Showing posts with label ANTARA. Show all posts
Showing posts with label ANTARA. Show all posts

Friday, 29 August 2014

Filem Jin, Antara kepercayaan, realiti



RAMAI orang beranggapan hantu itu sesuatu yang realistik atau sesuatu yang benar-benar wujud, sedangkan tidak ada satu sebutan pun berkaitan dengan hantu di dalam kitab suci al-Quran.

Namun kita diberi petunjuk di dalam al-Quran tentang jahatnya pengaruh iblis, syaitan dan jin. Kita juga diberitahu yang makhluk-makhluk itu boleh menyerupai apa sahaja untuk menyesatkan umat manusia terutama jin kafir.

Atas kesedaran untuk memberi didikan kepada penonton, Pierre Andre menerusi filem terbarunya, Jin, menterjemahkan rasa ketakutan yang sebenar.






Menerusi filem yang dijayakan oleh Zul Ariffin, Mon Ryanti, Zarynn Min, Harun Salim Bachik, dan Imam Muda Naufal, Pierre membawa untuk menyingkap semula gangguan-gangguan yang pernah dialami oleh orang lain sebelum ini yang sering kali dikaitkan dengan hantu dan sebagainya.

Secara ringkasnya, Jin adalah sebuah filem seram klasik yang menceritakan perjalanan sepasang suami isteri muda yang bernama Syafiq dan Lily. Syafiq yang berlatarbelakangkan seorang peniaga berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarganya dengan membeli sebuah rumah agam untuk isterinya yang tercinta.

Melihat rumah yang begitu besar dan cantik membuatkan Lily jatuh cinta dengan rumah tersebut. Namun apa yang mereka tidak tahu adalah sejarah yang terdapat pada rumah itu.

Rumah yang pernah bertukar milik beberapa kali itu menyimpan beberapa cerita dan gangguan yang serius. Pada peringkat awal mereka tidak merasakan apa-apa ketika mendiami rumah itu sehinggalah beberapa siri gangguan kecil yang terjadi kepada Lily.

Namun, disebabkan mereka berdua merupakan orang bandar dan kurang mempercayai perkara ghaib mereka terus menolak teori tersebut. Lily hanya menyangka ia adalah gangguan dari haiwan dari hutan berdekatan.

Bagaimanapun setelah beberapa kali Lily diganggu, dia mula memberi perhatian terhadap gangguan tersebut. Lily cuba untuk memberitahu Syafiq, namun suaminya berkeras tidak mahu mempercayai perkara-perkara yang tiada unsur logik akal.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila Tok Wan, nenek kepada Lily yang sudah nyanyuk tinggal bersama-sama mereka. Gangguan menjadi semakin keras, Syafiq juga kerap diganggu oleh makhluk yang cuba memasuki badan Tok Wan.

Sehinggalah pada satu malam apabila Syafiq mendapat panggilan yang mengatakan salah sebuah kedainya terbakar dan dia terpaksa meninggalkan isterinya di rumah bersama Tok Wan yang ketika itu sudah dalam rasukan jin cuma mereka sahaja tidak mengetahui.

Penuh kejutan, debaran

Secara keseluruhan, apa yang penulis boleh simpulkan mengenai filem ini adalah sebuah kelainan daripada Pierre. Apatah lagi, Pierre sebelum ini memang terkenal dengan filem-filem seram yang sudah menjadi 'makanannya'.

Ini kerana, berbeza dengan filem seram lain, Pierre tidak mempamerkan wajah-wajah yang menakutkan secara kerap sebaliknya lebih fokus kepada gangguan dan membuatkan penonton tertanya-tanya, siapa yang mengganggu? Apakah entiti yang mengganggu itu?

Perjalanan cerita biarpun secara straight forward, namun masih mampu memberi kejutan kepada penonton dengan bantuan kesan bunyi yang cukup baik.

Selain itu, permainan pencahayaan yang suram memberikan mood seram kepada penonton sekali gus menyuntik debaran dalam menanti apa yang akan berlaku seterusnya.




Gandingan pertama kali

Selain itu, antara lain yang memberi satu nafas baharu kepada karya Pierre kali ini adalah gandingan pertama kali, Zul Ariffin bersama Mon Ryanti.

Membawakan watak sebagai suami isteri, kedua-dua mereka kelihatan serasi bersama biarpun tidak pernah bekerjasama sebelum ini.

Tiada kejutan dalam lakonan kedua-dua pelakon ini, namun buat Mon, tatkala watak memerlukan dia membawa rasa ketakutan, Mon berjaya melakukannya dengan baik.

Bahkan dengan kekusutan dirinya yang sering kali diganggu membuatkan penonton akan turut sama terasa.

Justeru bagi merasai sendiri ketakutan dan kejutan serta jawapan mengenai apakah yang terjadi pada Lily dan Tok Wan? Dapatkah Syafiq menyelamatkan keluarganya dan rumahnya itu dari gangguan jin? Mengapakah makhluk tersebut mahu mengganggu mereka di situ ?

Jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan.

View the original article here

Friday, 13 June 2014

Rumah Celah Batu Antara Banggunan Paling Pelik Di Dunia


Terletak di pergunungan Fafe utara Portugal, terdapat banyak bongkah batu-batu besar. Antaranya, terdapat rumah sebenar Flintstones berdiri di lereng bukit. Diilhamkan oleh kartun popular tahun 1960-an, rumah ini dibina pada tahun 1974 di antara empat batu besar dan dinamakan "Casa do Penedo," atau Rumah Batu.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Casa do Penedo telah menjadi tarikan pelancong yang popular untuk eko-mesra reka bentuk muktamad. Ia juga telah diundi oleh orang ramai sebagai salah satu bangunan pelik di dunia.










View the original article here

Thursday, 29 May 2014

PELAKSANAAN HUKUM HUDUD DI BRUNEI ANTARA PENDORONG NINA ISKANDAR BERUBAH!

Pelakon baharu, Nina Iskandar mengakui antara sebab dia mula menutup aurat dan mengenakan tudung adalah kerana menghormati undang-undang terbaharu negara asalnya, Brunei Darussalam yang secara rasmi melaksanakan hukum hudud.
Nina, 23, bagaimanapun berkata, perubahannya itu bukanlah semata-mata kerana pelaksanaan hudud di negaranya, tetapi ia ikhlas daripada hatinya dan memang berhasrat untuk memakai tudung sebelum ini lagi.

"Brunei telah melaksanakan undang-undang syariah dan hudud, jadi sebagai rakyat dan wanita beragama Islam saya mahu membawa imej negara saya atas rasa hormat yang mendalam.
"Bagaimanapun perubahan saya ini bukan semata-mata kerana undang-undang baharu itu tetapi ia ikhlas dan datang daripada hati sendiri," jelasnya.
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada awal Mei mengumumkan baginda akan meneruskan pelaksanaan hukum hudud biarpun mendapat kritikan di negara itu dan peringkat antarabangsa. Fasa permulaan undang-undang itu berkuat kuasa secara rasmi dengan fasa kedua termasuk hukuman lebih ketat, termasuk potong tangan bagi kesalahan kecurian dan rompakan, yang akan dimulakan lewat tahun ini.

Sementara kesalahan termasuk liwat dan zina akan dikenakan hukuman direjam sampai mati pada fasa ketiga. Dalam pada itu, Nina berkata, perubahannya itu tidak dirancang, sebaliknya perasaan untuk menutup aurat datang secara tiba-tiba sejak beberapa minggu lalu.
Jelas Nina lagi, sebelum itu dia sering mencuba mengenakan hijab sekiranya keluar bersama rakan-rakan dan berasa selesa dengan imej berkenaan.

"Sebelum ini saya sering pakai tudung jika keluar untuk cuba sama ada saya selesa atau pun tidak dan baru-baru ini hati saya terus terbuka untuk terus mengenakan hijab dan saya berasa begitu tenang.
"Perubahan ini juga sebagai salah satu persiapan untuk diri sendiri kerana jika tidak mulakan sekarang, bila lagi?," ujarnya.

Sementara itu, Nina berkata, pihak pengurusannya di Malaysia iaitu Metrowealth International Group (MIG) juga tiada halangan untuk dia mengenakan tudung dan gembira dengan perubahannya itu.
Dalam perkembangan lain, Nina yang mengakui bakal bertunang dengan seorang ahli perniagaan dari Kelantan pada Ogos depan memberitahu masih belum membuat sebarang persiapan perkahwinan mereka kerana masih terlalu awal. Malah kata Nina, mereka juga belum menetapkan sebarang tarikh perkahwinan untuk hari bahagia itu nanti. -mstar-

View the original article here