Tuesday 2 September 2014

Cabang muzik Yuna



SETIAP lagu yang dicipta oleh gadis ini sarat dengan seribu satu makna. Bait-bait lirik yang ternoktah antara melodi pula kedengaran begitu indah menceritakan pengalaman serta realiti hidup yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

Itulah keistimewaan yang ditonjolkan oleh Yuna. Walaupun mengetengahkan genre muzik berjalur pop akustik, kisah di sebalik karya-karya yang digarap oleh penyanyi berusia 27 tahun itu sering dijadikan sumber inspirasi oleh peminatnya khusus golongan wanita.






"Sewaktu mula-mula mengenal nota muzik dan belajar mencipta lagu, saya sering menulis tentang apa sahaja yang bermain di minda.

"Karya-karya saya banyak bertemakan tentang cinta, kehidupan dan apa sahaja yang mampu memberikan semangat kepada saya," ujar tuan empunya nama Yunalis Zarai ketika berpeluang bertemu dengannya pada sidang akhbar MTV Worldstage 2014 di Hotel Sunway Spa & Resort, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Justeru, tidak hairanlah jika karyanya yang berjudul Mermaid pernah diselitkan dalam sebuah album kompilasi khas sempena meraikan sambutan Hari Wanita Sedunia oleh pereka fesyen terkemuka antarabangsa, Diane Von Furstenberg.

"Mermaid adalah salah satu lagu yang saya tulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Walaupun lagu itu dimuatkan dalam album kompilasi Proud To Be A Woman - Vol 3 kira-kira dua tahun yang lalu, namun lagu-lagu lain yang saya cipta turut ditujukan untuk semua golongan peminat.

"Lagu tulisan saya bukan untuk memperkasa atau memberikan semangat kepada kaum wanita sahaja tetapi ia turut dijadikan sebagai platform motivasi kepada setiap individu yang mendengar," ujarnya yang kini sedar mengenai tanggungjawab sebagai penyanyi untuk menyebarkan perkara-perkara baik kepada para pendengar.

Melanjutkan perbualan mengenai tanggungjawab tersebut, pelantun lagu Terukir Di Bintang ini menerangkan, masih ramai penyanyi popular yang enggan menggunakan status mereka sebagai seorang selebriti yang dikenali untuk mendidik pendengar melakukan perkara-perkara positif.





"Saya akui, kebanyakan penyanyi popular memang menghargai para peminat mereka. Namun, peminat-peminat itu tidak dihargai menerusi saluran yang betul.

"Setelah beberapa tahun menjelajah dan bertemu dengan ramai orang, saya mula faham tentang tanggungjawab saya untuk menulis sesuatu yang bagus dan dapat dijadikan teladan kepada pendengar di luar sana. Jadi, saya akan terus menulis lagu dan tidak akan berhenti," luahnya.



TIDAK mahu melupakan kepayahan ketika mula-mula bergelar penyanyi, Yuna menggunakan pengalaman tersebut untuk menulis lagu-lagu yang dimuatkan dalam beberapa albumnya sebelum ini.

Variasi muzik

Yuna, genre pop akustik dan gitarnya memang tidak dapat dipisahkan. Sejak lagu Dan Sebenarnya berjaya menambat hati para peminat dan meraih tiga anugerah pada penganjuran ke-17 Anugerah Industri Muzik kira-kira enam tahun lalu, namanya seakan-akan sebati dengan genre tersebut.

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa dia pernah berkolaborasi bersama kumpulan Adventure Club, sebuah kumpulan duo dari Kanada yang membawakan genre elektronik EDM menerusi lagu berjudul Gold.

Ketika ditanya mengenai transisi muzik yang dialami olehnya sepanjang tempoh bergelar penyanyi, Yuna berkata, percubaan mengubah jalur muziknya itu dilakukan setelah dia bertemu dengan ramai individu di tempat-tempat yang berbeza.

"Pada awal kemunculan, saya dan band belajar menghasilkan lagu dengan alat muzik asas sahaja. Saya tidak mempunyai bahan yang mencukupi, apatah lagi mengenali produser yang mampu menerbitkan lagu mengikut kesesuaian vokal saya.

"Pada masa yang sama, saya turut berusaha untuk melebarkan sayap sebagai penyanyi. Jika saya mahu kekal dikenali, saya tidak boleh melekat dengan satu genre untuk jangka masa yang panjang.

"Jadi, selepas merantau ke banyak tempat dan berjumpa dengan ramai pemuzik, saya mula melihat peluang yang ada untuk mencuba cabang muzik lain yang belum saya sentuh sebelum ini," ujarnya.

Tambah Yuna, walaupun dia bukan penggemar genre muzik EDM, namun cara pengolahan vokalnya dalam lagu tersebut membuatkan dia mahu berkerjasama sekali lagi dengan kumpulan itu pada masa akan datang.

"Sejujurnya, saya tidak menyukai muzik EDM tetapi setelah mendengar adunan akhir lagu tersebut, saya terus jatuh cinta. Mereka bijak bermain dengan nada suara saya.

"Jika diberikan peluang, saya mahu menyanyi bersama mereka lagi," jelasnya yang gemar mendengar efek sinematik yang dihasilkan oleh kumpulan itu terhadap lagu Gold.

Lagenda Budak Setan 3

Dalam perkembangan terbaharu, Yuna yang turut mengusahakan butik pakaian online November Culture telah diberi tanggungjawab untuk menulis lagu runut bunyi untuk sekuel terakhir filem Lagenda Budak Setan 3.

Menurut Yuna, semuanya tercetus setelah berkesempatan bertemu dengan penerbit filem tersebut, Sharad Sharan sewaktu dalam perjalanan pulang dari Amerika Syarikat ke Malaysia beberapa bulan lalu.

"Setelah bertemu dengannya, saya dan Sharad sering berbual tentang filem tersebut.

"Dari situ, lahirlah dua buah lagu runut bunyi untuk filem Lagenda Budak Setan 3 iaitu Lautan dan Bicara," ujarnya.

Yuna berkata, kedua-dua lagu ini sangat istimewa jika dibandingkan dengan lagu-lagunya yang lain kerana jalan cerita yang disampaikan mirip dengan skrip filem tersebut.

"Saya mula menulis Lautan dan Bicara selepas berpeluang melihat beberapa footage awal daripada filem itu. Jalan cerita yang menarik membuatkan saya begitu teruja untuk menghasilkan dua buah lagu tersebut.

"Lagipun saya memang mengikuti dua buah filem Lagenda Budak Setan sebelum ini," ujarnya.



YUNA diberi tanggungjawab untuk menulis lagu runut bunyi untuk filem Lagenda Budak Setan 3.

Album bahasa Melayu

Bercakap mengenai lagu berbahasa Melayu, Yuna menyatakan hasrat untuk melahirkan album penuh dalam bahasa Melayu.

Dia yang sebelum ini pernah mengeluarkan beberapa buah album dan EP dalam bentuk dwibahasa berkata, walaupun tiada perancangan untuk berbuat demikian dalam masa yang terdekat ini, namun, dia masih aktif berkarya dalam bahasa ibundanya itu.

"Saya begitu teringin untuk melahirkan sebuah album penuh dalam bahasa Melayu. Perkara itu tidak mustahil. Namun, mungkin disebabkan kekangan masa, hasrat tersebut tidak kesampaian.

"Bagaimanapun, saya kerap menulis untuk pendengar tempatan dan beberapa projek khas. Selain lagu runut bunyi untuk filem Lagenda Budak Setan 3, saya juga ada terlibat dalam menulis lagu bagi Penerbangan Malaysia (MAS) baru-baru ini," katanya.

Mahu memperkenalkan signatur lagu bahasa Melayunya ke persada antarabangsa, Yuna memberitahu, dia mungkin akan memuatkan beberapa buah lagu bahasa Melayu dalam album bahasa Inggeris keduanya pada masa akan datang.

"Jika tidak berkesempatan untuk melahirkan album bahasa Melayu penuh, mungkin ada beberapa lagu bakal dimuatkan dalam album bahasa Inggeris bagi pasaran antarabangsa," ujarnya yang terbuka dengan sebarang kemungkinan.

Sebelum menutup bicara, Yuna begitu telus memberitahu tentang keinginannya untuk meraih anugerah berprestij di persada antarabangsa.

"Sudah menjadi kemestian bagi setiap individu yang menceburkan diri dalam bidang nyanyian untuk menggenggam anugerah.

"Dalam masa lima tahun akan datang, saya berhasrat untuk mengeluarkan album yang mampu meletakkan saya sebagai penerima anugerah Grammy's," tuturnya sambil tersenyum.

View the original article here

No comments:

Post a Comment