Sunday, 28 September 2014

Sofi Jikan suntik bisa sengat



BIARPUN pernah mengumumkan mahu meninggalkan bidang lakonan, Sofi Jikan tetap menerima tawaran berlakon di dalam drama rantaian Hollywood. Drama yang berjudul Marco Polo itu telahpun selesai menjalani penggambaran.

SEBUT sahaja filem KL Gangster, pastinya ramai yang terkesan dengan watak Ajib Sengat yang dipegang oleh Sofi Jikan. Persembahan lakonan yang mampu memberi impak kepada penonton membuatkan pelakon bersosok kurus kering itu tidak asing lagi dalam dunia filem genre aksi dan lagak ngeri.

Namun, itu semua tidak lagi menjadi keutamaannya kini. Pernah mengejutkan dunia hiburan dengan berita pengundurannya daripada bidang lakonan, Sofi beralih arah mengejar impian apabila menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Dia menyasarkan produk kesihatan berasaskan herba sebagai produk untuk dipasarkan.






Nekad berniaga

Bertahun lamanya mengabdikan diri dalam dunia lakonan, kini Sofi mencuba haluan yang awalnya asing buat dirinya.

Memberanikan diri merentas bidang baharu yang sudah lama berada dalam impiannya, Sofi bergerak dengan usaha sendiri bagi merealisasikan keinginan hati untuk bergelar seorang usahawan berjaya.

Bertempat di Red Quattro, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Sofi telah memperkenalkan produk keluarannya dalam satu majlis iaitu produk Sengat. Produk minuman untuk kesihatan itu menawarkan produk kopi Jantan Sengat dan kopi Sengat Kacip Fatimah 7 Dalam 1.

Mendapat kerjasama daripada syarikat pembekal alat permotoran, Red Quattro Sdn. Bhd., Sofi menggunakan peluang yang datang depan mata dengan sebaiknya. Secara tidak langsung, dalam konsep situasi menang-menang, Sofi pula diambil menjadi duta produk syarikat itu.

“Sebenarnya, saya terdetik untuk serius dalam bidang perniagaan sejak Ramadan yang lalu. Hal ini disebabkan bidang perniagaan menjanjikan pulangan yang berganda. Tidak seperti filem.

Berlakon drama Hollywood

Ditanya mengenai status dirinya adakah dia benar-benar sudah tidak mahu muncul dalam dunia lakonan lagi, Sofi mengakui, ternyata kali ini dia sudah mati hati untuk berlakon lagi.

“Saya selesa untuk bercakap benar. Saya sudah tawar hati. Hilang minat. Terlalu banyak perkara yang tidak boleh dinyatakan sebab dan mengapa. Tapi, apa yang mampu saya katakan, buat masa sekarang, pintu hati saya telah tertutup untuk berlakon lagi.

Bagaimanapun, Sofi mengaku, dia terbabit dengan satu episod daripada drama rantaian Hollywood berjudul Marco Polo.

Ia sekali gus menafikan dirinya menerima sehingga RM1 juta kerana terbabit untuk 10 episod dengan setiap episod dibayar RM100,000.

“Bukan 10 episod, tapi cuma satu episod sahaja. Tentang bayarannya pula saya tidak mahu beritahu berapa harga sebenar yang diberikan kepada saya,” katanya tentang drama yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan itu.




Usaha sendiri

Sementara itu, bercakap tentang kerjasama yang dijalinkan bersama syarikat pengeluar produk kesihatan tersebut, Sofi yakin ia mampu membuka peluang cerah kepada dirinya.

“Saya nampak ruang terbuka luas dalam bidang perniagaan. Dahulu saya pernah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bersama rakan-rakan. Jadi mengapa untuk saya meneruskan hasrat itu dengan menubuhkan empayar perniagaan sendiri,” tambahnya yang mengambil inisiatif sendiri untuk mencari peluang berkenaan.

“Semua benda ini saya tidak dapat dengan mudah, sebaliknya saya usaha sendiri. Saya pergi ketuk pintu pejabat orang dan bawa proposal perniagaan untuk mereka dan Alhamdulillah hari ini, anda semua dapat lihat hasilnya,” tambah Sofi yang kini masih meneruskan proses suntingan akhir filem arahannya, GangsterRock.

Filem itu adalah buah tangan sulung yang menguji kredibilitinya sebagai pengarah. Filem lakonan Khir Rahman, Izara Aishah, Wan Hanafi Su, Nam Ron serta Syafie Naswip itu dijangkakan menemui penonton pada tahun depan.

View the original article here

No comments:

Post a Comment