Monday 6 October 2014

Ryzal Jaafar tidak selektif


KATA pepatah, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Atas nama sebuah pengalaman dan mencari rezeki halal, Ryzal Jaafar mengakui, dia bukan seorang pelakon yang begitu selektif dalam memilih sesuatu watak diberikan.

Apa tidaknya, percubaan Ryzal menerusi drama bersiri Dunia Baru sekitar tahun 2003 ternyata tidak sia-sia. Memegang watak sebagai Yusof memberi peluang dan rezeki kepada dirinya untuk terus mewarnai industri seni tanah air.

Menurutnya, biarpun tidak sepopular artis lain tetapi rezekinya tidak pernah putus sehingga hari ini.






“Saya bersyukur kerana rezeki lakonan sentiasa ada. Mungkin disebabkan tidak cerewet dalam memilih watak menyebabkan tawaran lakonan saya tidak pernah putus. Sebagai pelakon, kita tidak harus memilih karakter walaupun watak tersebut tidak kena dengan jiwa.

“Terus terang saya katakan, bergelar pelakon di Malaysia ternyata sangat sukar kerana pemilihan setiap pelakon itu bergantung kepada pihak stesen televisyen (TV).

“Bagi pelakon yang menjadikan kerjaya lakonan sebagai sumber rezeki utama, mereka tidak seharusnya cerewet dalam memilih watak melainkan mempunyai pendapatan tetap untuk menyara kehidupan,” ujar Ryzal Jaafar ketika ditemui di lokasi drama terbaharu lakonannya, Zahira baru-baru ini.

Biarpun usianya kini sudah mencecah 32 tahun, namun pemilik nama sebenar Mohd. Shahrizal Jaafar atau lebih mesra disapa sebagai Ryzal bersyukur kerana dia masih menjadi pilihan stesen TV untuk menjayakan beberapa drama popular sehingga kini.

“Mengambil contoh TV3, sejak mula membintangi drama Dunia Baru, sehingga sekarang wajah saya masih menjadi pilihan stesen berkenaan untuk mewarnai kebanyakan drama, tidak kira watak utama mahupun pembantu.

“Secara peribadi, saya sangat berterima kasih dan rasa bertuah kerana masih diberi ruang untuk melebarkan sayap dalam dunia lakonan. Saya tidak dapat bayangkan pelakon yang tidak menjadi kegemaran stesen TV, bagaimana mereka mahu meneruskan kelangsungan hidup sebagai pelakon.

“Bagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi diberi kepercayaan walaupun ada ramai muka-muka baharu silih berganti yang mewarnai industri seni di negara ini,” katanya.

Bercerita mengenai drama Zahira yang sedang dalam proses penggambaran, menurut Ryzal, dia begitu teruja untuk membawakan watak Sufian kerana buat kali pertama dia akan memegang peranan sebagai lelaki antagonis.




“Sebab utama saya bersetuju untuk membawakan karakter ini adalah kerana saya ingin mencuba watak antagonis yang ditawarkan.

“Lebih-lebih lagi, saya jarang diberi peluang untuk melakonkan watak tersebut.

“Lagipun, sebelum ini saya selalu diberikan watak lelaki teraniaya atau baik. Jadi, apabila diberi peluang untuk menjayakan watak sedemikian, saya terima tanpa berfikir panjang kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu untuk dilakar dalam biodata peribadi saya,” jelas Ryzal yang kini turut membintangi drama Kristal Maya di TV3.

Diarahkan oleh pengarah muda, Khalid Nadzri, drama bersiri 15 episod yang dalam proses penggambaran itu bakal mengisi slot Samarinda di TV3 bermula November depan.

View the original article here

No comments:

Post a Comment