Tuesday 2 September 2014

Aaron Aziz lebar sayap ke Hong Kong



FIGURA kacak ini bakal muncul dengan filem sulung arahannya yang berjudul Romeo Kota.

WATAK kekasih, gengster mahupun suami yang penyayang, sering kali digalas aktor terkenal, Aaron Aziz. Mengakui cukup lelah dan tiada kepuasan diri dengan watak-watak tersebut, pelakon berasal dari Singapura itu mengakui, dia mendambakan pula watak independent (indie) atau bebas.

Indie dalam erti kata berkarya mengikut acuan sendiri dengan watak yang lebih mencabar, Aaron memberitahu, dia teringin membawakan watak orang bisu.






“Saya akan belajar bahasa isyarat sebagai medium berkomunikasi jika diberi peluang membawakan watak lelaki bisu. Malangnya, kebanyakan tawaran yang datang memerlukan saya membawa watak komersial seperti suami isteri.

“Saya begitu teringin menjayakan projek bukan komersial disebabkan lambakan projek komersial yang telah saya lakukan. Ada beberapa kali juga saya berjumpa dengan pengarah artistik untuk bertanya kenapa tiada tawaran berlakon untuk saya.

“Jawapan yang diterima, mereka takut mahu ambil saya kerana bayaran mahal. Memang saya akui, projek lakonan yang memberi bayaran besar susah untuk ditolak. Sebab saya ada keluarga dan tanggungan,” jelas duta produk Uberman itu ketika ditemui pada majlis rumah terbuka bersama 10 pemenang pertandingan produk tersebut di Kelantan Delights, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hanung Bramantyo

Namun sekarang, luah Aaron, dia tidak ada masalah untuk menerima projek yang menawarkan harga yang rendah.

Sanggup tolak ke tepi soal bayaran, ungkap Aaron lagi, dia juga sanggup berlakon tanpa bayaran jika ia karya hebat seperti filem Bunohan.

Tidak hanya memandang karya tempatan sahaja, pelakon berusia 38 tahun itu memberitahu, dia juga sedang menanti tayangan filem pertamanya di bawah produksi Hong Kong, Female Special Force.

“Saya seorang sahaja pelakon Melayu dari Malaysia yang berlakon dalam filem itu. Dalam cerita itu, saya bawa watak ketua gengster. Saya tidak pasti bilakah tarikh tayangannya. Namun, filem tersebut akan ditayangkan di Taiwan terlebih dahulu,” jelasnya.

Biarpun ia watak kecil, namun kata Aaron, dia mahukan pengalaman berlakon dalam produksi luar. Selain filem Hong Kong tersebut, Aaron juga berlakon di bawah arahan pengarah Indonesia terkenal, Hanung Bramantyo.


AARON AZIZ mengidam karakter lelaki bisu.

Bergandingan dengan pelakon Siti Saleha, telefilem berjudul Cinta Paling Agung itu menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia.




Dwi Ariana

Dalam pada itu, ada gusar dalam keterujaan Aaron untuk menanti filem pertama arahannya, Romeo Kota ditayangkan di pawagam kelak.

Aaron juga mengakui tertekan untuk menyudahkan sentuhan akhir filem bergenre komedi tersebut menampilkan lakonan Nabil Ahmad, Hanis Zalikha, Sofi Jikan dan anak kedua Aaron, Dwi Ariana, 7.

Malah, bapa kepada tiga orang anak itu juga sedar dengan kesuraman kutipan filem tempatan di pawagam sejak kebelakangan ini.

“Saya agak tertekan sebab buat pertama kali saya menghasilkan filem bergenre komedi.

“Bagaimanapun, saya juga bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya filem tersebut tidak mendapat kutipan yang memberangsangkan tetapi saya juga percaya akan keajaiban. Mana tahu, filem tersebut juga mampu mendapat kutipan seperti filem pecah panggung, The Journey,” tutur Aaron optimis.

Meletakkan sebuah keajaiban pada kutipan filem tersebut, Aaron juga berharap Romeo Kota meraih pujian, terutamanya dari segi pengarahan filem tersebut.

Dalam pada itu, Aaron juga berkongsi mengenai perkembangan kafe miliknya, Kidz & Cream yang terletak di Setia Alam, Selangor.

Menyediakan masakan Barat dan Melayu, ujar Aaron, kafe itu juga menyediakan ruang untuk kanak-kanak melakukan aktiviti memasak dan juga bersantai dengan permainan yang lain.

View the original article here

No comments:

Post a Comment