Wednesday, 5 November 2014

SYUKUR!!! Rita Rudaini, Solat buat saya tenang



KEBIASAANNYA, persepsi negatif amat mudah dijadikan senjata untuk golongan wanita yang tidak bertudung litup, apatah lagi jika mereka dalam kalangan dunia selebriti yg penuh glamor.

Malah, ada segelintir pihak beranggapan, kehidupan selebriti tidak terurus dan sering mengabaikan suruhan Ilahi termasuk rukun Islam kedua.

Namun, pendedahan pengarah drama popular, Shahrulezad Mohameddin, mengenai tiga selebriti ini amat mengejutkan ramai pihak apabila dia memberitahu ketiga-tiga pelakon berkenaan adalah selebriti yg sentiasa menjaga solat.

Mana tidaknya, tiga pelakon wanita berkenaan iaitu Rita Rudaini, Lana Nordin dan Rosnah Mat Aris, bukanlah di kalangan artis bertudung malah kehidupan mereka disusuli dengan kontroversi yg pelbagai.

Bertanya hal ini kepada pelakon cantik, Rita Rudaini, dia memberitahu bahawa tuntutan kerja tidak pernah melalaikannya untuk mendirikan solat walau di mana sahaja dia berada.










"Ramai yg fikir negatif pada artis yang tidak bertudung kononnya tak bagus dan tak jaga solat. Tapi, saya tak kisah apa pandangan orang. Kadang-kadang macam-macam komen dan pandangan hina yang saya dapat kerana tidak berhijab.

"Pada saya, Islam itu tidak susah, sesetengah orang bermula dengan perlahan-lahan untuk berubah. Kita sesama Islam kena bagi semangat, bukan mengutuk.

"Saya tenang dalam situasi ini dan sekarang pun saya dapat lihat perbezaan pada diri setelah jadi ibu iaitu tidak lagi berbaju ketat. Alhamdulillah, solat membuatkan saya tenang dalam mengharungi cabaran dunia dan membesarkan anak seorang diri di ibu kota ini," katanya yg mengakui banyak belajar daripada pengalaman.

Jangan ganggu emosi mereka!

Menurut ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Rafqa Arjuna, 3, ini, walaupun bergelar ibu tunggal, namun dia mendekatkan anak-anak dengan didikan agama sejak kecil lagi.

"Saya ajar mereka solat dan mengaji sejak kecil agar bila dewasa, mereka boleh nilai mana yg baik dan tidak. Mereka adalah saham dan pencen saya di akhirat nanti.

"Saya mengharapkan dia mereka bila saya tiada nanti. Saya mahu menjadi seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dalam soal mendidik anak-anak. Malah kini, saya bangga kerana mereka sudah dapat menghafal surah-surah pendek. Sejuk perut saya mengandungkan mereka," kata pelakon drama, Sehangat Asmara ini.

Tambah Rita, anak-anak sering mengikutnya solat bersama malah Arjuna sudah dilatih sejak usia dua tahun lagi. Paling membuatkan dirinya terharu, setiap kali tidur, Rayyan akan mendoakannya agar panjang umur.

"Saya terkejut kerana saya tidak pernah ajar dia lagi untuk mendoakan saya. Tapi, dia cakap dengan saya, 'Mummy, tolong ajar Rayyan doakan mummy tak tua dan panjang umur?'

"Jadi, setiap kali sebelum tidur, akan jadi rutin anak-anak baca Al Fatihah dan surah pendek serta doa. Ia membuatkan saya lagi sedih. Sejujurnya, saya susah hati kalau tak dapat jadikan mereka anak-anak yg baik," jelas bekas isteri pemain bola sepak terkenal, Aidil Zafuan Razak, ini.

Mengakui bukan mudah untuk membesarkan anak-anak seorang diri, Rita meminta agar orang sekeliling tidak mengganggu emosi anaknya dengan pertanyaan yg bukan-bukan.

"Pernah sekali, anak-anak saya bercerita, ada kawan-kawan tanya ayah mana? Jadi, saya tanya dia jawab apa. Katanya, Rayyan ada mummy, mummy pergi 'shooting'.

"Saya sedih dengan manusia yang tidak tahu sensitiviti mereka sedangkan mereka masih kecil. Tolong jaga emosi budak-budak. Walaupun mereka tidak pernah tanya di mana ayah mereka, namun saya tidak pernah mengajar mereka perkara yang tidak baik.

"Jiwa mereka terlalu sensitif dan saya tahu ianya terlalu sukar untuk mereka hadapi kerana saya juga pernah berada di tempat mereka ketika usia dua tahun," katanya yg mengakui anak-anak tidak menggemari sukan bola sepak.








Bukan masa cari pengganti

Mengakui mungkin tiada ruang buat lelaki untuk memenuhi kekosongan di hati buat masa ini, Rita lebih mementingkan anak-anak daripada berbicara mengenai hati dan perasaan.

Katanya, tidak perlu memperkatakan mengenai lelaki lain, malah dengan bekas suaminya sendiri, anak-anak menunjukkan riak sebenar.

"Masa Aidil datang pun mereka tak boleh tengok Aidil borak dengan saya, tambah-tambah Rayyan. Dia akan buat perangai dan lari sambil hempas pintu. Susah nak pujuk.

"Sebenarnya, kami lebih bahagia bertiga dan mereka tidak boleh berenggang dengan saya. Masa tidur pun berhimpit-himpit berebut nak dekat. Untuk anak, saya sanggup tak kahwin lagi kerana saya lebih pentingkan kebahagiaan anak-anak dari diri sendiri," katanya lagi.

Ditanya mengenai kontroversi cinta bersama pelakon kacak, Remy Ishak, Rita memberitahu perkara itu langsung tidak mengganggu emosinya namun turut kesal di atas tuduhan itu.

"Ia boleh menjejaskan maruah saya sebagai seorang ibu bila orang tuduh saya macam-macam sedangkan saya bukan jenis wanita yg kejar lelaki.

"Siapa yg kenal saya akan tahu saya macam mana. Saya susah nak suka orang tapi kalau dah suka dan jatuh cinta, saya akan setia," katanya mengakhiri perbualan.

 


View the original article here

No comments:

Post a Comment