Monday 6 October 2014

Du’a warisi bakat bapa


ASAD (kanan) dan adiknya, Ajwad yakin penglibatan mereka dalam dunia nasyid menerusi Du’a akan membuahkan hasil.

JARANG sekali kita mendengar gabungan penyanyi nasyid yang bergabung membentuk duo di negara ini. Sungguhpun begitu, pasangan adik-beradik, Muhammad Asadullah Amaluddin, 22, dan Muhammad Ajwad Amaluddin, 20, tampil membuat kelainan dengan memperkenalkan diri mereka sebagai Du’a.

Nama Du’a mungkin masih lagi kedengaran asing jika ingin dibandingkan dengan nama-nama besar kumpulan nasyid seperti Rabbani dan Raihan.






“Sebenarnya kami dulu merupakan ahli anggota kumpulan nasyid Tilmiz yang ditubuhkan pada tahun 2002. Ketika itu, kami masih lagi kanak-kanak. Lagu-lagu yang dinyanyikan juga lebih kepada nasyid untuk golongan kanak-kanak,” ujar Asadullah yang lebih mesra disapa sebagai Asad.

Sememangnya Du’a dianggap bertuah kerana darah seni yang mengalir dalam diri mereka diwarisi daripada bapanya yang juga penyanyi nasyid, Amaluddin Mohd. Napiah atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Amal.

“Kami bersyukur sebab mempunyai individu yang boleh memberi tunjuk ajar untuk meneroka bidang muzik nasyid tanah air.

“Sekurang-kurangnya kami mempunyai ayah yang boleh dijadikan panduan dalam misi menyampaikan dakwah menerusi nyanyian,” tambah Ajwad.

Tuah yang dimiliki Du’a itu juga boleh dianggap baik apabila single Sahaja Aku Mencintaimu yang diperkenalkan mereka mendapat respons yang positif dalam kalangan pendengar.

“Selepas lagu itu dimuat naik di laman sosial YouTube, ia mendapat maklum balas yang menggalakkan apabila sudah mencapai lebih 150,000 jumlah tontonan,” ujar duo nasyid itu yang ditubuhkan pada 2012.




Selain menyanyi, menurut Ajwad, dia juga berkarya dengan menghasilkan lagu-lagu ciptaan sendiri.

“Saya mencipta lagu secara spontan. Kadang-kadang apabila idea atau ilham datang, saya terus buat.

“Biasanya, saya akan rekod draf lagu menggunakan telefon bimbit sebelum bertanyakan pendapat pada rakan-rakan mengenai lagu itu,” kongsinya yang memberitahu, mereka mengambil masa kira-kira satu minggu untuk menghasilkan sebuah lagu berkualiti.

Selain menyanyi, pasangan duo itu juga sebenarnya menjalani rutin kehidupan sebagai mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.

Asad merupakan pelajar tahun tiga dalam bidang Perancang Bandar dan Wilayah, manakala Ajwad pula menuntut di tahun pertama dalam kursus Komunikasi.

“Biasanya, kami akan terlibat dengan persembahan pada hujung minggu sahaja. Latihan nyanyian juga tidak mengganggu waktu pelajaran kerana akan dilakukan pada waktu malam,” kata Ajwad yang memberitahu dia kini sedang sibuk mempromosikan album baharu mereka berjudul Wilayah Impi.

View the original article here

No comments:

Post a Comment