Showing posts with label Jamal. Show all posts
Showing posts with label Jamal. Show all posts

Tuesday, 23 September 2014

Osama Yamani mahu ikut jejak Jamal Abdillah


OSAMA Yamani tetap utama pelajaran biarpun nak jadi anak seni seperti bapanya.

Melihat kemunculan anak sulung Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah iaitu Osama Yamani ketika berlangsungnya Konsert Nostalgia Jamal sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 yang berlangsung di pentas berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya (IB) Ogos lalu, ada sesuatu yang diperhatikan.

Kemunculan Osama di atas pentas berkenaan boleh dikatakan mempunyai aura tersendiri seperti mana yang diwarisi bapanya. Di usia 13 tahun, beliau tidak menafikan mahu memanjangkan legasi seni bapanya.






Osama yang ditemui ARTISMELETOP baru-baru ini memberitahu biarpun minat seninya kian bercambah, beliau yang sedang menuntut di Sekolah Seni Malaysia KL di Bukit Jelutong, Selangor harus mengutamakan pelajaran seperti mana yang dipesan Jamal.


"Ada peluang dan ruang saya mahu jadi seperti babah (panggilan kepada Jamal). Memang dari kecil saya sering juga mengikuti beliau membuat persembahan di sana sini, cuma ketika itu tak berani nak cakap.




"Minat itu berputik dalam diam. Tengok babah menyanyi di TV, memang timbul di hati untuk meneruskan kelangsungannya. Selain nak jadi penyanyi, saya juga nak jadi pengarah muzik. Cuma dalam apa yang saya ingini, pelajaran tetap perlu dihabiskan," katanya yang tidak pernah mengambil pelajaran vokal secara rasmi di mana-mana kelas muzik.

Osama memberitahu sebagai anak, beliau sedar bapanya mahu yang terbaik termasuk aspek kehidupan dan masa depan.

"Saya percaya setiap ibu bapa mahu yang terbaik untuk anak mereka. Jadi saya tak boleh melawan cakap mereka. Saya memang tak pakai telefon bimbit. Apatah lagi mempunyai akaun laman sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook.

"Dulu pernah ada sekejap akaun laman sosial tapi sebab saya pernah leka belajar hingga gagal dalam peperiksaan, terus babah suruh tutup. Babah nak saya fokus belajar," katanya.

View the original article here

Wednesday, 10 September 2014

Hasrat Jamal Abdillah tercapai


JAMAL (kiri) dan Eddy saling memuja dan mengkagumi kehandalan masing-masing.

MEMASANG impian atau angan-angan bukan perkara yang mustahil bagi setiap individu. Namun, menjadikan impian tersebut suatu realiti pasti memerlukan usaha yang gigih serta perancangan terperinci.

Bagi penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah, 55, impian untuk berduet dan berkongsi pentas bersama penyanyi pujaannya, Eddy Silitonga akhirnya tercapai setelah kedua-duanya disatukan menerusi Konsert Nostalgia yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu memberitahu, beliau telah merancang untuk mengundang Eddy bagi menyanyi bersamanya dalam sebuah konsert khas kira-kira dua tahun yang lalu.






“Sejak memulakan karier sebagai penyanyi, saya banyak mendengar lagu-lagu Eddy. Suara Eddy begitu sedap dan banyak lagunya yang saya rakam kembali.

“Justeru, saya memang menyimpan angan-angan untuk berduet bersamanya. Tidak sangka, angan-angan saya itu tercapai pada malam ini,” ujarnya selepas menjayakan persembahan previu konsertnya itu bersama pihak media.

Konsert yang dianjurkan oleh syarikatnya, Bin Jamal Event Sdn. Bhd. itu berlangsung selama empat hari berturut-turut iaitu bermula 28 hingga 31 Ogos lalu.

Paling istimewa, Jamal bukan sahaja ditemani oleh Eddy, malah anaknya, Osama Yamani, 13, turut diundang untuk menyanyi pada konsert berkenaan.

Ketika ditanya mengenai prestasi Osama yang menyanyikan lagu Derita Cinta dan Hingga Tiba Saat Ini (duet bersama Jamal) pada malam tersebut, Jamal berkata, anaknya itu masih hijau dan perlu belajar tentang selok-belok dunia nyanyian dengan lebih mendalam lagi.




“Saya berasa sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang anak yang berbakat besar dalam bidang nyanyian.

“Namun, dia masih muda dan banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Sebagai seorang bapa, saya juga sering mengingatkannya untuk memberi keutamaan terhadap pelajaran,” katanya

Menerusi persembahan Jamal pada malam itu, beliau menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu popularnya.

Ini termasuklah hit sepanjang zamannya Azura, Kekasih Awal Dan Akhir serta Agungnya Kecintaan untuk mengenang tragedi MH370 dan MH17.

Sengaja memilih rangkaian lagu- lagu seperti Bahtera Merdeka dan Di Ambang Sore dan Hujan Malam, slot itu juga turut terisi dengan karya-karya patrotik bersempena dengan Hari Kemerdekaan negara Malaysia yang ke-57.


PENYANYI legenda dari seberang, Eddy Silatonga mulanya berdolak-dalik untuk berkongsi pentas bersama Jamal, namun penyatuan itu membuahkan kenangan terindah buatnya.

Kenangan terindah

Dalam pada itu, Eddy yang pertama kali berkongsi pentas bersama Jamal juga turut melahirkan rasa teruja tatkala bertemu dengan Raja Pop Malaysia itu. Eddy yang popular dengan lagu Lancang Kuning itu mengakui turut mengagumi keaslian suara milik Jamal.

Katanya, ketika mula-mula ditawarkan untuk menyanyi bersama oleh Jamal sendiri, dia seperti kehilangan bicara dan tidak dapat membuat keputusan serta-merta.

“Saya begitu terkejut dengan panggilan yang dibuat oleh Datuk Jamal. Pada awalnya, saya berdolak-dalik juga sama ada mahu menerima tawaran ini atau tidak.

“Namun, setelah berfikir panjang, saya pun bersetuju. Ternyata, peluang ini memberikan pengalaman yang terindah buat saya,” katanya yang turut berduet bersama Jamal menerusi lagu Rayuan Maut, Lancang Kuning dan Rayuan Mesra.

Selain segmen berduet bersama Jamal, Eddy turut mengundang tiga anaknya iaitu pasangan kembar Marco Christaldy dan Mario Georgie serta Ciki Satriadi.

Biar berbeza era dan negara, penyatuan Jamal bersama Eddy di atas pentas Istana Budaya tidak boleh dinafikan kehebatannya.

Masing-masing punya aura tersendiri. Punya ‘bisa’ tersendiri yang boleh dibawa pulang sebagai satu memori.

View the original article here

Tuesday, 2 September 2014

Jamal Abdillah masih berbisa



MANTAP dan memukau, biarpun usianya mencecah separuh abad, penyanyi tersohor Datuk Jamal Abdillah masih mampu memberikan persembahan cukup bertenaga sehingga menerima tepukan gemuruh daripada penonton.

Konsert Nostalgia sempena Hari Kemerdekaan yang ke-57 itu berlangsung selama tiga jam bermula jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 28 hingga 31 Ogos lalu.

Konsert itu turut menyaksikan Jamal berkongsi pentas dengan penghibur legenda Indonesia yang juga idolanya, Eddy Silitonga dan anaknya, Osama Yamani buat julung kalinya.






Menerima gelaran Raja Pop Malaysia, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 55, masih lagi mampu mendendangkan lagu-lagu dengan pelbagai genre seperti irama Malaysia, pop, balada dan juga dangdut.

Suara ‘jantan’ miliknya benar-benar terbukti dengan menyanyikan 15 rangkaian lagu tanpa henti sepanjang persembahan berlangsung.

Antara lagu popularnya seperti Azura, Kekasih Awal dan Akhir, Samrah Mentari dan Siti Norbaya yang kekal menjadi siulan sehingga kini.

Walaupun secara bercanda mentakrifkan lagu-lagu itu sebagai segmen ‘membunuh diri’ namun kehebatan vokalnya tidak perlu diragui kerana mampu mendendangkan lagu tanpa sebarang masalah.

Dalam masa yang sama, Jamal turut mendendangkan lagu-lagu yang belum pernah didendang dalam mana-mana konsertnya sebelum ini seperti Juliana, Menanti Kasih, Aku, Bicara Cinta, Secupak Dua Cupak dan Suratan Kasih.

Tidak melupai jasa karyawan terkenal, Jamal turut mendedikasikan rangkaian beberapa buah lagu kepada Datuk Dr Ahmad Nawab yang banyak bekerjasama dengannya sebelum ini.

Manakala lagu-lagu seperti Dimana Bayangan Mu, Sepi Seorang Perindu, Keluhan Perantau dan Antara Yakin dan Curiga disampaikan secara medley dengan iringan penari latar.

Sementara itu, kemunculan artis seberang Eddy, 65, mendapat sorakan gemuruh daripada penonton dengan mendendangkan empat buah lagu iaitu Melati, Fatwa Pujangga, Mama, Kini Ku Sedari dan Lagu Untuk Mu atas permintaan daripada Jamal sendiri.

Menghangatkan lagi pentas dingin itu, lagu solonya iaitu Kurus Kering dan Mata Jeli yang berentak lebih rancak turut dipersembahkan.

Lebih meriah, Eddy turut menjemput tiga puteranya iaitu Mario, Marco dan Dicky untuk sama-sama mengiringinya mendendangkan dua buah lagu iaitu Jatuh Cinta dan Bukan Hidup Hanya Sehari.

Sempena menyambut Hari Kemerdekaan, Jamal, Eddy dan tetamu istimewa, Elias Shah turut menyampaikan beberapa lagu berunsurkan patriotik seperti Bahtera Merdeka, Di Ambang Sore, Kucupan Azimat, Hujan Semalam, Makan Sirih dan Gelisah.

Malah pemilik suara yang seakan Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Elias turut membuat persembahan secara solo menerusi lagunya Kucupan Azimat, Hujan Semalam dan Makan Sirih.

Walaupun kemunculan anak lelaki sulung Jamal, Osama pada akhir konsert namun ia merupakan persembahan paling dinantikan pada malam itu.

Cukup berbaloi dirasakan dengan persembahan Osama yang sangat memukau dengan kekuatan vokal bernada tinggi menerusi lagu Derita Cerita dan Hingga Tiba Saat Ini (duet bersama Jamal) sebagai penutup tirai konsert nostalgia itu.

Persembahan pada malam itu juga dimeriahkan dengan iringan seramai 14 barisan pemuzik profesional diketuai Raja Sham.

Memperingati MH370 dan MH17

Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) iaitu MH370 dan MH17 yang menimpa negara ini, bagaikan ujian yang amat besar untuk Malaysia.

Bagi memperingati tragedi ini, Jamal turut menyampaikan sebuah lagu istimewa berjudul Agongnya Kecintaan dengan penuh emosi.

Jelas Jamal, konsert tersebut bukan sahaja sekadar untuk berhibur semata-mata tetapi ingin menyampaikan mesej kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara.

Bahkan beliau turut menjelaskan bahawa persembahan itu diteruskan walaupun Malaysia sekarang sedang menangisi tragedi yang menimpa kru dan penumpang kedua pesawat malang itu.

Katanya, biarpun ramai artis yang menunda persembahan kerana menghormati Tragedi MH370 dan MH17 namun, beliau tetap meneruskan konsert itu seperti yang dirancangkan sebelum ini.

Tegasnya, konsert nostalgia itu sebenarnya khusus untuk mengisi slot IB sempena Hari Kemerdekaan tahun ini.

“Lagu tribute khas berjudul Agongnya Kecintaan bukan sahaja untuk mengenangkan tragedi pesawat malang itu bahkan untuk kita bersama menghayati mesej yang disampaikan.

“Tidak lupa juga, lagu patriotik seperti Kau Pergi Demi Pertiwi dan Bahtera Merdeka untuk menyelitkan mesej kemerdekaan kepada penonton selepas negara kita mencapai kemerdekaan selama 57 tahun.

“Ingatlah kemerdekaan yang kita kecapi ini bukanlah percuma sebaliknya dengan pengorbanan perajurit negara di perbatasan,” ujarnya yang pernah menjuarai Bintang RTM 1979.




Jamal restu minat anak

Sementara itu, kemunculan istimewa anakandanya bersama di atas pentas penuh prestij itu seolah-olah menunjukkan Jamal ‘merestui’ penglibatan Osama dalam bidang seni.

Menyentuh sedikit mengenai anaknya itu, Jamal berkata Osama sering mengikuti persembahannya sejak berusia enam tahun lagi.

Katanya, pendedahan yang bermula sejak kecil itu mencambahkan minat Osama dalam muzik sehingga dia mampu menguasai instrumen seperti gitar, bass dan drum.

Walaupun mengizinkan penglibatan anaknya itu namun Jamal menegaskan bahawa dia tidak menggalakkan Osama terjun dalam bidang seni lebih awal.

“Umur Osama masih muda (13 tahun) dan mentah untuk terlibat dalam industri.

“Saya mahu dia mengenali selok belok industri dahulu dan mengutamakan pembelajaran berbanding perkara lain,” ujar Jamal.

Tegas Jamal, dia mahu Osama menumpukan pengajiannya di Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum terlibat secara serius dalam nyanyian.

Mengenai penglibatan Osama dalam konsert tersebut, Jamal menjelaskan bahawa ia merupakan saranan daripada rakan-rakannya sendiri.

“Ramai yang mengesyorkan Osama untuk menyertai konsert ini setelah melihat video nyanyian anak saya di YouTube.

“Saya terkejut mulanya kerana tidak tahu Osama mempunyai bakat nyanyian yang terpendam. Dari situlah timbulnya idea untuk menyelitkan nyanyi duet kami berdua di konsert ini,” kata.

Eddy kagumi Jamal

Dapat bersua dengan penyanyi popular Indonesia, Eddy Silitonga ternyata cukup mesra melayan sesiapa sahaja bertemu dengannya.

Murah senyuman dan gemar berjenaka, Eddy nyata seorang yang ‘humble’ dan peramah ketika sesi temu ramah bersama wartawan.

Menyatakan bahawa dia cukup mengagumi vokal Jamal, Eddy menyifatkan Raja Pop itu sebagai seorang yang luar biasa.

“Sebelum ini, saya pernah mendengar suara Jamal pada 1982 ketika di Medan, Indonesia,” katanya yang memulakan perbualan.

Namun begitu, Eddy berkata hanya selepas puluhan tahun, barulah dia berpeluang untuk bertemu dan berkongsi pentas di konsert nostalgia ini bersama anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Sambung Eddy, segala-galanya bermula kira-kira lapan bulan lalu apabila menerima panggilan mengatakan Jamal mahu mengundangnya dalam konsert tersebut.

“Ada pihak menghubungi saya menyatakan jemputan daripada Jamal untuk menyertai persembahan selama empat hari di Malaysia.

“Selepas berfikir panjang, saya terus menerima permintaannya dan akhirnya, kami berduet di pentas IB pada malam ini,” katanya.

View the original article here

Sunday, 31 August 2014

Jamal Abdillah Pastikan Anak Fokus Pelajaran


Osama mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian seperti mana bapanya, Jamal Abdillah.

Penyanyi Datuk Jamal Abdillah tidak akan membenarkan anak sulungnya, Osama Yamani, 13, untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian secara sepenuh masa buat masa ini.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 55, berkata, dia mahu Osama memberikan fokus terhadap pelajaran di sekolah dan hanya membuat persembahan jika mempunyai masa terluang.

"Dia mempunyai bakat yang cukup besar sebagai penyanyi tetapi sebagai bapa saya mahu dia memberikan tumpuan kepada pembelajaran di sekolah kerana pendidikan itu sangat penting," katanya kepada mStar Online.

Jamal kini sedang mengadakan persembahan di Panggung Sari, Istana Budaya menerusi Konsert Nostalgia bersama penyanyi Indonesia, Eddy Silitonga sehingga 31 Ogos ini.






Osama juga turut membuat penampilan istimewa dalam konsert berkenaan untuk berduet dengan bapanya.

Dalam pada itu, Jamal berkata, biarpun tidak menggalakkan Osama menyanyi secara sepenuh masa namun sebagai bapa dia berbangga dengan bakat dimiliki anaknya itu dan mahu melihat dia berjaya sebagai seorang penyanyi suatu hari nanti.

Jelas Jamal, bagi memastikan anaknya itu mendapat pendedahan yang betul dia menghantar Osama ke sebuah sekolah seni bagi membolehkan remaja itu mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik.

"Di sekolah berkenaan pada sebelah pagi dia akan belajar subjek akademik seperti biasa manakala pada waktu petang dia akan belajar mengenai muzik yang turut disediakan di sekolah tersebut.

"Sebagai bapa saya tidak kisah mengeluarkan sedikit modal kerana apa yang penting dia mendapat pendidikan formal sebagai persediaan untuknya pada masa hadapan," jelasnya.

Sementara itu, Jamal berkata, dia tidak mahu Osama terlalu mengikut cara nyanyiannya dan ingin melihat remaja itu mempunyai identiti sendiri sebagai penyanyi.




"Saya bersyukur dan berbangga dianugerahkan anak yang berbakat seperti Osama tetapi dia masih banyak ruang untuk dia memperbaiki diri dari segi teknik nyanyian kerana saya tidak mahu dia mengikut cara saya menyanyi.

"Tiada tekanan pun untuknya masa ini kerana dia masih muda dan sebab itu saya mahu dia tumpukan perhatian kepada pelajaran terlebih dahulu," katanya.
Tags / Kata Kunci:
Jamal Abdillah , Osama Yamani , Konsert Nostalgia.

View the original article here

Wednesday, 21 May 2014

Jamal Abdillah Mahu Bersara Pada Usia 60 Tahun

Penyanyi Pop, Datuk Jamal Abdillah, 54, berhasrat untuk bersara daripada industri seni pada usia 60 tahun kerana terlalu letih setelah lebih 30 tahun bergelar penyanyi.



“Saya sekarang sedang memperlahankan persembahan seperti minggu setiausaha dan korporat. Tetapi, saya akan tetap akan keluarkan album sehingga saya betul-betul bersara.

“Saya sudah letih nak fikirkan konsep, baju dan persembahan sebab itu mengambil keputusan untuk mempertimbangkan persaraan saya,” katanya yang ditemui selepas persembahan Minggu Setiausaha Antarabangsa di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pengumuman hasratnya itu mengejutkan peminat yang hadir pada majlis itu. –BH Online