Monday, 6 October 2014

Siti Nordiana cari pengganti


CABARAN membesarkan anak sememangnya bukan satu tugas yang mudah. Apatah lagi, jika seseorang itu bergelar ibu tunggal. Semestinya ia memerlukan pengorbanan yang cukup tinggi.

Begitu juga yang dilalui oleh penyanyi Siti Nordiana. Lima tahun membesarkan anak secara sendirian, penyanyi yang mesra disapa dengan panggilan Nana itu mengakui situasi itu menjadikan dia semakin matang dalam mengharungi kehidupan seharian.






“Syukur, rezeki untuk saya dan anak sentiasa ada untuk kami meneruskan kelangsungan hidup. Sejak berpisah dengan suami pada tahun 2009, saya berdikari membesarkan anak. Bekas suami meninggal dunia pada tahun 2011 akibat serangan jantung.

“Apa yang boleh saya katakan, saya berasa bangga apabila dapat membuktikan kemampuan saya sebagai seorang ibu tunggal membesarkan anak tanpa perlu meraih simpati dan pertolongan daripada mana-mana pihak,” kongsi ibu kepada Mohamad Rayyan Nakhaie yang kini berusia enam tahun.

Biarpun bergelar ibu tunggal, bekas isteri kepada pelakon Allahyarham Mohd. Faizal Yusup itu memberitahu, dia selesa dengan kehidupannya sekarang.

“Buat masa ini, saya bahagia dan seronok melihat Rayyan membesar di depan saya. Bukan tak terfikir nak cari pengganti, cuma belum jumpa orang yang sesuai,” kongsi pelantun lagu Memori Berkasih itu.




Sungguhpun begitu, menurut penyanyi berusia 29 tahun itu, dia bersedia untuk menerima kehadiran orang baharu dalam dirinya jika jodohnya sudah tertulis buatnya dalam masa terdekat.

“Tipulah kalau saya tak mencari. Keluarga pun ada bertanyakan kepada saya hal tersebut (berkahwin lain). Bukan mudah kerana saya perlu cari orang yang boleh terima saya dan anak seadanya,” kata Nana.

Pelantun lagu Gurauan Berkasih itu memberitahu, sebolehnya dia tidak mahu tunggu lebih lama jika ingin berumah tangga buat kali kedua.

“Lagipun semakin hari usia semakin meningkat. Saya tak mahulah tunggu lagi sampai umur 35 tahun. Kalau sudah berusia takut berisiko untuk hamil kerana saya terfikir mahu anak lagi,” kongsi Nana.

Katanya lagi, kalau boleh dia mahukan calon suami yang mempunyai kerjaya berbeza lapangan dengan dirinya yang bergelar anak seni.

“Saya tak pernah nak meletakkan syarat tertentu. Bagaimanapun, kalau boleh, saya mahu orang yang tak ada kena mengena dengan industri hiburan kerana pengalaman lalu mengajar saya,” tuturnya yang pulang menyambut Aidiladha di kampung halamannya di Seremban, Negeri Sembilan.


View the original article here

No comments:

Post a Comment