Saturday, 4 October 2014

Korban rasa Amyra Rosli



PUTUS cinta atau tidak jadi bernikah, itu bukan halangan buat Amyra Rosli meneruskan kehidupannya seperti biasa. Bagi wanita ini, semua yang berlaku merupakan qada dan qadar daripada Ilahi dan dia menerimanya dengan hati terbuka.

PERNAH diasak oleh situasi menghimpit perasaan apabila pernikahannya dengan Dazrin Kamaruddin dibatalkan secara mengejut, pelakon jelita Amyra Rosli kini didesak lagi dengan kontroversi terbaharu. Tidak berjaya lolos daripada terkait cinta sesama artis, Amyra kini dikatakan intim bersama hero Kristal Maya, Shahrizal Jaszle yang bergandingan bersamanya menerusi drama berkenaan.






Entah dari mana dan bagaimana gosip itu bertiup, pemilik nama Nur Amira Izzati Rosli, 23, itu pasrah, lari seribu batu sekali pun, sudah namanya masih dalam lingkungan dunia hiburan, dia tidak akan terlepas daripada mangsa kontroversi.

Bertemu dalam satu majlis meraikan anak-anak yatim dari Rumah Limpahan Kasih Kampung Seri Aman, Puchong dan Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Miskin Baitul Saidati Khadijah baru-baru ini, Amyra dengan tenang bercakap tentang gosip yang melanda dirinya itu.

Seiring dengan kedatangan Hari Raya Aidiladha yang sinonim disebut Hari Raya Korban esok, Amyra meleraikan isi jiwanya. Dia bercerita tentang korban rasa yang harus dilepaskan untuk survival karier yang dicintai.

Kosmo!: KISAH cinta Amyra dan perancangan pernikahan dengan Dazrin sudah berkecai, namun anda dilihat menjalani rutin macam biasa seperti tiada apa-apa yang teruk berlaku, bagaimana situasi Amyra sebenarnya?

AMYRA: Saya memang seorang yang mementingkan kerjaya. Kerja tetap kerja dan saya tidak mahu kisah peribadi jadi penghalang. Sekarang saya baru habis penggambaran drama slot Samarinda berjudul Kristal Maya. Tidak lama lagi saya juga akan muncul dalam drama Suamiku Encik Sotong bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad untuk Astro. Apa yang penting saya perlu meneruskan hidup seperti biasa.

Jadi, adakah itu bermakna bahawa anda sudah bersedia untuk memupuk cinta baharu?

Sehingga kini, saya tidak meletakkan sebarang perasaan istimewa untuk mana-mana lelaki. Saya bukan jenis yang mudah mesra dengan sesiapa sehingga membawa kepada terbitnya perasaan cinta. Saya sendiri susah hendak jatuh cinta dengan seseorang dalam masa yang terdekat ini. Apa yang penting, pandai bawa diri, itu sudah cukup.

Anda masih muda tetapi sifat tabah dan punyai prinsip dalam berdepan tekanan sangat ketara. Selesai kes pernikahan dibatalkan, status hubungan anda bersama Dazrin galak diperkatakan. Jadi bagaimana anda meneruskan kehidupan selepas mengharungi semua itu?

Saya tidak pernah putus berdoa agar dikurniakan jalan hidup yang baik dan dipermudahkan. Saya menerima ketentuan itu sebagai qada dan qadar kerana kami hanya merancang tetapi apa yang berlaku kepada kami itu adalah perancangan Allah.

Kejadian yang berlaku itu mungkin ada hikmahnya, jadi saya terima hati terbuka. Jika kami ditakdirkan untuk bekerjasama dalam lakonan, saya kena korbankan perasaan, saya tiada masalah dalam soal itu. Selama ini saya banyak pengalaman bekerjasama dengan Dazrin. Jadual kerja kami juga diuruskan oleh ibu saya sendiri, jadi memang tiada masalah untuk menyatu dalam lakonan.




Bagaimana pula dengan gosip terbaharu yang mendakwa anda kini menjalin hubungan istimewa dengan Shahrizal Jazsle? Keserasian kalian juga terserlah dalam drama Kristal Maya?

Saya tidak mampu menutup mulut semua orang. Tapi saya sendiri pun tidak tahu bagaimana tiba-tiba sahaja orang boleh mengaitkan kami berdua. Selepas ini, jika saya digandingkan bersama artis lelaki yang lain, mungkin mereka akan mengaitkan artis berkenaan juga dengan saya. Bagi saya, isu ini tidak masuk akal. Saya tidak mahu ambil pusing mengenai isu ini. Ia langsung tidak penting bagi saya.

Apa perasaan anda ketika mula-mula diberitahu tentang gandingan dengan Shahrizal Jaszle dalam drama berkenaan?

Ini merupakan kali pertama saya mengenali dia dan digandingkan dengan Sharizal Jaszle. Sewaktu mula mendapat tahu tentang gandingan ini, saya tidak mengesan sebarang masalah. Selama menjalani penggambaran bersama pun, kami tiada masalah dan banyak berbincang. Bagi saya, Shahrizal seorang yang mudah untuk diajak bekerjasama. Walaupun kali pertama, saya akui kami berdua mempunyai keserasian. Kami berdua mampu menjiwai watak yang sepatutnya.

Bagaimana pandangan peribadi anda mengenai Shahrizal Jaszle?

Dia seorang yang santai, boleh jadi kawan dan mudah diajak berbincang. Jadi, mungkin dari situ kami berdua mendapat keserasian bersama. Saya menghormati dia sebagai kawan dan rakan artis. Persahabatan kami juga hanya di set penggambaran. Tidak lebih daripada itu. Di luar set penggambaran juga kami bertegur sapa tetapi tidaklah seperti rakan rapat yang lain. Maklumlah kami kenal pun bermula daripada drama berkenaan.

View the original article here

No comments:

Post a Comment