Showing posts with label Anuar. Show all posts
Showing posts with label Anuar. Show all posts

Wednesday, 8 October 2014

Anuar Zain ikon kasih sayang IJN


ANUAR disifatkan sebagai mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi oleh pihak IJN.

Pengalaman menjaga bapanya Zain Abdullah, 76, yang juga merupakan seorang penghidap penyakit jantung membuatkan Anuar Zain tekad untuk membantu Institut Jantung Negara (IJN) mengumpul dana demi menubuhkan sebuah kumpulan sokongan yang dikenali sebagai Pusat Jantung Kanak-Kanak Kongenital IJN bagi membantu penghidap penyakit tersebut.






Anuar sendiri pernah mengalami situasi getir menjaga bapanya yang menjalani pembedahan jantung 10 tahun lalu. Gangguan emosi yang dilalui saat itu juga mendorong pelantun lagu Ajari Aku itu memahami betapa sukar dan sedihnya perasaan ahli keluarga penghidap sakit jantung.

“Saya telah melalui masa sukar tersebut. Saya sangat memahami perasaan yang dialami oleh golongan pesakit jantung terutamanya ahli keluarga mereka yang terpaksa berserah kepada takdir yang menentukan hidup dan mati insan kesayangan mereka. Pengalaman lama itulah menyuntik kesedaran untuk saya tampil membantu meringankan beban golongan ini,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar majlis makan malam amal bersama Anuar Zain di Auditorium Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memilih IJN untuk melakukan kerja amal, kata Anuar, keputusan itu banyak didorong oleh faktor peribadi memandangkan institusi perubatan berkenaan telah banyak berjasa dalam kehidupannya. Anuar berasa terhutang budi dengan pihak IJN kerana institusi itu merupakan pihak yang bertanggungjawab dan sama-sama berusaha untuk memastikan bapanya kembali sihat.

“Saya berasa sangat dekat dengan IJN kerana 10 tahun lalu, bapa saya pernah melakukan pembedahan di situ. Ketika itu saya sangat risaukan keadaannya, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Namun, syukurlah, semuanya berjalan lancar dan pembedahan itu berjaya.

“Sehingga kini dia (bapa) masih mendapatkan rawatan susulan di IJN. Saya juga selalu datang sini (IJN) untuk menghantar bapa saya mendapatkan rawatan susulan. Hal tersebut sekali gus membuka mata saya betapa pentingnya peranan saya membantu golongan berkenaan,” kata Anuar yang berharap persembahan amal tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka.




Tambah Anuar yang bercadang untuk menyanyikan lebih 15 buah lagu sepanjang sejam persembahan berlangsung: “Saya berharap akan ada pihak-pihak tertentu yang akan tampil memberi sumbangan dan membantu IJN dalam mengutip dana yang diperlukan. Saya juga berharap agar rakan-rakan artis lain yang mempunyai waktu terluang supaya datang ke IJN untuk melawat pesakit-pesakit ini. Sekurang-kurangnya kita dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka."

Sementara itu, Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Doktor Marshisham Che Mood berkata, pemilihan Anuar diputuskan atas pertimbangan seluruh institusi perubatan itu yang menyifatkan penyanyi itu sebagai ikon kasih sayang.

“Kita nampak Anuar Zain seorang yang penyayang dan dia boleh dijadikan ikon kasih sayang bagi IJN. Karakternya disenangi segenap lapisan masyarakat. Kutipan ini adalah untuk dana kumpulan sokongan yang mana untuk membantu dan memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga sepanjang proses rawatan yang dilakukan mereka,” ujarnya.

Majlis makan malam amal yang diberi nama Sempurnakan Aku With Anuar Zain itu akan diadakan di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur pada 5 Disember nanti. Tiket untuk majlis makan malam ini dijual dari harga RM500 hingga RM88,000. Tiket-tiket boleh diperoleh melalui TicketCharge di talian 03-9222 8811 atau melayari laman web www.ticketcharge.com.my. Pembelian tiket untuk meja korporat boleh dibuat terus melalui talian 03-2617 8430/8317/8465 (Aziee Jais).

View the original article here

Friday, 3 October 2014

Pembedahan Jantung Ayah Punca Anuar Zain Bantu IJN


Anuar Zain tersentuh melihat penderitaan kanak-kanak penyakit jantung di IJN.

Penyanyi Anuar Zain mendedahkan pengalaman yang dilalui ketika pembedahan jantung yang dilakukan oleh bapanya Zain Abdullah, 76, di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira 10 tahun lalu menjadi salah satu punca dia setuju untuk membantu kutipan dana majlis makan malam di The Majestic Hotel, di sini, pada 5 Disember depan.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 44, berkata, sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika berada dalam situasi getir itu dan apa yang dirasai oleh ahli keluarga pesakit jantung yang sentiasa berhadapan dengan sebarang kemungkinan adalah antara hidup dan mati.






"Saya rasa dekat dengan IJN kerana bapa saya pernah melakukan pembedahan di sini 10 tahun lalu, ketika itu perasaan susah hati dan memang sukar untuk digambarkan apabila kita sentiada reda apa juga kemungkinan yang akan terjadi selepas pembedahan itu.

"Alhamdulillah, bapa saya selamat melakukan pembedahan tersebut dan sehingga kini dia masih mendapatkan rawatan susulan di IJN, saya juga selalu datang sini untuk menghantar bapa saya mendapatkan rawatan susulan." ujarnya kepada mStar Online, pada Selasa.



Anuar sempat melawat kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di IJN.

Anuar berkata demikian pada sidang media majlis makan malam amal bersama Anuar Zain yang diadakan di Auditorium, Institut Jantung Negara, di sini, Selasa.

Majlis makan malam tersebut bertujuan mengutip dana bagi mewujudkan sebuah kumpulan sokongan Pusat Jantung Kanak-Kanak Kongenital IJN.

Pada majlis tersebut, Anuar berkesempatan membuat lawatan dan menziarahi kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu.

Sementara itu, Anuar berharap majlis amal berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka.

"Saya harap dengan majlis makan malam ini sedikit sebanyak ada pihak yang akan tampil beri sumbangan dan membantu IJN dalam mengutip dana yang mereka perlukan.

"Saya juga berharap agar rakan-rakan artis lain yang mempunyai waktu terluang agar datang ke IJN untuk melawat pesakit-pesakit ini. Sekurang-kurangnya kita dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka," ujarnya.

Dia juga akan menyanyikan lebih 12 buah lagu sepanjang sejam persembahan berlangsung pada majlis itu.

Sementara itu, Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Marshisham Che Mood berkata, pemilihan Anuar Zain adalah berikutan artis itu merupakan ikon kasih sayang.




Katanya, penyanyi itu bukan sahaja disayangi oleh golongan kanak-kanak, malah semula lapisan masyarakat.

"Kita nampak Anuar Zain seorang yang penyayang dan dia adalah ikon kasih sayang, semua golongan masyarakat suka dengan karekter dia.

"Kutipan ini adalah untuk dana kumpulan sokongan yang mana untuk membantu dan memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga sepanjang proses perawatan yang dilakukan mereka," ujarnya.

Turut hadir pada majlis sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Intitut Jantung Negara, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub dan Ketua Jabatan, Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Hasri Samion.

Tiket untuk majlis makan malam ini boleh dibeli melalui TicketCharge di talian 03 92228811 atau melayari www.ticketcharge.com.my

Manakala pembalian meja korporat boleh dibuat terus melalui talian 03 26178430/8317/8465 (Aziee Jais).

View the original article here

Monday, 22 September 2014

‘Nasi Tangas’ ukuran Azwan Kombos & Shima Anuar?


Azwan Kombos dan Shima Anuar,

NAMA Azwan Kombos dan Shima Anuar mungkin masih baharu dalam industri hiburan tanah air. Bahkan mereka dianggap masih muda dan ‘hijau’ dalam perjalanan seni lakonan namun mampu menggalas tanggung jawab dengan baik.

Diberi peluang untuk menerajui filem baharu Metrowealth Pictures (MIG) milik Mejar David Teo, Nasi Tangas (nasi kangkang) membuka dimensi baharu buat keduanya. Biarpun masih setahun jagung dalam dunia lakonan, Azwan mahupun Shima menganggap tawaran tersebut sebagai tuah mereka selepas beberapa tahun terlibat dengan bidang seni.






Walaupun dianggap ‘tidak layak’ oleh sesetengah pihak, namun selepas previu Nasi Tangas yang berlangsung Isnin lalu, nyata mereka punyai kredibiliti sendiri.

Filem Nasi Tangas yang turut menampilkan Adiba Yunus, Along Eyzendy, Herman Tino, Delimawati dan juga Den Wahab ditayangkan pada 18 September merupakan filem ke-95 terbitan Metrowealth.

Filem arahan Hashim Rejab mengisahkan Hairi (Azwan) suami kepada Mira (Adiba) seorang yang budiman dan amat mencintai isterinya. Namun begitu, sikapnya yang sering melebihkan rakan baiknya, Fatin (Shima) menyebabkan isterinya cemburu.

Dek kerana tidak puas hati dengan layanan Hairi, Mira termakan kata-kata ibunya untuk mengikat Hairi dengan ilmu hitam iaitu nasi kangkang. Akibat dari itu, banyak kejadian pelik dan aneh menimpa Hairi.

Sukar kawal emosi?

Jika sebelum ini, Azwan Kombos, 29, dilihat sering menghiasi kaca TV dan layar perak sekadar watak sampingan sahaja. Menerusi Nasi Tangas, Azwan atau nama sebenarnya Mohd. Al Azwan Kombos menggalas tugas besar untuk filem ini.

Bergandingan bersama dua pelakon cantik, anak kelahiran Kota Belud, Sabah ini berkongsi cerita bahawa sukar untuk mengawal emosinya.

“Cabaran paling sukar adalah perubahan karakter daripada lelaki normal kemudian bertukar emosi menjadi suami yang taat namun perengus terhadap rakan baik sendiri.

“Secara peribadi, saya tidak selesa dengan aksi-aksi ekstrem yang perlu dilakukan dalam filem ini. Namun, saya bertahan kerana ia sudah menjadi sebahagian tugas dan perlu profesional,” ujar bekas penuntut Kolej Yayasan Melaka dalam jurusan pengurusan teknologi itu.

Ditanya mengenai babak ‘makan ulat’ yang nampak jijik dengan kesan darah dan ulat hidup, Azwan berkata ia bagaimanapun merupakan sebahagian daripada teknik kamera.

“Ia nampak real dalam filem tetapi pada dasarnya hanya teknik kamera agar babak tersebut nampak lebih real.

“Walaupun saya tidak makan betul-betul tapi ulat itu hidup dan bergerak terpaksa menahan rasa geli,” katanya yang melakukan tersebut beberapa kali.

Tambahnya, pengarah (Hashim) turut mengadakan ‘demo’ untuknya agar dapat menghilangkan rasa geli ketika babak tersebut. Bahkan, pengarah itu juga berjaya mengeluarkannya daripada zon selesa kerana dia banyak terlibat dengan lakonan lebih santai sebelum ini.




Masih sayang Nad Zainal

Bercerita mengenai ‘hubungan tak menjadi’ dengan pelakon comel, Nad Zainal yang baharu sahaja putus di tengah jalan bersama Hefny Samad, Azwan menegaskan perkara tersebut kaitan dengannya.

Tegasnya, kehidupan sekarang jauh lebih jauh lebih baik berbanding dahulu dan tidak mahu terus memikirkan perkara dulu.

“Bagi saya, percintaan lalu membuatkan saya lebih matang dan berhati-hati soal jodoh. Lagipun jodoh itu rahsia ALLAH SWT, saya terima dengan hati terbuka dengan sesiapa sahaja,” katanya.

Tegasnya, dia juga tidak menyimpan dendam terhadap bekas kekasihnya itu.

“Walaupun saya alert dengan perpisahan antara Nad dengan Hefny, tapi ia adalah masalah dia dan saya tidak mahu masuk campur.

“Lebih baik dia sendiri yang selesaikan masalah itu. Saya malas ambil pusing,” katanya mengakui masih menyayangi pelakon ‘Kampung Girl’ itu.

Shima diganggu makhluk halus

Sementara itu, si cantik Shima Anuar satu nama yang mungkin akan memonopoli industri seni selepas menonton sendiri lakonannya menerusi filem ini. Bahkan di antara mereka bertiga, wataknya sebagai Fatin dilihat lebih menyerlah dan menjiwai peranannya sebagai rakan baik kepada Hairi.

Malah lakonan wajar dipuji apatah lagi wataknya sering diselubungi dengan misteri yang memerlukannya menangis dan ketakutan setiap masa.

Tidak lari daripada mengalami gangguan makhluk halus, Shima mengakui turut berhadapan dengan pengalaman menakutkan ketika penggambaran di Kem Kemensah, Hulu Kelang.

“Ada satu ketika saya diganggu dengan ‘kelibat’ misteri kemudiannya suasana menjadi blur apatah lagi salakan anjing agak kuat ketika itu.

“Satu set menjadi senyap seketika kerana tiba-tiba bulu roma meremang. Alhamdulillah... Saya bersyukur gangguan ini hanya berlaku sekejap sahaja,” katanya.

Selepas gangguan itu, Shima membaca surah-surah al-Quran bagi menghilangkan rasa takut dengan kejadian tersebut.

Sambungnya, kejadian seperti ini pernah dilaluinya ketika penggambaran filem Highland Tower membuatkan dia lebih berhati-hati.

Dalam perkembangan terbaru, Shima bakal muncul dengan drama baharu bertajuk Selipar Jepun Stiletto Merah (30 episod) yang masih lagi menjalani penggambaran.

View the original article here