Wednesday 22 October 2014

Nina Iskandar nafi hubungan bermasalah


NINA belum menyepi dalam bidang lakonan. Dia bakal muncul di sisi Iqram Dinzly dan Azwan Kombos menerusi drama bersiri Noktah Kasih di TV3 tidak lama lagi.

PELAKON kelahiran Brunei, Nina Iskandar pernah terkena bahang sensasi apabila perhubungannya bersama seorang lelaki, Ahmad Heikal, 30, diketahui umum. Awalnya berpenampilan seksi, namun selepas berhijab dan bertunang, Nina, 23, semakin menyepikan diri. Sejak kebelakangan ini Nina sudah tidak lagi berkongsi gambar-gambar mesranya bersama ahli perniagaan dari Kelantan itu.

Hal itu secara tidak langsung telah mengundang spekulasi bahawa hubungan pasangan yang mula menjalinkan hubungan cinta sejak November tahun lalu itu sedang dilanda masalah.






Perkhabaran itu bagaimanapun ditepis penuh hemah oleh pelakon filem Pengantin Malam yang terlebih dahulu digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan anak tiri kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid, 24.

Bertemunya pada sidang akhbar Karnival Puncak Rasah Andaman Seremban bersama artis Metrowealth di Wisma MIG, Petaling Jaya, Selangor pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Muka Surat Cinta itu ada penjelasan sendiri.

KOSMO!: Anda sedikit menyepi ketika ini, namun disebalik sikap sebegitu ada pihak melihat kurang aktiviti anda memuat naik gambar bersama tunang di Instagram seperti membawa maksud bahawa perhubungan kalian sedang berdepan masalah. Boleh jelaskan?

NINA ISKANDAR: Alhamdulillah, hubungan kami berjalan lancar seperti biasa dan tiada masalah pun di antara saya dan Heikal. Cuma saya mengambil keputusan untuk bersederhana dan tidak terlalu kerap memuat naik foto bersama. Saya akui, ketika bercinta, saya banyak memuat naik gambarnya kerana kami sedang seronok dilamun cinta hingga tidak menghiraukan nasihat orang sekeliling. Sekarang saya fikir lebih baik kami ambil pendekatan untuk kurang memuat naik gambar berdua.

Selepas bertunang, adakah kedua-dua belah keluarga sudah menetapkan tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahan?

Belum lagi, selepas bertunang Ogos lalu, kami serahkan tarikh nikah kepada keluarga dan buat masa sekarang, saya tidak berani untuk memaklumkan jangkaan tarikh pernikahan kami. Apa pun saya fleksibel dan andai suatu masa nanti kami sudah serasi dan merasakan sudah sampai waktu untuk mendirikan rumah tangga, barulah kami memutuskan tarikh tersebut. Buat masa sekarang, tiada sebarang perancangan dibuat dan masing-masing mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya.

Tempoh pertunangan menjadi waktu paling mencabar bagi setiap pasangan. Adakah perkara itu juga terjadi dalam perhubungan kalian?

Perselisihan faham itu perkara biasa dalam setiap hubungan dan bukan hanya tempoh pertunangan, malah hubungan suami isteri pun kadang-kadang bermasalah. Semuanya bergantung pada cara kita menyelesaikan sesuatu masalah itu secara berhemah dan tidak mengikut emosi.


Nina dan tunangnya, Heikal (kanan) yang melangsungkan majlis pertunangan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Selepas berhijab pada bulan April lalu, bagaimanakah perkembangan karier seni anda?

Saya bakal memulakan penggambaran drama bersiri Noktah Kasih bersama Iqram Dinzly dan Azwan Kombos pada minggu ini untuk siaran slot Azalea di TV3 tidak lama lagi. Selain itu, sepanjang tempoh beberapa bulan berhijab saya akui tawaran saya tidak sekerap sebelum saya bertudung dan langsung tiada tawaran untuk berlakon filem. Bagaimanapun saya diberikan peluang untuk merakamkan dua buah single untuk filem Adik Abang dan drama 30 episod, Selipar Jepun Stileto Merah.

Adakah anda terkilan apabila penghijrahan anda menjadi satu sekatan untuk anda mencari rezeki?

Rezeki kita sudah tertulis dan tidak perlu saya terburu-buru mencarinya. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan peluang yang diberikan syarikat yang menaungi untuk terus berkarya dalam bidang lain. Saya juga meminati bidang nyanyian dan pernah aktif menceburkan diri dalam nyanyian koir suatu ketika dahulu. Selain itu, saya juga sedang berjinak-jinak dalam menghasilkan skrip drama dan filem di bawah bimbingan pihak yang profesional dalam bidang penulisan dan produksi.

Pernah terdetik perasaan terpinggir atau cemburu dengan tawaran pelakon lain?

Saya tidak cemburu dan tidak pernah berasa dipinggirkan. Saya juga pernah melalui fasa didatangi tawaran yang tidak putus-putus, cuma kesedaran untuk saya berhijab datang terlebih awal dan setiap perkara yang baik akan diikuti pelbagai cabaran dan halangan. Saya hanya menjadi diri sendiri dan tidak sesekali akan mengubah penampilan saya.



View the original article here

No comments:

Post a Comment