Thursday, 25 September 2014

Kalah, menang adat bertanding - Yana Samsudin


YANA SAMSUDIN menafikan bahawa dia berasa kurang puas hati terhadap kemenangan Maya Karin dalam kategori Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Filem) pada acara Anugerah Lawak Warna, baru-baru ini.

"ITU reaksi biasa daripada peminat," tutur Yana Samsudin, 29, ketika ditanya berhubung dakwaan sebuah blog hiburan yang mengatakan, dia tidak berpuas hati terhadap kemenangan pelakon Maya Karin pada Anugerah Lawak Warna menerusi laman Twitternya baru-baru ini.

Pada malam penganjuran anugerah tersebut, peminat kepada pelakon filem Adnan Sempit itu tidak putus-putus menghantar tweet berbaur tidak puas hati kepadanya.

Menerusi tweet berkenaan, mereka seperti tidak bersetuju dengan pemilihan Maya Karin sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Filem) untuk filem Sejoli.






Pada pendapat mereka, Yana yang tercalon menerusi filem Adnan Sempit 3 patut memenangi anugerah tersebut, bukannya Maya.

Bagaimanapun, tindakan Yana yang menjawab tweet tersebut menggunakan fungsi ulang tweet (retweet) telah menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi.

Menjawab sendiri persoalan tersebut kepada Kosmo!, Yana berkata, dia tidak berniat mahu menimbulkan sebarang sengketa dengan Maya. Dia berbuat demikian semata-mata mahu menjawab tweet yang dihantar oleh peminatnya.

Kosmo!: Adakah benar Yana tidak berpuas hati dengan kemenangan Maya Karin tempoh hari?

YANA: Saya tidak pernah rasa kurang senang dengan kemenangan rakan-rakan artis lain pada setiap penganjuran majlis anugerah. Rezeki masing-masing kita tidak boleh jangka.

Mengapakah anda bertindak mengulang tweet peminat yang tidak berpuas hati dengan kemenangan Maya?

Saya sudah terbiasa dengan cara begitu. Lagipun, saya kerap menjawab soalan-soalan yang diajukan daripada peminat menerusi Twitter. Biasalah, peminat akan sedih jika artis kegemaran mereka kalah dalam sesebuah anugerah.

Apakah tujuan utama anda mengulang tweet dan menjawab luahan hati para peminat anda?

Sejujurnya, saya tidak tahu perkara sebegini pun boleh dijadikan isu oleh penulis blog. Justeru, jawapan yang saya berikan kepada peminat bertujuan untuk memujuk mereka supaya menerima apa yang telah diputuskan.

Bagaimana pula dengan tindakan penulis blog yang gemar memperbesarkan isu-isu kecil seperti ini?

Saya pun tidak faham kenapa penulis blog tersebut tidak memaparkan balasan tweet-tweet yang lain. Mungkin kerana adanya nama Maya Karin, terus isu ini diperbesarkan. Pada dasarnya, saya langsung tidak berkecil hati.




Apa pendapat anda tentang kekalahan di dalam anugerah berkenaan?

Kalah atau menang, itu adat pertandingan. Lagipun, Anugerah Lawak Warna diadili oleh juri-juri profesional. Jika seseorang artis diiktiraf, maka dia memang benar-benar layak.

Pada pendapat anda, apakah rasionalnya penganjuran anugerah yang dikhususkan untuk genre komedi?

Secara peribadi, Anugerah Lawak Warna merupakan satu anugerah yang baik. Menerusi platform ini, pelawak dan karya bergenre komedi dapat dinilai dan diiktiraf.

Anda begitu terkenal dengan watak komedi. Adakah anda akan kekal dengan genre berkenaan?

Saya tidak boleh bersifat selektif. Saya perlu mencuba semua watak yang ditawarkan agar setiap kelemahan dapat diperbaiki.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Buat masa ini, saya sibuk mengikuti promosi jelajah bersama Kopi Super. Jadi, aktiviti lakonan terpaksa diperlahankan seketika.

View the original article here

No comments:

Post a Comment