Saturday 4 October 2014

Che Ta, Zain tidak kisah jika bakal bayi berlakon iklan



BERBAHAGI rasa antara berdebar dan seronok, Rozita anggap Zain, orang yang paling tidak sabar menunggu kelahiran anak mereka.

BAKAL menimang cahaya mata tidak lama lagi, pasangan selebriti popular, Rozita Che Wan atau Che Ta, 41, dan suaminya, Zain Saidin, 30, nyata teruja menanti kehadiran penyeri baharu dalam hidup mereka.

Mereka juga tanpa berselindung meluahkan kata sepakat, tidak kisah sekiranya bayi dalam kandungan yang bakal dilahirkan pada bulan November itu terdedah kepada mana-mana program pengiklanan selepas ini.






“Jika ada mana-mana syarikat produksi pengiklanan menawarkan bayi kami nanti terlibat dalam iklan mereka, kami tidak kisah. Perkara itu tidak akan menjadi masalah kerana daripada situ juga, boleh menjadi sumber pendapatan dan simpanan untuk kegunaan bayi kami pada masa hadapan.

“Tetapi, itu semua terpulanglah kepada keadaan. Harus dikira juga sama ada bayi kami nanti mudah mesra dengan kamera atau tidak,” ujar Che Ta yang kini sarat menghitung hari.

Menurut Che Ta lagi, segala persiapan bagi menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka telah siap sepenuhnya. Dari segi persiapan tempat tidur sehinggalah pakaian bayi, segalanya telah dirancang sempurna.

“Alhamdulillah semuanya telah selesai. Katil bayi kami sudah siap hias, pakaian bayi juga sudah dibeli. Begitu juga dengan segala kelengkapan bayi yang lain. Sekarang, hanya menunggu sahaja masanya bila si kecil kami akan keluar,” ujar Che Ta manis sambil mengusap lembut kandungannya.

Pasangan itu ditemui dalam majlis pelancaran program realiti Pureen Chak Chak Che Ta & Zain di Restoran Marmalade, Bangsar Village 2, baru-baru ini.

Menyingkap mengenai program baharu terbitan Astro itu, ia merupakan sebuah program yang memaparkan fasa kehidupan Che Ta dan Zain dalam meniti hari bergelar ibu dan bapa. Bermula dengan momen persiapan menyambut kehadiran cahaya mata, detik-detik cemas ketika ingin bersalin dan sehinggalah kepada pengalaman awal dalam membahagikan masa untuk karier dan anak.

Selain kisah kehidupan baharu Che Ta dan Zain, program yang akan menemui penonton bermula Disember menerusi saluran Astro Ria itu, turut menampilkan pasangan selebriti popular Scha Alyahya dan Awal Aashari dengan bayi mereka, Lana Alana.

Mengakui teruja, Che Ta juga nyata berdebar memikirkan saat-saat kelahiran bayinya nanti. Setelah hampir 16 tahun tidak melalui fasa hamil dan bersalin, perasaan cemas tidak dapat diketepikan. Hasil perkahwinan terdahulu, Che Ta sudah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.




“Saya tidak mampu hendak menafikan betapa berdebar dan takutnya saya walaupun sudah berpengalaman melahirkan dua orang anak sebelum ini. Pengalaman bersalinkan Ammar dan Aniq itu sudah lama dahulu. Ketika itu saya masih muda.

“Sekarang, pada usia 40-an begini, saya tetap berasa takut. Namun, perasaan berdebar itu bercampur-campur dengan rasa teruja, seronok dan tidak sabar,” ujarnya ceria.

Berkongsi sisi cerita tentang si suami, dalam berseloroh Che Ta mengatakan bahawa Zain merupakan orang yang lebih teruja berbanding dirinya untuk menyambut kelahiran cahaya mata mereka. Lelaki yang dikahwini pada tanggal 12 Disember 2013 itu seperti sudah tidak sabar untuk menatap bukti cinta mereka.

“Tentunya dia yang paling teruja dan tidak sabar sebab ini pengalaman pertama Zain untuk bergelar ayah. Walaupun begitu, saya juga sangat teruja dengan kelahiran ini nanti, memandangkan bayi dalam kandungan ini bakal jadi anak perempuan pertama saya. “Kami sama-sama teruja,” tutup Che Ta sambil ketawa mengekek.

View the original article here

No comments:

Post a Comment