Monday, 20 October 2014

Astro tarik diri


DRAMA Karlos Bolos antara drama yang tercalon untuk kategori Drama Premium Terbaik.

PERANG siaran drama sempena Anugerah Skrin 2014 (ASK2014) sudah bermula. Seiring dengan perang yang dilancarkan antara produser drama tempatan, suhu anugerah yang sudah memasuki penganjuran edisi ke-18 itu mulai memanas apabila stesen televisyen Astro (Measat Broadcast Network System) telah menarik diri daripada menghantar sebarang pencalonan untuk tahun ini.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Sherina Nordin, apabila pihaknya menerima kiriman e-mel daripada wakil Astro menyatakan keputusan stesen televisyen swasta berkenaan untuk tidak bertanding dalam ASK2014.






“Pihak Astro ada mengikuti sesi taklimat awal yang kami adakan untuk pencalonan ASK2014 yang telah dibuat, namun mereka menarik diri daripada mencalonkan karya-karya siaran stesen mereka.

“Kami tidak pasti sebab-sebabnya, namun ASK2014 bukanlah satu-satunya anugerah yang tidak disertai oleh Astro. Pengunduran Astro tidak akan menjejaskan perjalanan anugerah tahun ini kerana tujuan penganjuran ASK ialah untuk mengiktiraf kualiti karya yang dihasilkan oleh syarikat produksi bukannya stesen televisyen,” ujar Sherina yang ditemui pada sidang akhbar ASK2014 di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kesan daripada penarikan diri Astro, ASK2014 mengalami penurunan jumlah penyertaan, namun tidak mematahkan persaingan antara stesen televisyen yang telah menghantar penyertaan yang terdiri daripada rangkaian televisyen Media Prima (TV3, ntv7, 8TV, TV9), RTM, Bernama dan TV Al-Hijrah.

Pelakon dan penerbit popular, Datuk Rosyam Nor yang turut hadir pada sidang media ASK2014 terpanggil memberi reaksi berhubung isu penarikan diri Astro. Menyifatkan Astro mempunyai alasan tersendiri, Rosyam menjangkakan, stesen televisyen berbayar itu sudah merancang sebuah majlis anugerah berasingan pada masa hadapan.

“Setiap stesen televisyen ada hala tuju berbeza, mungkin Astro akan mengadakan anugerah drama yang disiarkan stesen sendiri memandangkan di bawah bumbung Astro juga ada beberapa buah saluran lain.

“Jika saya tahu ada drama terbitan saya yang bagus, namun tidak dapat bertanding dalam anugerah ini kerana pengunduran Astro, perkara itu sedikit sebanyak melemahkan saya. Walau bagaimanapun, itu adalah hak stesen televisyen kerana karya itu sudah dijual dan menjadi milik stesen televisyen berkenaan. Pihak stesen televisyen berhak bersuara dan menentukan keputusan,” kata Rosyam yang turut ditemani dua pelakon berbakat besar Shafie Naswip dan Izreen Azminda.

Sementara itu, Sherina memaklumkan bahawa ASK2014 masih mempertandingkan 32 kategori yang dipertandingkan meliputi filem, drama dan penerbitan dalaman seperti tahun-tahun terdahulu. Pada masa yang sama, ASK tahun ini turut menambah dua kategori baharu iaitu Drama Premium Terbaik dan Drama Bersiri Terbaik Di Laman Sosial.

“Dua kategori baharu yang diperkenalkan itu sebagai tanda pengiktirafan serta memenuhi peredaran zaman yang tidak terpisah daripada media sosial. Sokongan di media sosial membuatkan sesebuah drama menjadi popular dalam kalangan pengguna internet. Drama yang bertanding dalam kategori Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial akan diadili berdasarkan ranking trending di laman sosial untuk setiap episod atau pada waktu sesebuah drama itu bersiaran.

“Kategori Drama Premium Terbaik pula bertujuan menggalakkan penghasilan drama dengan bajet RM150,000 ke atas dan mempunyai nilai sinematografi dan fotografi yang artistik.

“Hal ini bukan bermakna drama yang dihasilkan dengan bajet yang rendah tidak berkualiti, namun kami menyasarkan drama yang dihasilkan dengan bajet tinggi dapat menembusi pasaran dan siaran di negara luar,” Sherina.

Pencalonan drama dan filem yang dipertandingkan pada ASK2014 terdiri daripada naskhah yang telah ditayangkan di kaca televisyen atau pawagam mulai 1 Julai 2013 hingga 30 Jun 2014. Antara drama yang layak bertanding dalam kategori Drama Terbaik tahun ini ialah Racun Ibu, Balqis, Perjalanan, Mengejar Neraka, Bini Aku Hantu Langsuir dan Matahari Terbit Lagi.

Drama rantaian seperti Menjinak Ombak, Ummi, Derhaka Seorang Madu, 7 Suami dan Aku Ada Wali juga layak dipertandingkan dalam kategori drama rantaian namun hanya dua buah drama layak bertanding untuk kategori baharu Drama Premium Terbaik iaitu Karlos Bolos dan 7 Jam.

Kategori filem pula menyenaraikan 52 buah filem layak bertanding. Filem-filem berkenaan termasuklah Abang Long Fadil, Adnan Sempit 3, Apokalipsx, Fobia Malam Pertama, Kami Histeria, KL Gangster 2, Kolumpo, Lemak Kampung Santan, Papadom 2, Sejoli dan Tanda Putera.

Anugerah Skrin 2014 akan diadakan pada 7 November 2014 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula pukul 9 malam. Rancangan itu akan disiarkan secara langsung di saluran TV3.



View the original article here

No comments:

Post a Comment