Showing posts with label Aznil. Show all posts
Showing posts with label Aznil. Show all posts

Sunday, 7 September 2014

Jatuh bangun seorang Aznil Nawawi



AZNIL NAWAWI, Pak Nil, Datuk Aznil atau apa saja panggilan yang diberikan kepada figura yang sedang duduk bersebelahan saya, merupakan sebuah refleksi kepada persekitaran, kehidupan dan kerjayanya.

Bingkas bangun daripada kerusinya seraya menyapa kunjungan kami ketika sesi pengenalan 20 orang anak didiknya dari program On Air musim ketiga di ibu pejabat Astro, Bukit Jalil baru-baru ini, bicara kami mengalir lembut.

Kini, selepas 25 tahun, nama Aznil masih kukuh. Biar tidak lagi kerap dilihat muncul dalam kaca televisyen, Aznil mengaku beliau puas dan tidak terasa bakal dilupakan khalayak.






Sebaliknya, melihat barisan anak didiknya dari On Air yang bersiaran untuk satu musim, manakala dua musim lagi diteruskan tanpa bersiaran, beliau sudah berasa cukup bertuah.

"Saya seperti melihat diri sendiri setiap kali melihat wajah mereka di televisyen. Ini antara pencapaian terbaik karier saya, punya anak didik yang bakal meneraju landskap pengacaraan dengan penuh integriti," katanya penuh bangga.

Aznil, 52, seperti yang dikenali ramai sebagai seorang pengacara, pelakon, penyampai radio dan pernah suatu ketika bergelar penyanyi tidak terlepas daripada melalui detik-detik sukar.

Madu yang dituai hari ini merupakan hempedu yang pernah ditelan 25 tahun lalu. Kata Aznil, kalau berjalan biar sampai ke batas, kalau belayar biar sampai ke pulau.



AZNIL bukan sahaja terkenal dalam kalangan penonton dewasa, tetapi menerusi program kanak-kanak dan kekeluargaan Tom Tom Bak, beliau mencipta dunianya tersendiri. Program seumpama ini yang telah membuat nama panggilannya dikenali sebagai Pak Nil.

"Saya bermula tanpa guru, belajar daripada kesilapan orang lain dan mengutip pengalaman daripada kesalahan saya sendiri.

"Detik paling sukar sepanjang karier saya ialah sewaktu tahun kemelesetan ekonomi sekitar tahun 1998. Tiada syarikat produksi ketika itu mahu menerbitkan rancangan televisyen dan ramai pengacara yang menganggur.

"Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman bersama beberapa rancangan televisyen seperti Melodi, Pop Kuiz dan Teleskop, saya menggunakan kemahiran penerbitan untuk mencari duit lebih walau tawaran tidak lebat.

"Momen yang juga sukar bagi saya apabila rumah tangga saya berpecah dan melalui proses penceraian. Malah, saya juga pernah suatu ketika dahulu dikritik hebat hingga membawa ke mimbar khutbah Solat Jumaat," lentur bicaranya.




Sudah kenyang makan kerak

Sambung Aznil, pengalaman itu mengajarnya untuk belajar daripada kesilapan dan berkongsi kepada anak didiknya untuk tidak mengulangi perkara yang sama.

"Tidak pernah saya meragui langkah yang saya pilih. Saya beruntung kerana pada zaman itu tidak ramai yang mahu menjadi pengacara, jadi khidmat saya sentiasa dimahukan dan saya tidak pernah melalui fasa yang mana saya tidak cukup makan.

"Benar, memang ada dugaan kecil yang saya lalui tapi tidaklah sampai saya mahu berhenti. Kadang-kadang perkara kecil sebegini membuatkan saya mahu buktikan bahawa saya mampu menjadi besar.

"Sehingga pernah beberapa ketika orang ejek saya tidak menang anugerah, datang ke acara sekadar tukang tepuk. Rasa marah, malu dan kecil hati memang ada tapi tidak pernah itu menjadi pendorong saya mahu meninggalkan industri," tegasnya.

Daripada mana datangnya semangat untuk bangkit kembali?

Jawab Aznil, sebulat kata hatinya untuk terjun ke bidang pengacaraan sebulat itu tekadnya untuk bangun daripada kegagalan.

"Sekali saya sudah membuat keputusan untuk meninggalkan kerjaya saya dalam bidang perkapalan, sejak itu keputusan saya muktamad!

"Ini minat saya dan pengalaman terdahulu menjadikan saya seorang pengacara yang boleh menerbit dan mengarahkan program televisyen sendiri.

"Saya rasa sudah jauh terlibat dalam bidang pengacaraan dan penerbitan jadi saya tidak boleh berundur," tegasnya yang tidak pernah mengidamkan kerjaya sebagai pengacara ketika di bangku sekolah.



AZNIL menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah bergelar Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada tahun 2013. Pengiktirafan tersebut dianggap antara pencapaian terbaik dalam hidupnya.
Advertisement


Rentas zon masa

Impian Aznil untuk condong ke bidang pengacaraan bermula apabila dia melihat figura idolanya, Wan Zaleha Radzi menghiasi kaca televisyen.

"Terfikir pula saya ketika itu bahawa menjadi pengacara televisyen adalah sesuatu yang menyeronokkan dan zaman dahulu kerjaya ini bukan pilihan ramai. Kebanyakannya mahu menjadi penyanyi dan pelakon," kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya itu.

Dari zaman persekolahan singkap Aznil, dia mengasah kemahiran dan kebolehan untuk bercakap di depan khalayak menerusi aktiviti ko-kurikulum seperti pertandingan pantun, debat dan public speaking.

Lama-kelamaan apabila melihat peluang itu muncul di hadapannya, Aznil tidak teragak-agak untuk menerima tawaran mengacara dan menggunakan kembali skil sama yang pernah dipelajari ketika zaman persekolahan.

Diajak kembali merentasi zon masa untuk kembali ke suatu tempoh yang paling Aznil dambakan, katanya dia mahu terbang semula ke lewat tahun 1980-an.

"Zaman itu saya banyak buat iklan dan pelakon dibayar mahal hingga mencecah RM60,000. Malah, pencapaian itu melambangkan status sosial tertinggi apatah pesaing kita kebanyakannya ketika itu berwajah kacukan.

"Walaupun ketika itu orang tidak tahu nama saya, setiap kali terserempak di luar orang akan ingat dan kenal saya menerusi iklan di televisyen. Malah, mereka menyifatkan saya tergolong dalam kategori manusia terpilih," cerita pelakon filem Cicak Man itu bersungguh-sungguh.

Hantu stoking

Tidak pernah kalah gaya, Aznil sering tampil ke hadapan khalayak dengan fesyen yang terkini dan pelbagai. Bercerita lebih lanjut mengenai kekagumannya terhadap penghibur lagenda Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, kata Aznil idolanya itu sedikit sebanyak mempengaruhi kecenderungannya berpakaian.

"Saya berpenampilan mengikut keselesaan dan cita rasa. Sudirman pula seorang penghibur sejati yang sangat mengambil kira penampilannya setiap hari dan jarang mengulang pakai baju sama ketika membuat persembahan.

"Perkara itu menjadi panduan saya dan secara tidak langsung menambahkan koleksi pakaian dalam almari. Oleh itu, saya terpaksa menyewa sebuah rumah khas semata-mata untuk menempatkan semua pakaian saya," katanya yang menganggap fesyen itu satu pelaburan untuk kerjaya.

Aznil mengikuti perkembangan fesyen semasa, cuma tegasnya dia kini menyesuaikan gaya sehari-harinya dengan usia dan rancangan yang dia kendalikan.
Nikmati Tawaran Sensasi Toyota !

"Saya perlu tampilkan pesona yang matang kerana kebanyakan rancangan yang saya hoskan sekarang menampilkan sisi profesional saya, jadi tiada lagi pakaian gila-gila seperti zaman Macam-Macam Aznil.

"Kembali ke tahun 1992, saya pernah digelar Hantu Stoking dan imej berkenaan melekat ketika itu. Setiap kali keluar rumah saya pasti mengenakan pakaian dan fesyen rambut yang pelik tapi paling penting wajib memakai stoking," tambahnya.

Apakah signifikannya? Jawab Aznil: "Untuk diingati dan membuktikan bahawa saya pernah meniti zaman muda."

View the original article here

Monday, 1 September 2014

25 tahun Aznil Nawawi



NAMA Datuk Aznil Nawawi dalam arena pengacaraan sememangnya tidak perlu disangkal lagi.

Kemampuannya dalam bergaul dengan lapisan masyarakat menyebabkan dia disenangi dan disayangi terutamanya oleh kanak-kanak yang mesra memanggilnya dengan nama Pak Nil.

Lebih istimewa lagi di dalam bidang pengacaraan, berilah apa sahaja program kepadanya, semuanya berjaya dikemudikan lelaki yang kini menginjak ke usia 52 tahun ini dengan begitu baik.

Biarpun kini sudah banyak pengacara baru yang mewarnai program TV di Malaysia, namun kehadiran Aznil masih mendapat tempat di hati dan program yang dikendalinya kini, Apa Kata Malaysia di Astro turut mendapat sambutan penonton.

Ujar Aznil, setelah 25 tahun berkecimpung di dalam bidang seni, banyak kenangan pahit manis dan jatuh bangun yang sudah dilaluinya.






“Berlakon sudah, menyanyi sudah, mengacara pun sudah. Dari segi kerjaya memang saya dah capai apa yang saya inginkan.

“Bila saya dah buat ketiga-tiga kerja seni itu, saya sedar, kecintaan utama saya adalah pada bidang pengacaraan.

“Kalau berlakon, saya lebih suka tengok skrip dan jadual. Jika saya rasa ada kelapangan, saya akan terima, sebab saya tidak suka duduk di lokasi penggambaran terlalu lama,” ujarnya kepada Zass, baru-baru ini.

Kini sudah 25 tahun berkecimpung dalam industri seni, akui Aznil, masih ada kepuasan yang belum dicapainya.

“Ia bukan setakat kepuasan, tetapi cita-cita saya yang masih belum tercapai, yang ingin saya gapai,” katanya.

Melunas impian

“Salah satu cita-cita saya adalah untuk membuat kebajikan dan kerja amal kepada masyarakat. Saya juga suka buat secara diam-diam dan berkumpulan, dengan Astro umpamanya.

“Malah kalau saya boleh guna nama saya untuk mendapat bantuan yang lebih besar, saya nak ‘ketuk pintu’ syarikat-syarikat korporat gergasi untuk mereka gunakan saya dan kita sama-sama buat kerja amal.

“Kerja amal yang saya fikirkan bukan setakat membantu memberi makan, atau sambutan hari raya tetapi tubuhkan satu yayasan atau bangunan untuk anak yatim seumpamanya,” jelasnya kepada Zass baru-baru ini.

Selain itu ujar Aznil, dia juga kini di dalam proses mendekati pelajar di sekolah-sekolah dan penuntut-penuntut universiti.

“Antara lain impian saya adalah untuk melahirkan anak-anak yang pandai memberi pendapat kerana kalau kita lihat anak-anak sekarang, mereka sangat pasif dan tidak mahu mereka membuka fikiran.

“Bahkan ada sesetengah kanak-kanak sekarang sering diperkecil oleh ibu bapa mereka menyebabkan mereka tidak berani bersuara untuk memberi pendapat.

“Jadi saya bekerjasama dan pergi ke sekolah, universiti untuk berjumpa mereka, mengajar mereka untuk bercakap, memberi pendapat, bertanya soalan.

“Saya mahu mereka menjadi pewaris kepada Negara yang pandai bersuara. Bukan pandai meniru hasil kerja orang lain, meluahkan pendapat di jalanan. Itu adalah antara fokus saya sekarang,” katanya yang sudah bermula secara berperingkat.

Bantu lahirkan pelapis

Selain itu ujar Aznil, dia kini juga dalam perancangan untuk melahirkan lebih ramai pengacara muda melalui program On-Air.

“Alhamdulillah bekas-bekas peserta On-Air musim pertama ramai yang kini mendapat kerja sebagai pengacara seperti Hefny dan peserta On-Air musim kedua saya ketengahkan dalam Hlive.

“Fokus seterusnya saya dalam On-Air musim ketiga untuk melahirkan pengulas dan pengacara sukan yang baik. Ia adalah program berterusan Astro saban tahun selepas ini,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbarunya, Aznil berkata, dia baru selesai menjalani rakaman program masakan, ‘Menantu vs Mertua’.

“Ia merupakan program yang menarik kerana menantu dan mertua akan memasak. Kemudian si suami akan merasa masakan si isteri dan ibunya serta menilai mana yang sedap. Nampak tak adil, tapi sebenarnya ia mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Bahkan lepas selesai menjalani program tersebut, ia memberi idea untuk saya mengendalikan sebuah program bual bicara berasaskan masakan,” katanya yang kini dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah program realiti pencarian.





Senangi KRU

Dalam pada itu, Aznil berkata, filem terbaru yang meminjamkan suaranya, Ribbit bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Katanya selaku penggiat seni, dia amat berbangga dengan kejayaan KRU yang sentiasa bergerak selangkah ke hadapan dalam penghasilan filem-filem di Malaysia.

“Saya bukan nak ampu tapi itulah hakikat iaitu penghasilan filem di bawah KRU Studios sentiasa setapak maju ke hadapan.

“Biarpun ada orang menyamakan hasil kerja mereka dengan hasil produk luar, namun mereka kena pandang dari sudut positif, tidak ramai anak seni tempatan yang berani mengambil risiko.

“Selain itu, Ribbit bukan filem animasi biasa kerana ia diterbitkan dalam versi 3-D dan turut menggunakan suara pelakon luar Negara dan ia adalah produk anak tempatan,” katanya.

Berkongsi pengalaman terlibat dalam proses alih suara, Aznil dalam nada bergurau berkata, dia lebih menyukai watak utama yang menggunakan suara Johan Raja Lawak.

“Saya pelik kenapa KRU tidak pilih saya untuk watak utama (ketawa). Tetapi watak saya sebagai burung enggang bernama Mak Rompi juga menarik kerana dia burung, jadi pergerakan mulutnya tidak banyak.

“Dari segi skrip, saya ada juga ubah ikut kesesuaian tetapi dengan persetujuan Mamat Khalid selaku pengarah,” katanya

‘Ribbit’ sebuah filem animasi 3D yang mengisahkan seekor katak yang mengalami krisis identiti telah memenangi anugerah ‘Filem Keluarga Terbaik’ semasa tayangan perdana dunia di Niagara Integrated Film Festival (NIFF) 2014 yang berlangsung di
Canada pada 21 Jun lalu.

Filem diarahkan oleh Chuck Powers menggunakan suara-suara artis terkenal Hollywood seperti Sean Astin, Tim Curry, Russell Peters dan ramai lagi.

Istimewa untuk penonton Malaysia, filem ini turut diadaptasikan ke dalam Bahasa Malaysia di bawah arahan Mamat Khalid dan menampilkan suara-suara artis tempatan seperti Johan Raja Lawak, Elfira Loy, Awie, Datuk Aznil Nawawi, Izzue Islam, AR
Badul, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.

Sudah mendapat tempahan daripada 80 buah Negara luar, filem ini akan mula ditayangkan pada 4 September.

View the original article here