Monday 20 October 2014

Mamat Khalid Saya ikut semua permintaan Usop



BAGI Mamat Khalid, jika ada mana-mana pihak yang terasa hati dengannya, seharusnya perkara itu dibawa berbincang dan tidak perlu dijaja kepada pihak luar.

NAMA pengarah prolifik, Mamat Khalid tiba-tiba menjadi hangat apabila didakwa sedang berdepan perang dingin dengan pelakon Usop Wilcha.

Kemelut antara pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu dengan Usop Wilcha dikatakan tercetus gara-gara jumlah bayaran lakonan yang ditawarkan kepada Usop dalam filem Usop Wilcha Melawan Werewolf Dari Bangladesh (UWMWDB), terlalu rendah.

Usop dikatakan tidak bersetuju dengan bayaran yang diterima olehnya dengan alasan tidak setara dengan populariti dan komitmen yang dicurahkan ke dalam filem itu.






Seperti menyimbah minyak ke dalam api, Mamat juga didakwa tidak memberikan sepenuh perhatian terhadap skrip dan pengurusan bajet filem terbitan Usop iaitu Usop Wilcha Menggonjang Makhluk Muzium (UWMMM). Filem UWMMM diarahkan oleh Mamat Khalid tetapi diterbitkan oleh pelakon komedi itu.

Bertemu Mamat Khalid usai pelancaran drama terbaharunya, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya di GSC Signature, The Gardens baru-baru ini, pengarah yang baru muncul dengan filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut itu menjawab segala persoalan yang selama ini membelenggu fikiran ramai.

Kosmo!: Adakah anda membaca dan mengetahui tentang laporan yang mengatakan anda dan Usop Wilcha sedang berdepan krisis?

Mamat Khalid: Ya, saya ada baca. Saya baru sahaja mendapat tahu tentang berita itu. Itupun melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang rakan.

Jika dakwaan Usop itu benar, apa perasaan dan komen anda apabila perkara itu menjadi buah mulut ramai?

Secara jujurnya, saya sangat terkejut kerana dengan tiba-tiba sahaja cerita ini mula tersebar luas. Saya tidak tahu apa yang membuatkan dia (Usop Wilcha) terdetik untuk bercakap hal itu kepada umum. Saya juga tidak tahu apa tujuan dan bila dia bercakap perkara itu kepada media.

Jika benar ada keluh kesah daripada pihak Usop, saya rasa sayalah orang pertama yang patut tahu tetapi sebaliknya. Sekarang, semua orang sudah tahu dan perkara ini sudah menjadi besar.

Terdapat laporan mendakwa jumlah bayaran untuk Usop Wilcha terlalu rendah dan tidak setara dengan bakat dan komitmen pelakon itu dalam filem UWMWDB, adakah dakwaan itu benar?

Berapa banyak jumlah bayaran yang dia minta, itulah yang saya bagi. Saya juga tidak tahu apa-apa mengenai bayaran kerana soal bayaran diuruskan oleh pihak pengurusan. Namun apa yang saya tahu, bayaran untuk Usop telah dilunaskan mengikut kemahuan dia.


BARISAN pelakon yang membintangi drama Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya. Drama itu akan mula bersiaran di saluran Astro First pada 23 Oktober ini.

Setelah nama anda berdua tiba-tiba menjadi panas dek kerana masalah ini, bagaimana pula dengan hubungan kalian berdua selepas ini?

Saya tiada masalah dengan Usop. Saya juga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ini kerana saya tahu, dia bekerja keras untuk mendapatkan hasil kerja terbaik. Saya halalkan apa sahaja yang dia pernah cakap mengenai saya.

Pada saya, jika dia mempunyai masalah dengan saya atau mana-mana ahli keluarga dalam produksi, sepatutnya masalah itu diselesaikan dalam kalangan produksi sendiri. Tidak perlu bawa masalah itu kepada orang luar kerana hal akan menjadi lebih parah.

Bercakap mengenai drama televisyen terbaharu anda iaitu Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya, umum tahu drama dengan tajuk yang hampir sama iaitu Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pernah dihasilkan sekitar 16 tahun lalu. Jadi, setelah tempoh yang cukup lama, apakah rasional dan cabaran anda dalam menghasilkan sekuel drama televisyen itu?

Cabaran pertama sudah tentunya adakah drama ini masih relevan dengan dunia, keadaan dan masyarakat sekarang. Untuk menghidupkan semula cerita yang pernah saya hasilkan pada 16 tahun yang lalu, saya perlu mencari satu topik yang relevan dan sering berkaitan dengan dunia kita sekarang.

Jadi, saya naikkan isu yang selalu terjadi kepada masyarakat kita iaitu kes penipuan pakej haji. Dalam drama ini, selain mengekalkan watak Cik Kiah dan Encik Senin dalam sekuel terdahulu, saya juga wujudkan beberapa watak baharu sesuai dengan situasi drama ini yang akan menemui penonton di saluran Astro First Exclusive pada 23 Oktober nanti.



View the original article here

No comments:

Post a Comment