Showing posts with label mesej. Show all posts
Showing posts with label mesej. Show all posts

Sunday, 9 November 2014

AWAS!!! Perkongsian Mesej Yang Boleh Mendatangkan Syirik?


Dengan pelbagai teknologi yg canggih pada zaman ini, perkongsian sesuatu mesej maklumat dan juga ilmu menjadi semakin mudah bahkan hanya boleh dilaksanakan dengan menekan butang 'share' atau copy & paste. Semakin mudah cara untuk berkongsi, maka lagi cepatlah mesej-mesej berkenaan tersebar.


 


Tetapi pernahkan anda menerima mesej yg seakan-akan mendorong kita supaya berkongsi mesej tersebut? Sebagai contoh "Jika tidak forwardkan mesej ini, nescaya anda akan ditimpa bala" atau mesej seperti "1 share = 1000 pahala" seperti gambar di bawah? Apakah hukumnya sekiranya kita berkongsi mesej-mesej seperti ini?



Memetik dari khutbah Jumaat yg disampaikan di Surau Saujana Impian, Kajang pada 31 Oktober, sekiranya kita berkongsi mesej seperti ini, kita boleh menjadi syirik kepada Allah kerana kita percaya; sebagai contoh; dengan berkongsi gambar diatas, kita boleh mendapat 1000 pahala. Atau dengan perkataan lainnya, kita percaya mesej ini boleh mendatangkan pahala padahal pahala dan dosa itu hanya boleh ditentukan oleh Allah. Begitu juga dengan mesej yg berkaitan dengan bala.

Yang lebih merepeknya adalah dari mana datangnya nombor seperti 1 like = 10 doa dan 1 share = 1000 pahala? Adakah tertulis dalam mana-mana hadis atau Al-Quran? Pada pandangan penulis mereka yg mula-mula megeluarkan mesej ini hanyalah batak likes dan secara tidak langsung menyesatkan umat Islam.





Berkenaan dengan mesej yg mempunyai berita palsu pula, Allah telah berfirman di dalam Al-Quran yang berbunyi:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yg menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

Dalam ayat ini, kita boleh menyimpulkan bahawa Allah menyuruh kita memeriksa kesahihan sesuatu berita sebelum kita mempercayai dan menyebarkannya. 



Jadi dinasihatkan kepada semua agar berhati-hati dengan apa mesej yang dikongsi. Sila pastikan sumber anda sentiasa sahih dan tepat. Sentiasa lah ingat bahawa setiap perkara ditentukan oleh Allah dan bukannya benda-benda duniawi seperti butang share/like di Facebook. Always think before you share .


 


View the original article here

Monday, 20 October 2014

Lisa si penghias dan penyalur mesej produk


Portfolio Lisa pernah diisi dengan penglibatannya dalam bidang pengiklanan sejak berusia 11 tahun. Antara iklan komersial yang pernah dibintanginya termasuklah produk minuman Ovaltine dan restoran makanan segera popular McDonald’s.

Bertemu dengan pelakon yang mencuri perhatian menerusi filem I’m Not Single itu, Lisa sekali lagi diperkenalkan sebagai duta produk kecantikan. Kali ini, dia diumumkan sebagai jurucakap syampu Head & Shoulders. Melihat kepada pencapaian dan nama teguh di persada hiburan, mungkin ada yang menggambarkan Lisa seorang yang mementingkan gaya mewah, namun apa yang diperhatikan pula sebaliknya. Aktres berusia 28 itu selamba dan tampil serba sederhana.

Mengenakan blaus longgar berona biru yang dipadankan bersama celana jean jenis skinny, pelakon filem Ular itu ramah menyapa memulakan bicara sebelum sesi wawancara bermula.






“Apa khabar, sihat?” tutur wanita berstatus isteri itu lembut sambil tersenyum.

Berbekalkan wajah yang cantik, tidak hairan jika Lisa sering menjadi buruan syarikat-syarikat terkenal untuk mewakili jenama atau produk yang dipasarkan.

Tidak terlalu cerewet dalam memilih tawaran untuk menjadi duta sesebuah syarikat, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui lebih spesifik dalam memilih produk yang mahu diwakili supaya dapat memberikan mesej berguna kepada para pengguna.

“Tugas seorang duta yang mewakili sesuatu produk itu sangat besar. Seorang duta itu bukan sahaja mewakili jenama yang dipasarkan, malah memberikan mesej yang baik kepada masyarakat.

“Sebagai contoh, selain Head & Shoulders, saya juga merupakan duta kepada jenama penjagaan kecantikan Body Shop yang menggalakkan pengguna membeli sambil menderma.

“Pada masa yang sama, minuman jus jenama Marigold yang saya wakili juga turut mempromosikan gaya hidup sihat dengan mengamalkan cara pemakanan sihat dan segar.

“Jadi, tugas saya bukan semata-mata menjadi ‘penghias’ jenama tersebut tetapi lebih kepada mendidik pengguna untuk memilih cara hidup yang lebih baik sesuai dengan kelebihan produk yang saya wakili,” ujarnya panjang lebar.


MENGAKUI tidak gemar menonton filem seram, Lisa memberanikan diri membintangi filem Dendam Orang Mati bagi mengasah bakatnya menjadi pelakon versatil.

Relevan

Menyentuh mengenai peranan pelantikan artis sebagai duta sesebuah produk untuk kekal relevan, Lisa menganggap kedua-dua bidang itu saling berkait rapat dan membantu kestabilan karier seninya.

“Memang benar, seseorang artis atau selebriti perlu relevan dalam industri untuk terus dikenali tetapi ia bergantung juga kepada jenama dan pemilihan artis itu sendiri.

“Jika sesebuah syarikat melamar artis itu untuk mewakili produknya, maksudnya artis tersebut masih relevan dalam kalangan peminat. Begitu juga dengan peranan artis tersebut.

“Apabila orang ramai mula bercakap tentang duta tersebut, secara tidak langsung itu strategi untuk melariskan produk yang diwakili dalam kalangan pembeli. Itu merupakan satu bentuk kitaran yang tidak akan berhenti,” ujar graduan Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom itu.

Tidak menolak untuk menerima lebih banyak tawaran pada masa akan datang, Lisa berkata, semuanya bergantung kepada rezeki Allah.

“Alhamdulillah, sepanjang saya menceburkan diri dalam bidang ini, rezeki yang diberikan tidak pernah putus.

“Selagi semuanya selari dengan matlamat saya, tidak salah rasanya untuk terus menerima tawaran daripada syarikat tempatan atau antarabangsa yang menginginkan saya mewakili produk mereka,” ujarnya lagi.

Tidak sembrono dalam lakonan

Penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 itu pernah mengakui yang dia tidak gemar menonton filem seram. Namun, bagi mengembangkan bakat serta kebolehannya dalam bidang lakonan, Lisa akhirnya bersetuju untuk membintangi sebuah filem seram arahan Jason Chong berjudul Dendam Orang Mati.

“Ya, saya pernah cakap yang saya memang tidak suka menonton filem seram tetapi suami saya, Yusry (Abdul Halim) banyak memberikan galakan kepada saya untuk mencuba sesuatu yang di luar daripada zon selesa.

“Dia pernah berkata, jika mahu bergelar pelakon serba boleh, saya perlu berani untuk cuba melakonkan apa jua watak sekali_pun. Walaupun watak untuk sebuah genre yang kurang saya gemari,” katanya seraya ketawa.


PELAKON filem Goodbye Boys itu tidak menjadikan gelaran ‘buah hati rakyat Malaysia’ sebagai penghalang buatnya untuk mencuba pelbagai watak yang ditawarkan

Ditanya sama ada dia tidak kisah jika kerap dilihat berlakon dalam filem terbitan suami sendiri. Lisa berkata, dia ambil sikap positif, lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan karier lakonan.

“Bidang lakonan itu luas. Sebelum menerima sebarang tawaran untuk membintangi mana-mana filem, saya terlebih dahulu melihat kepada skripnya, jalan cerita, pengarah dan pelakon lain yang terlibat.

“Saya tidak semborono membuat pilihan atau keputusan tanpa menilaikan sesebuah karya dengan terperinci,” ujarnya.

Pelakon yang bakal muncul dengan sekuel ketiga filem Cicak-Man itu juga mengakui, keterbatasan watak yang diterimanya bukan disebabkan oleh jolokan ‘buah hati rakyat Malaysia’ (Malaysian Sweetheart) yang diberikan oleh para peminat kepada dirinya.

“Saya sangat berterima kasih dengan gelaran tersebut tetapi saya percaya, jolokan itu bukan penghalang untuk pihak penerbit membatas watak-watak yang lebih mencabar buat saya,” tutur Lisa sambil tersenyum.




Jadual kerja tidak padat

Jika ditilik jadual harian pelakon berbintang Aries itu, pasti ramai yang menganggap Lisa tidak mempunyai banyak masa untuk berehat.

Baru menamatkan pementasan teater P. Ramlee The Musical musim ketiga di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lisa berkata, jadual hariannya sebagai seorang pelakon tidaklah terlalu padat. Bahkan, corak kariernya boleh dikatakan sama sahaja dengan individu bekerjaya yang lain.

“Saya rasa, jadual harian saya sama sahaja dengan mereka yang bekerja di pejabat. Apa yang berbeza cuma waktu kerja yang tidak menentu serta lokasi tempat kerja yang sering bertukar.

“Hakikatnya, saya masih bekerja. Saya juga berpeluang untuk bercuti, sama seperti orang lain. Apa yang penting, kesederhanaan dan keseimbangan ketika sedang bekerja,” tuturnya yang bakal melancong ke Pulau Pinang bersama keluarganya pada penghujung tahun ini.

View the original article here

Tuesday, 23 September 2014

Teater Bangsawan Badang, terap mesej berguna



KISAH Badang yang perkasa sememangnya begitu dekat dengan masyarakat kita namun ianya kini seolah-olah makin dilupakan generasi muda.

Demi menghidupkan semula kisah lagenda ini, Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerbitkan pementasan teater Bangsawan 'Badang' di Auditorium DBKL, baru-baru ini.

Teater tulisan Roydy Anuar Eddy Sauly dan arahan M Nasri Ayob ini menampilkan barisan pelakon lulusan ASWARA iaitu Shahrul Mizad Ashaari, Juhara Ayob, Syed Atiq Wan Long, Eliza Mustafa, Hairi Safwan serta ramai lagi.






Dipentaskan selama dua jam lebih, teater Badang pernah dihasilkan dalam bentuk filem klasik pada 1962, nyata ia agak berbeza apabila dipentaskan ke bentuk berbeza.

Perbezaan yang jelas dilihat berbanding filem arahan S. Romai Noor itu dari segi penceritaan, penggunaan bahasa dan lenggok pertuturan.

Para pelakon dilihat begitu menitik beratkan penggunaan bahasa agar ia tidak lari daripada konsep asal bangsawan yang kian luput dalam ingatan masyarakat.

Secara keseluruhannya, penulis berpendapat, kisah sang perkasa ini begitu menarik untuk dipertonton biarpun ia berkisar mengenai kisah dogeng.

Malah dari segi idea yang ditampilkan, ia kelihatan segar namun tidak lari daripada konsep asal.


Bangsawan Badang mengisahkan seorang pemuda yang bernama Badang yang sering dikritik kerana fizikal yang kurus dan tidak bermaya.

Suatu hari, Sultan negeri Langka Puri, Sultan Naim Syah mengumumkan untuk mengadakan pertandingan mengangkat batu besar yang menghalang pemandangan istananya.

Dalam titahnya itu, barang siapa yang berjaya berbuat demikian, dia akan dilantik menjadi Datuk Laksamana Negeri.

Keinginan Badang untuk menyertai pertandingan itu membuatkan pendekar-pendekar negeri itu diketawakan sehingga Badang merajuk membawa diri ke sungai.

Tibanya ke tempat tersebut, Badang kecewa melihat bubu ikannya rosak dan kosong membuatkannya berazam untuk menangkap pencuri tersebut.

Tanpa disangka, pencuri tersebut merupakan Hantu Air yang kemudiannya menawarkan Badang kuasa sakti sebagai syarat untuk lepaskan diri.

Selepas peroleh kuasa itu, Badang terus meninggalkan Hantu Air menuju ke istana dan dia berjaya mengangkat batu besar tersebut.

Namun selepas dilantik menjadi Laksamana dan terkenal kerana kegagahan dan keperkasaannya, Badang mula lupa diri dan bongkak.

Walaupun mengetahui Puteri itu adalah tunangan Tengku Muda Alam Perkasa, namun Badang berkeras untuk memperisterikan Puteri Seri Nilam Cahaya.

Sehinggalah Sultan menitahkan untuk mengadakan perlawanan beradu tenaga antara mereka. Namun akhirnya, Badang tewas akibat tusukkan buluh teberau runcing dan dilucutkan jawatan.

Diarahkan M. Nasri Ayob, ternyata pementasan ini bukan sekadar untuk berhibur sahaja sebaliknya ia tersirat dengan tauladan berguna untuk penonton.

Katanya, mesej yang hendak disampaikan menerusi Badang amat mudah, iaitu mahu mengingatkan penonton supaya tidak tamak dan berbangga diri dengan apa yang mereka ada.

Sebagai contoh, apabila dikurniakan pangkat dan kuasa, Nasri berkata jangan menjadi sombong kerana ia hanya sementara sama seperti Badang.

Katanya, kita hanya manusia biasa perlu bersyukur dengan apa yang diberikan dan tidak boleh mengikut perangai Badang yang tidak pernah bersyukur dengan anugerah yang diberikan.

Baginya, teater Badang merupakan sebuah karya yang hebat kerana jalan ceritanya dan mesej yang cukup jelas untuk difahami.

"Kita sedia maklum bahawa pementasan karya sebegini cabaran sangat besar. Lagipun cerita rakyat ini cukup popular sehingga ia dipentaskan dalam pelbagai medium termasuk filem dan buku cerita.

"Jika dilihat, usaha untuk mevisualkan Badang sangat rumit kerana perlu menggunakan lenggok bahasa orang zaman dahulukala," jelasnya.




Hairi bersilat dalam 'Badang'

Lulusan program realiti televisyen Anak Wayang, Hairi Safwan, 26, terkenal dengan karakter antagonis yang sering dilakonkan di kaca TV termasuk drama popular, Kerana Terpaksa Ku Relakan.

Menerusi Badang pula, Hairi melakonkan watak Tengku Muda Alam Perkasa, tunang kepada Puteri Sri Nilam Cahaya.

Wataknya kali ini, dia dilihat banyak bertempur dengan Badang (Syed Atiq) yang ingin merampas puteri raja itu.

Bahkan Hairi mampu menguasai seni mempertahankan diri itu dengan baik biarpun baru sahaja mempelajari seni silat.

Bercerita mengenai lakonannya itu, dia menjelaskan pernah menonton filem Badang sebelum ini dan dapat memahami jalan cerita tersebut.

Walaupun tidak memegang watak utama, Hairi tetap bersyukur kerana menerusi watak ini dia dapat tampilkan permainan seni silat Melayu yang menarik.

"Mungkin ramai yang tidak faham permainan silat persembahan dan permainan di gelanggang sebenarnya berbeza dari segi gerakan dan bunga silat.

"Paling penting, saya titik beratkan aspek gerakan silat agar ia tak nampak kekok dan cacat," katanya.

Meskipun sukar untuk memenuhi komitmen latihan kerana jadual lakonan yang padat, Hairi berkata dia berusaha untuk melakukan yang terbaik.

Tidak hanya membintangi teater bangsawan Badang sahaja, Hairi sebenarnya pernah terlibat dalam bangsawan 12 Gayung Fatani, Tun Teja, Burung Tiong Seri Gading, Raden Galoh dan Satria Menara Putih.


Tinggal berjauhan

Baharu sahaja melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihannya, Fara Afiza Azman, 24, pada Mac lalu, Hairi mengakui tidak tinggal sebumbung dengan isterinya itu.
Jelasnya, dek kesibukan kerja dan terikat dengan tugas, mereka terpaksa berjauhan buat sementara.

"Lagipun isteri terikat dengan tugasan di Maktab Perguruan Bangsar manakala saya sibuk dengan tawaran lakonan.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik walaupun kami jarang berjumpa," ujarnya.

Sambungnya lagi, masing-masing memahami tugas dan jika ada kelapangan di hujung minggu mereka pasti akan bertemu.

Ada kalanya, mereka tidak dapat bertemu selama dua minggu kerana tiada masa untuk bersama.

"Saya bertuah kerana isteri semakin faham kerja saya sebagai pelakon yang tidak mempunyai waktu kerja yang tetap," katanya.

Ditanya mengenai soal anak, Hairi berkata dia mahu isterinya menghabiskan pelajarannya dahulu baru memikirkan untuk mempunyai zuriat.

Pasangan ini bernikah di Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang manakala majlis resepsi pula diadakan pada 7 Jun lalu di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah.

View the original article here