Saturday 4 October 2014

Pengorbanan Hafiz Hamidun


Hafiz Hamidun

KOMPOSER dan penyanyi, Hafiz Hamidun bukanlah orang baru dalam industri muzik tempatan.

Penyanyi berunsur ketuhanan yang berusia 30 tahun itu pernah menyertai kumpulan nasyid UNIC dan menghasilkan beberapa album sejak tahun 2003.

Sehingga kini, dia telah menghasilkan lima album solonya termasuklah yang terbaharu, Zikir Terapi Diri 3.






Bahkan, sebelum ini, Hafiz juga telah menganjurkan beberapa konsert Zikir Terapi Diri yang mendapat sambutan hangat daripada peminatnya.

Tidak cukup dengan itu, Hafiz turut merancang untuk mengadakan persembahan zikir di Mega View, Menara Kuala Lumpur, ‘Exclusive Night With Hafiz Hamidun' pada 7 November depan.

Jika melihat kepada susunan jadualnya itu, ternyata figura ini sangat sibuk dengan kariernya.

Begitu pun, di sebalik kejayaan yang di kecapinya itu, mungkin ramai tidak sedar, ia sebenarnya memerlukan pengorbanan yang cukup besar.

"Saya tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga. Malah, kadang-kadang, keluarga yang perlu mengikut jadual saya untuk berjumpa.

"Kadang-kadang, ibu bapa saya mengeluh kerana saya tidak meluangkan lebih masa dengan mereka.

"Dek sibuk juga, pernah saya hanya menyambut raya dalam tempoh sehari saja bersama keluarga.

"Bagaimana saya mahu mencari teman wanita kan?," akuinya kepada Zass.

Tambah Hafiz, semua yang dilakukannya itu adalah pengorbanan daripadanya dan pada masa sama dia juga perlu bersikap adil kepada semua orang.

"Inilah yang dinamakan pengorbanan.

"Biarlah, saya normalkan kembali kehidupan saya dan selepas itu barulah saya akan memikirkan perkara lain.

"Dengan peluang yang ada ini, saya mahu melakukannya dengan bersungguh-sungguh kerana ia bukanlah untuk saya saja tetapi buat semua orang," katanya.




Duet dengan penyanyi rap?

Bercerita lanjut mengenai soal kerjayanya, Hafiz yang baru saja melancarkan album zikir terakhirnya, Zikir Terapi Diri 3 menzahirkan hasratnya untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi rap sambil menyelitkan elemen zikir itu sendiri.

"Saya tahu radio tidak boleh hendak memutarkan selalu lagu-lagu saya kerana konsepnya zikir. Saya faham dan tidak pernah berkecil hati pun.

"Tetapi, saya tahu pasti ada caranya untuk membawa pendengar agar lebih dekat dengan konsep zikir itu.

"Oleh itu, saya perlu memasukkan elemen komersial ke dalam zikir berkenaan melalui kolaborasi yang bakal dilakukan ini dan saya dapat rasakan ia menjadi," katanya.

Tambahnya, keinginannya itu bersandarkan kepada kejayaan beberapa lagu seperti Alhamdulillah nyanyian Yasin duet Too Phat dan Al Haq...Kau Yang Satu dendangan
Mawi dan AC Mizal yang mudah mendapat tempat di hati peminat.

Mengulas lanjut mengenai album zikirnya itu, Hafiz memberitahu Zikir Terapi 3 sedikit berbeza daripada sebelum ini kerana mendapat sentuhan orkestra sepenuhnya selain melibatkan pemuzik dan jurutera bunyi tempatan serta antarabangsa.

Ia mula dipasarkan secara fizikal dan digital mulai Ramadan lalu dan mengandungi 10 zikir dan Hafiz bertindak sebagai komposer dan penggubah muzik.

Dalam perkembangan lain, Hafiz bakal mengadakan persembahan zikir 'Eksklusif Night With Hafiz Hamidun' di Menara Kuala Lumpur pada 7 November depan.

Pada masa sama, Hafiz kini mula mengorak langkah baharu apabila menubuhkan Mikraj Concept yang bertujuan untuk memberi ruang kepada peniaga online untuk membuka butik fizikal.

View the original article here

No comments:

Post a Comment