Showing posts with label Konspirasi. Show all posts
Showing posts with label Konspirasi. Show all posts
Friday, 31 October 2014
POLITIK!!! 'Tuduhan liwat ke atas Anwar satu konspirasi'
PUTRAJAYA - Para peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pertuduhan liwat terhadap anak guam mereka adalah satu konspirasi.
Peguam Anwar, N. Surendran memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan, yg Anwar telah didakwa meliwat, mengadakan pertemuan dengan beberapa orang, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum insiden liwat yg didakwa itu.
Beliau berkata pertemuan berlangsung antara 24 Jun, 2008, dua hari sebelum insiden, dan 28 Jun 2008, apabila Mohd Saiful akhirnya membuat laporan polis.
Surendran berkata Mohd Saiful telah mengaku semasa pemeriksaan balas bahawa dia telah bertemu dengan Najib, yg pada waktu itu Timbalan Perdana Menteri, di kediaman Najib dan pada 24 Jun 2008 dan bahawa pada hari yg sama, beliau juga telah bertemu pegawai khas Najib Khairil Anas Yusof di rumahnya (Khairil Anas).
"Selepas itu beliau telah bertemu pegawai kanan polis Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof di Hotel Melia di Jalan Imbi pada 25 Jun. Mohd Saiful juga telah menghubungi Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Musa Hasan sebelum membuat laporan," kata Surendran.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa Mohd Saiful juga pernah bertemu bapa saudaranya dikenali sebagai "Tuah" sebelum bertemu Senator Mohd Ezam Mohd Noor dan orang yg terakhir dia bertemu adalah bekas pelari pecut Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar.
Surendran menegaskan ia adalah kemungkinan bahawa insiden yg didakwa berlaku direka-reka Mohd Saiful dan orang-orang yg ditemui beliau antara 24 Jun hingga Jun 28.
"Kewujudan rancangan yg diatur melibatkan Najib dan lain-lain telah dibangkitkan oleh Anwar dalam satu kenyataan dari kandang tertuduh tetapi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal memberikan pertimbangan ini dalam keputusan mereka," katanya.
Surendran bersetuju bahawa malah melalui satu kenyataan dari kandang tertuduh juga kurang pertimbangannya berbanding keterangan bersumpah, mahkamah sepatutnya memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas aduan oleh perayu (Anwar).
Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yg mengetuai panel lima hakim mendengar rayuan itu, mengingatkan Surendran supaya menunjukkan pihak berkuasa yg berkaitan untuk menyokong hujahnya berkaitan dengan kenyataan dari kandang tertuduh.
"Anda seharusnya menurut apa yg peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram (dalam pasukan pembelaan Anwar) telah lakukan, apabila dia mengemukakannya, dia menunjukkan undang-undang kes," katanya.
Sebelum itu, dalam isu alibi, Sri Ram berhujah bahawa sebelum perbicaraan itu, Anwar telah memberikan notis mengenai alibi itu kepada pihak pendakwaan namun memutuskan untuk tidak meneruskannya apabila Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal untuk memberikannya pertimbangan apabila anak guamnya mengeluarkan kenyataan dari kandang tertuduh.
Anwar menjelaskan kenapa beliau berbuat demikian dalam kenyataan dari kandang tertuduh, namun pihak pendakwaan menggunakan kenyataan itu terhadap perayu apabila merayu keputusan Mahkamah Tinggi, yg melepaskan Anwar selepas kes pembelaan.
"Notis alibi ini tidak diteruskan namun ia tidak boleh digunakan ke atas perayu. Mahkamah tertinggi perlu campur tangan apabila dengan jelas wujud arah yg salah," kata Sri Ram.
Beliau memberitahu mahkamah tertinggi itu bahawa pemilik kondominium, hanya dikenali sebagai Hasanuddin, disoal siasat hampir 30 jam dan ia telah dirakamkan melalui video.
Ahli perniagaan itu mempunyai dua unit berdekatan satu sama lain di kondominium Desa Damansara, di mana alibi Anwar adalah beliau bukan berada di unit lain semasa insiden yg didakwa itu berlaku.
Sri Ram juga berkata walaupun Anwar berada di kondominium itu semasa tarikh dan masa yg didakwa itu, namun ia tidak bermakna insiden yg didakwa itu telah berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, prosiding yg ditetapkan untuk hari ini dan esok, berkemungkinan berterusan sehingga Khamis memandangkan dua lagi peguam pasukan pembelaan, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur, akan mengemukakan analisis lanjut mengenai DNA yang menjadi isu utama kes ini.
Sementara itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yg mengetuai pasukan pendakwaan, membayangkan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya sehari untuk menjawab.
Perbicaraan bersambung esok.
Saturday, 4 October 2014
Misteri CIA dan Teori Konspirasi Kehilangan MH370
SUDAH 29 hari pesawat MH370 dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing, China hilang dan dilaporkan berakhir di tengah Lautan Hindi. Bagaimanapun hingga kini belum ada sesuatu yang boleh dijadikan bukti.
Kehilangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal sangat misteri kerana melencong jauh dari laluan ke Beijing. Bukan rampasan. Bukan juga kemalangan. Kalau kedua-duanya bukan, apa yang membawa MH370 ke lautan yang ketiga paling dalam di dunia?Antara perkara yang tidak boleh diremehkan ialah pesawat itu membawa 135 penumpang warga China. Warga negara Malaysia hanya 38 orang. Maknanya penumpang warga China lebih separuh daripada penumpang MH370.
Jumlah penumpang warga China ini menjadi kata kunci kepada teori konspirasi kehilangan MH370. Ini berkait dengan hubungan politik dan ekonomi Malaysia – China di tahap sangat baik hingga dicemburui oleh sesetengah kuasa besar. Selepas ekonomi Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) jatuh merudum, China bangkit sebagai kuasa ekonomi baharu mengatasi AS.
Marilah kita sama-sama berfikir di luar kotak atau di luar lorong yang lurus mengenai tragedi paling besar bagi negara kita dan sejarah penerbangan dunia. Apakah tidak boleh diterima akal misalnya tragedi ini dirancang oleh pihak tertentu untuk menjejaskan hubungan dengan China? Kalau serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 dirancang oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA), adakah yang ini mustahil dikaitkan dengan CIA?
Mengarut? Nanti dulu. Dunia sudah tidak anggap teori konspirasi ini sebagai mengarut kerana mereka berfikir di luar kotak yang dibina oleh AS.
Konspirasi peringkat tertinggi yang melibatkan CIA dalam tragedi 11 September bukan perkara baharu. Banyak fakta dan hujah yang meyakinkan telah dibentangkan. Banyak pihak sudah menerima hakikat 11 September rancangan AS untuk mendapat ‘tiket’ menyerang Afghanistan dan Iraq.
Presiden George W. Bush dengan pantas dan rasmi mengumumkan tragedi itu angkara pelampau Islam, al Qaeda yang diterajui Osama Ben Laden. Itu kata Bush tetapi rakyat AS sendiri tidak mempercayainya.
Buktinya dalam satu undian menjelang Pilihan Raya 2006, satu daripada tiga rakyat AS percaya tragedi itu dirancang oleh Bush dan peringkat tertinggi CIA. Buktinya serentak dengan itu saluran CNN giat memasarkan propaganda bahawa Osama dan al-Qaeda bertanggungjawab melakukannya.
CNN antara menjadi alat perang psikologi (psy war) bagi mencapai agenda AS menguasai dunia. Cuba bertanya, bagaimana jurukamera CNN mendapat shot dari pelbagai sudut menara WTC ketika dirempuh oleh pesawat? Serangan berlaku dalam masa “hanya beberapa saat” tetapi CNN sempat merakamkan dari pelbagai arah. Wah, sungguh luar biasa.
Soalnya adakah jurukamera CNN sudah bersedia di sekeliling WTC? Kalau benar begitu, bagaimana mereka tahu akan berlaku serangan itu?
Ketika berada di Birmingham, United Kingdom tahun lalu, saya terjumpa buku Conspiracies, Conpiracy, Theories and the Secret of 9/11 di sebuah kedai buku yang agak terpencil. Saya tidak pasti sama ada buku ini dijual di negara ini atau tidak kerana tidak menemui di kedai-kedai buku utama di Kuala Lumpur.
Buku yang ditulis oleh Mathias Broeckers sebenarnya bukan memuatkan suatu yang baharu mengenai teori konspirasi 11 September. Bagaimanapun penulisnya memperincikan teori dengan hujah daripada sumber berwibawa dalam kalangan pakar keselamatan dan strategik.
Antara fakta menarik ialah Osama pernah berkerja untuk CIA di Afghanistan ketika negara itu diserang Kesatuan Soviet. CIA menyalurkan dana yang besar supaya Osama melatih kumpulan pelampau Islam bagi menentang Kesatuan Soviet.
Tetapi pada 11 September 2001, CIA mengkambing hitam Osama sebagai petualang. Lebih menimbulkan persoalan lagi apabila era Barack Obama, mayat Osama yang didakwa dibunuh tidak ditunjukkan sebagai bukti. CNN yang berjaya merakamkan detik-detik keruntuhan WTC tetapi gagal merakamkan detik kematian Osama. Pelik bukan? Jadi, bolehkah kita percaya Osama agen CIA ini sudah mati?
CIA menakutkan dunia kononnya al_Qaeda mempunyai senjata biologi antraks yang boleh memusnahkan manusia, anehnya sampai sekarang belum ada yang menjadi mangsa. Kemudian CIA mendakwa Iraq membina loji senjata nuklear tetapi hingga kini juga tidak dibuktikan kewujudannya. Kalau diperhatikan modus operandinya sama; wujudkan kegemparan kemudian bertindak menyerang demi keamanan dunia.
Kembali kepada isu MH370, CNN kelihatan begitu beremosi apabila Malaysia tidak membenarkan CIA mengetuai pencarian pesawat MH370. Kemudian bertindak menyemarakkan kemarahan keluarga penumpang warga China hingga menggugatkan hubungan Malaysia – China.
Daripada tragedi ini sama ada kita mengaku atau tidak, ia telah mengeruhkan kalau pun tidak meretakkan hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara. Kita kena realistik bahawa kebergantungan Malaysia kepada China dalam ekonomi sangat tinggi dan MH370 memberi kesan yang sangat besar.
Pihak yang cemburu terhadap hubungan akrab Malaysia – China akan menangguk peluang daripada tragedi yang misteri ini. Sedikit sebanyak hasilnya sudah kelihatan, Malaysia terpaksa bertungkus lumus menjernihkan hubungan.
Kerana itu biarlah kita ada sedikit rasa curiga dengan pihak luar yang ada sejarah liarnya. Tidak semua pandangan yang dianggap ‘karut’ dan ‘tidak masuk akal’ hanya teori konspirasi kosong semata-mata. Sudah terbukti teori yang dianggap ‘karut’ mengenai 11 September sebenarnya satu fakta. Saya percaya pihak berkuasa tidak anggap semuanya karut. Mereka lebih bijak daripada CIA.
KU SEMAN KU HUSSEIN
* Artikel diterbitkan Mingguan Malaysia 6 April 2014
Subscribe to:
Posts (Atom)

