Showing posts with label Sudirman. Show all posts
Showing posts with label Sudirman. Show all posts

Wednesday, 3 September 2014

Abadikan Nama Sudirman Di Chow Kit


Sudirman Hj Arshad

Pergerakan Puteri Umno pada Selasa mencadangkan agar nama bekas penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad diabadikan pada satu jalan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, cadangan tersebut bertujuan untuk mengenang jasa beliau dalam dunia hiburan yang memainkan peranan menyatukan masyarakat pelbagai kaum menerusi lagu-lagunya.






"Sudirman merupakan seorang penghibur berjiwa rakyat dan beliau merupakan satu-satunya penyanyi Malaysia yang mengadakan konsert percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada April 1986.

"Lagu-lagunya banyak membawa gambaran dan mesej tentang kehidupan masyarakat seperti lagu Basikal Tua, Chow Kit Road, Pulang Dari Kilang, Orang Muda, Aku Penganggur dan lain-lain," katanya menerusi satu kenyataan media pada Selasa.
Jelas Mas Ermieyati, beliau berharap agar Sudirman akan dikenang oleh generasi muda sebagai penghibur tersohor negara dengan terlaksananya cadangan tersebut.

"Kami berharap dengan diabadikan nama beliau pada salah satu jalan di Kuala Lumpur, Sudirman akan dikenang oleh generasi masa kini dan akan datang sebagai penghibur yang banyak jasanya kepada negara," katanya.




Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kerana menganjurkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 dengan jayanya.

"Penggunaan tema “Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” ternyata begitu tepat sehingga menjadi trending di laman media sosial dan siulan dalam kalangan anak muda, remaja hingga kanak-kanak," katanya.

Mas Ermieyati turut memuji cetusan idea mengembalikan malam Nostalgia Chow Kit Road yang mendapat sambutan luar biasa di kalangan warga kota.
Kira-kira 400,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya pada sambutan tersebut walaupun acara disusun mengikut kesesuaian susulan tragedi pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dan MH370.

View the original article here

Monday, 1 September 2014

Jiwa patriotik Sudirman!



Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita cita
Bercambah menjadi warisan

Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harusku bawakan
Kemana harusku semaikan cinta ini

Betapa
Dibumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat
Ku jejaki

Aku
Bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan






MENGIMBAU detik 22 Februari 1992 iaitu 22 tahun lalu, kita dikejutkan dengan kehilangan sebutir bintang seni negara.

Pergi meninggalkan kita ketika usianya 37 tahun, sehingga kini penghibur nombor satu Asia ini kekal terpahat di hati walaupun sudah melebihi dua dekad!

Bukan sahaja di kalangan mereka yang membesar ketika zaman kegemilangannya, malah namanya bukan lagi asing di seluruh generasi masyarakat.

Biarpun jasadnya sudah lama tiada, namun nostalgia yang ditinggalkan sukar untuk ditandingi mana-mana insan seni lain.

Dan ternyata sehingga kini, tiada insan seni lain yang mampu menandingi kehebatan Allahyarham baik dalam bidang nyanyian mahupun semangat cintakan negara.

Pemergiannya tidak membawa kesemua kenangan yang ada, malah dia turut meninggalkan 'sesuatu' untuk kita sebagai renungan, iktibar, tatapan dan batasan.

Salah satu daripada 'khazanah' yang ditinggalkan adalah menerusi lagu-lagunya yang kekal bernafas sehingga ke hari ini.

Lihat sahajalah lagu-lagu patriotiknya seperti 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita dan Warisan, jika diteliti bait-bait lagu itu, amat jelas menunjukkan rasa cintakan negara dan semangat patriotik yang kuat di dalam dirinya.

Kekal meletakkan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad di dalam lipatan memori negara, Memori Chow Kit Road yang telah berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman sejak 29 Ogos lalu, jelas mengimbau kembali nostalgia lagenda seni ini.

Malah, lirik lagu dendangannya, Warisan turut dipilih sebagai tema Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta'.

Ia sekaligus membuktikan, aura anak jati Temerloh, Pahang, ini tidak terkubur bersama jasadnya!

Penuh rasa cinta negara

Menyelak sejarah pembabitan seni sepanjang penglibatannya, beliau sempat merakamkan lebih 10 album dari pelbagai genre iaitu Teriring Doa (1976), Aku Penghiburmu (1978), Perasaan (1979), Anak Muda (1980), Lagu Anak Desa (1980), Lagu Dari Kota (1981), Twinkle Twinkle Little Star (1981), Abadi (1982), Lagu Cinta (1982), Images (1983), Orang Baru (1984), Lagu Dari Sebuah Bilik (1984), Orang Kampung (1986), Kul it! (1986) dan Asia’s No. 1 Performer (1989)

Album Abadi merupakan satu-satunya album patriotik yang dihasilkan demi rasa cintanya terhadap negara.

Malah, beliau pernah mencatat pada kulit album dalam bentuk piring hitam itu bahawa syarikat rakaman, EMI dan penerbitnya, S Atan, tidak yakin untuk menerbitkan album berkenaan.

Menurutnya, kegusaran itu mula timbul di pihak rakaman kerana bimbang masyarakat tidak dapat menerima konsep berkenaan.

Namun demi rasa cinta kepada Malaysia, biarlah ada satu album patriotik untuk seumur hidupnya.

Menerusi album itu terselit lagu-lagu termasuk, Warisan, Di Bumi Bertuah, 8 Ke 4 ¼ (Punch Card), Kehadiranku, Sabarlah Menanti, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita.

Walaupun pada mulanya album itu tidak mendapat sambutan sebagaimana album komersialnya yang lain, namun siapa sangka, ianya kekal terpahat di hati kita sehingga kini.

Malah, setiap tahun ketika negara menyambut kemerdekaan, itulah antara lagu-lagu yang sering menghiasi corong-corong radio.

Selain lagu-lagu patriotik, beliau juga turut mendedikasikan lagu, Bapak, kepada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dan suara bangga pada negara, agama dan bangsa menerusi lagu, Radio Malaysia.

Menerusi album Kul It, lagu One Thousand Million Smiles, dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah.

Menariknya, lagu yang mengisahkan perpaduan kaum dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau juga turut mempersembahkan lagu yang dituju khas kepada Allahyarham Puan Sri Saloma berjudul Mama.

Pada April 1983, Sudirman pernah memberitahu bahawa Mama (panggilannya kepada Saloma) tidak percaya bila dia membuka mulut meminta kebenaran untuk cipta lagu untuknya.

"Kata Mama, Tan Sri P. Ramlee enggan cipta lagu untuknya kerana Saloma adalah miliknya, dan tidak perlu cipta lagu lagi," kata beliau.




Konsert di Chow Kit Road

Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama apabila disenaraikan dalam Malaysian Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Beliau berjaya memukau hampir 100,000 warga kota ketika itu untuk berpusu-pusu membanjiri jalan berkenaan.

Antara lagu yang didendangkan beliau termasuk Chow Kit Road! Chow Kit Road! dan diakhiri dengan lagu patriotik sambil memakai bendera Malaysia.

Ketika itu, Jalan Chow Kit adalah tempat untuk golongan marhaen dan menjadi simbol untuk orang-orang kebanyakan yang juga peminatnya.

Difahamkan, konsert jalanan secara percuma yang mendapat sambutan hebat itu adalah tanda terima kasih kepada peminatnya yang menyokong selama ini.

Malah, dia turut mengakui, peminatnya adalah di kalangan mereka yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel atau dewan untuk konsert eksklusif.

Walaupun ia hanyalah konsert jalanan biasa, namun Sudirman berjaya menyedarkan kita bahawa dialah penghibur yang bukan terlahir dalam golongan materialistik!

Setelah memori 1986 itu berlalu dan hanya terselit dalam lipatan kenangan peminat di era itu, kini ianya diharapkan dapat mengembalikan nostalgia itu menerusi Konsert Chow Kit Road 2.0 yang dikenali sebagai 'Memori Chow Kit Road'.

Mula berlangsung pada 29 hingga 31 Ogos (hari ini), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tema yang dipetik dari lagu Warisan dan lokasi yang dipilih diharapkan memberikan kesan mendalam dan lahirkan semangat kecintaan terhadap negara dalam hati semua rakyat.

View the original article here

EKSLUSIF!! 5 Gambar Wajah Terbaru Bekas Isteri Sudirman Akhirnya Didedahkan

EKSLUSIF!! 5 Gambar Wajah Terbaru Bekas Isteri Sudirman Akhirnya Didedahkan | Setelah sekian lama, akhirnya seorang peminat berjaya menyelongkar siapakah gerangan wajah di sebalik bekas isteri Seniman Sudirman Hj Arshad pada masa kini. Jom ikuti pendedahan beliau!

5 Gambar Wajah Terbaru Bekas Isteri Sudirman Akhirnya Didedahkan

Ini adalah satu-satunya entry yang aku mohon maaf sekiranya ia menyinggung perasaan atau salah dari segi faktanya.

Aku merupakan peminat arwah Sudirman Hj Arshad, seperti biasa, bila kita minat seseorang itu maka kalau boleh, kita ingin tahu apa kegemarannya, siapa orang kesayangannya, apa citarasanya dan berbagai lagilah. Apatah lagi sekiranya orang yang kita minat itu seorang public figure seperti beliau.

Aku sendiri tidak terkecuali.

Aku rasa semua orang terutama peminat Sudirman tahu bahawa beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang eksekutif Petronas yang bernama Kamariah Jamaluddin atau Kay, namun mahligai cinta yang dibina cuma mampu bertahan kira-kira tiga tahun saja sebelum semuanya berakhir dengan penceraian
Dan semua orang tahu kesan perpisahan tersebut memberi tekanan psikologi yang cukup hebat dalam diri Sudirman, ini boleh dirasai melalui lagu-lagu cinta yang didendangkannya

Di mana Kay sekarang? Itulah yang sering menjadi tanya aku dan ribuan peminat Sudirman kerana wanita itu dikatakan terus menghilang dan tidak muncul-muncul lagi selepas terjadinya peristiwa penceraian tersebut
Tidak lama dulu, aku terbaca satu artikel mengenai kisah seorang bekas eksekutif Petronas di dalam Sunday Times yang menulis mengenai sebuah buku masakan.

Di sini, admin kongsikan tiga keping gambar lama yang memaparkan wajah sebenar bekas isteri allahyarham Sudirman Haji Arshad.




Hati aku tiba-tiba berdegup! mungkinkah dia Kay yang dimaksudkan oleh arwah Sudirman itu???
Aku tak puas hati, dari situ aku cuba menyelongkar Google dan Yahoo Search tentang wanita ini.
Penulis ini rupanya menepati betul ciri-ciri yang digambarkan oleh arwah, dia sangat cantik walau kini usianya telah melewati usia 50-an, ejaan namanya sama, dan dia turut menuntut di Universiti Malaya pada waktu yang sama dengan tempoh arwah Sudirman belajar di sana.

Aku sangat kagum dengan kejayaan Puan Kay sekarang…nampaknya bekas suami isteri ini sangat berjaya dalam bidang mereka masing-masing.

Tak mengapalah, semua dah jadi sejarah, Puan Kay pun sudah mempunyai keluarga sendiri dan bahagia dengan kehidupannya sekarang.

Persoalannya, adakah Puan Kay benar-benar Kay yang Sudirman maksudkan itu? wallahualam.



EKSLUSIF!! 5 Gambar Wajah Terbaru Bekas Isteri Sudirman Akhirnya Didedahkan | Setelah sekian lama, akhirnya seorang peminat berjaya menyelongkar siapakah gerangan wajah di sebalik bekas isteri Seniman Sudirman Hj Arshad pada masa kini. Jom ikuti pendedahan beliau!


sumber
http://mediasensasipanas.blogspot.com/2014/08/ekslusif-5-gambar-wajah-terbaru-bekas_30.html

View the original article here