Monday 20 October 2014

Radio iM4U FM mula beroperasi


TERAJU utama stesen radio iM4U. Pengarah Radio iM4U FM, Kartini Kamalul Ariffin (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi radio iM4U, Azlan Rudy Malik.

BERMULA 15 September lalu, stesen radio iM4U FM telah beroperasi di sekitar Lembah Klang menerusi frekuensi 107.9 FM. Melihat kepada nama iM4U yang diguna pakai, timbul persoalan adakah stesen itu bertindak sebagai salah sebuah radio saluran kerajaan memandangkan sebelum ini nama itu pernah digunakan dalam kempen 1Malaysia Untuk Belia (1M4U) yang diasaskan oleh kerajaan.

Menjawab persoalan itu, Ketua Pegawai Operasi iM4U FM, Azlan Rudy Malik menyedari penggunaan nama yang lebih kurang sama iaitu iM4U FM dan kempen 1M4U menyebabkan kekeliruan tersebut. Namun, peranan kerajaan dalam radio iM4U hanyalah menyalurkan sebahagian daripada dana sukarelawan 1 Malaysia (DRe1M) yang berjumlah RM100 juta kepada stesen radio tersebut.






“iM4U merupakan sebuah badan bukan kerajaan, kami beroperasi seperti radio komersial yang lain. Bezanya, kami menumpukan kepada aktiviti khidmat sosial dan hiburan untuk golongan belia. Selain itu radio ini ditubuhkan menggunakan sebahagian daripada dana RM100 juta yang disalurkan kerajaan untuk melakukan aktiviti dan kempen khidmat sosial melibatkan golongan muda.

“Ingin saya tegaskan disini, radio iM4U tidak terlibat dan tidak dimiliki oleh mana-mana parti politik. Saya harap semua orang jelas dengan perkara ini,” ujar Azlan yang ditemui pada majlis pelancaran radio iM4U di White Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Tegas Azlan, iM4U bermakna 1 Malaysia For Youth dipilih sebagai nama stesen radio itu kerana sesuai dengan misi yang dibawakan mereka iaitu menyatukan golongan belia tidak kira bangsa dan agama untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti khidmat sosial. Keuntungan yang diraih stesen radio itu juga akan digunakan semula kepada aktiviti khidmat sosial golongaan belia.

“Berdasarkan kajian, belia daripada pelbagai kaum lebih mudah bersatu apabila mereka terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Jadi, saya berpendapat alangkah bagusnya jika golongan belia yang suka melakukan aktiviti khidmat sosial ini mempunyai platform mereka sendiri iaitu radio iM4U.

“Di sini, mereka boleh berkongsi aktiviti yang dilakukan dan tugas kami menyebarkan aktiviti khidmat sosial tersebut supaya disertai oleh lebih ramai belia. Kenapa memilih radio, saya rasa hiburan tidak dapat dipisahkan daripada golongan belia. Sambil mereka berhibur, kami juga memupuk kesedaran untuk melakukan kerja sukarelawan kepada pendengar,” kata Azlan.

Azlan yang merupakan salah seorang anggota band terkenal iaitu Pop Shuvit memberitahu, pihaknya sengaja memilih penyampai radio baharu daripada mengambil selebriti popular supaya mereka boleh memberi produk yang lebih segar kepada pendengar. Bahkan, pihak iM4U telah menjalankan proses uji bakat di seluruh negara untuk mencari penyampai radio yang berbakat.

“Saya tidak nafikan pengaruh selebriti untuk radio ini lebih dikenali. Bagaimanapun saya percaya, jika kami mencari penyampai radio yang benar-benar berbakat walaupun mereka tidak popular pendengar tetap akan tertarik dengan mereka.


BARISAN penyampai radio iM4U bersama ‘orang kuat’ radio iM4U (duduk, dua dari kiri), Azlan dan Kartini.

“Sungguhpun begitu, saya tidak menolak andai ada selebriti yang ingin turut serta dalam perjuangan radio iM4U. Mungkin kami akan mengundang selebriti tampil dalam segmen khas. Antara selebriti yang dilihat berminat ialah penyanyi Altimet. Dia selalu menyokong aktiviti khidmat sosial yang kami jalankan. Andai segmen itu mendapat sambutan, kami akan jadikan ia satu segmen tetap. Bagaimanapun, semuanya masih dalam peringkat perbincangan,” ulas Azlan.

Radio iM4U yang bersiaran dari Kompleks Rakan Muda, Puchong, Selangor itu memainkan 70 peratus lagu dalam bahasa Melayu dan 30 peratus lagu bahasa Inggeris.

Terang Pengarah Radio iM4U FM, Kartini Kamalul Ariffin, berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum radio itu bersiaran, lagu antarabangsa juga memberi impak yang besar kepada rating sesebuah stesen radio.

“Bukan saya kata lagu Melayu tidak diminati tetapi mereka juga suka mendengar lagu bahasa Inggeris. Untuk menarik perhatian golongan muda, radio iM4U harus menghidangkan lagu dan segmen mengikut cita rasa belia,” kata Kartini.

Tambah Kartini, pihaknya juga merancang untuk meluaskan frekuensi radio iM4U ke luar bandar selepas berjaya memikat hati pendengar di Lembah Klang.

“Perancangan kami mahu meluaskan frekuensi radio iM4U ke seluruh negara. Bagaimanapun, perkara itu melibatkan kos yang amat tinggi. Sebelum kita pergi lebih jauh, lebih baik kukuhkan dahulu pengaruh di kawasan Lembah Klang,” ujar Kartini yang memberitahu, pihak im4U turut menganjurkan pelbagai bengkel untuk golongan belia.

Buat masa ini, radio iM4U mempunyai lima segmen tetap yang dikendalikan oleh Mohd Shahrizal Sulaiman (Shah Bangkit), Mohammad Nasrun Abu Sofian (Nasrun), Thevanesh Rao (TV), Mohammad Aizat Ahmad Nazri (Jiggy), Tyler Sern Liang Lim (Tyler), Izzul Faiz Idrus (John Bear) dan Nur Hidayah Abu Bakar (Dayah Bakar).

Pada majlis pelancaran iM4U FM, ramai selebriti turut hadir memberi sokongan antaranya Amy Search, Noh (Hujan), Sazzy Falak, Diandra Arjunaidi, Fynn Jamal, Radhi OAG dan Bunkface.



View the original article here

No comments:

Post a Comment