alahan pada waktu malam dan pada sebelah siang pula keadaan saya normal,” ujarnya.






Namun begitu, pelakon cantik tersebut berkata, dia bersyukur apabila Fizz sering memberi perhatian terhadap dirinya, meskipun suaminya itu selalu sibuk dengan aktiviti seni.

Ujarnya, apabila berhadapan dengan masalah alahan pada waktu malam, Fizz akan memastikan dirinya berada dalam keadaan terkawal, biarpun berada dalam keadaan keletihan.

“Selalunya, suami akan pastikan saya tidur terlebih dulu. Selagi saya tidak tidur, dia tidak akan melelapkan mata bagi memastikan saya berada dalam keadaan yang baik.

“Lagipun, ini merupakan pengalaman pertama buat kami yang dijadualkan bakal menimang cahaya mata sulung pada tahun hadapan. Bagaimanapun, masalah alahan tersebut sudah semakin berkurangan sekarang,” ujarnya.

Apabila ditanya tentang pengambilan makanan pula, Almy memberitahu, dia akan makan seperti biasa tetapi tidak boleh mengambil dalam kuantiti yang terlalu banyak.

Selain pernah mengidam untuk menikmati hidangan telur penyu, dia juga mengurangkan pengambilan nasi.

“Suami pernah menegur saya kerana kurang makan nasi kerana bimbang ia akan memberi kesan terhadap kandungan. Namun begitu, saya akan makan lebih banyak sayur-sayuran,” ujarnya.

Mengenai jantina bayi pula, pelakon itu menyatakan dia dan suami tidak pernah ambil kisah mengenai perkara berkenaan.

“Sama ada anak lelaki atau perempuan, semua itu merupakan ketentuan Allah dan kami menerima rezeki yang diberikan. Saya memang tidak sabar dan berasa cukup teruja untuk melahirkan cahaya mata sulung,” jelasnya.




Masih berlakon

Memandangkan dirinya ketika ini sedang hamil, Almy memberitahu, ia bukan penghalang untuk meneruskan karier dalam bidang lakonan.

Ungkapnya, selagi dirinya masih mampu bekerja dia tidak akan menolak sebarang tawaran berlakon yang diterima, asalkan ia bersesuaian dengan situasi dirinya.

“Setakat ini saya masih menerima beberapa tawaran lakonan, kecuali ada satu tawaran yang terpaksa saya tolak kerana berasa watak yang diberikan agak berat.

“Dalam keadaan sekarang ini, saya sekadar mampu membawakan watak yang ringan agar tidak cepat terlalu letih.

“Selain itu, saya bersyukur kerana suami masih memberi kebebasan untuk terus berlakon,” ujarnya.

Menurutnya, dia tidak meletakkan sebarang tempoh tertentu untuk berehat daripada dunia lakonan buat seketika dan akan terus berlakon selagi masih mampu berbuat demikian.

View the original article here

No comments:

Post a Comment