Sunday 21 September 2014

Dugaan darah manis Erin Malek, Farriz



ERIN MALEK sedar dia kini berhadapan dengan banyak dugaan untuk bergelar suami isteri. Gosip terlebih manja yang disebarkan hujung minggu lalu dianggap sebagai salah satu dugaan buatnya.

PELAKON Erin Malek yang sedang menghitung hari untuk bergelar isteri kepada tunangnya, Farriz Fauzy, 30, pada 10 Oktober depan dikejutkan dengan kontroversi terbaharu.

Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, Erin didakwa beraksi terlebih manja bersama tunangnya sehingga mengundang rasa kurang selesa orang sekeliling ketika berjalan di Matta Fair, yang diadakan di PWTC yang berlangsung awal September lalu.






Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, tidak menafikan mereka berjalan berpegangan tangan namun, menafikan bermanja melebihi batasan ketika berada di tempat umum.

Meskipun tidak melatah dengan kontroversi terbaharu itu, tetapi Erin mengakui kontroversi itu mencalarkan nama baiknya dan keluarga kerana tidak sampai sebulan mereka akan dinikahkan sebagai pasangan suami isteri.

Menganggap cerita itu hanya fitnah dan dugaan sebelum perkahwinannya, Erin memberitahu dia sedar statusnya sebagai artis dan tunangan orang membuatkan dia lebih menjaga tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.

Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya baru-baru ini.

Kosmo!: Benarkah Erin beraksi terlebih manja bersama tunang ketika berada di Matta Fair baru-baru ini?

Erin: Apa yang boleh saya katakan itu hanyalah fitnah semata-mata. Saya mengaku pergi berjalan di Matta Fair bersama Farriz dan berpegangan tangan seperti pasangan kekasih lain, tetapi saya tidak melakukan perkara menjolok mata yang boleh memalukan diri sendiri.

Apakah perasaan anda apabila kontroversi ini keluar?

Saya tidak marah tetapi saya geram kerana secara tidak langsung ia memalukan saya dan keluarga. Selepas cerita itu keluar, kami berdua terpaksa terangkan hal yang sebenar kepada keluarga. Saya bersyukur keluarga kami berdua memahami apa yang berlaku.

Bagaimana pula penerimaan Farriz apabila namanya turut dikaitkan dalam kontroversi itu?

Sejak kami bertunang pada 21 Jun lalu, dia amat memahami kerjaya saya sebagai artis. Dia menerima kontroversi itu dengan baik. Bagaimanapun, saya bimbang andai kontroversi ini berpanjangan kerana tidak sampai sebulan lagi saya akan berkahwin dan bergelar isteri orang. Cerita seperti ini kurang manis, jadi saya mengambil langkah untuk tidak mengambil peduli tentangnya.

Adakah anda sedar setiap tingkah laku anda diperhatikan masyarakat?

Saya sedar sebagai artis, apa yang saya lakukan akan menjadi perhatian. Sembilan tahun saya bekerja sebagai pelakon, walaupun masih muda, saya tahu baik buruknya dunia hiburan. Sebelum ini saya juga pernah dilanda kontroversi dan telah belajar daripada kesilapan yang lalu. Saya tahu batas untuk menjaga maruah diri. Selepas apa yang berlaku, saya hanya berserah pada Allah untuk membalasnya.




Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan?

Setakat ini, ia sudah sampai ke peringkat mengedarkan kad perkahwinan kepada jemputan. Semua persiapan berjalan lancar tetapi saya masih bekerja lagi. Minggu hadapan barulah saya akan bercuti untuk memberi fokus kepada majlis perkahwinan yang berlangsung pada 10 Oktober depan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.

Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda?

Terbaharu, saya sedang menjalani penggambaran telefilem Dia Ayah Saya. Buat masa ini, itu sahaja penggambaran yang saya ambil sebelum bercuti panjang.

View the original article here

No comments:

Post a Comment