Wednesday 21 May 2014

Lisa Surihani Takut Tonton Cerita Seram

Pelakon dan pengacara Lisa Surihani merupakan seorang yang penakut dan tidak akan menonton atau mendengar kisah seram terutamanya cerita-cerita hantu.



Lisa, 28, berkata, dia mengalami perasaan takut sejak kecil dan sering terbawa-bawa perasaan itu ketika bersendirian.

“Saya bukan seorang yang suka dengar cerita hantu dan saya tidak faham kenapa orang tengok cerita sebegitu?

“Sejak kecil lagi saya memang takut untuk menonton cerita hantu kerana ia akan menggangu tidur saya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran HBO Sentral Bahasa Malaysia, di Hotel Grand Hyatt, di sini pada Isnin.

Lisa Surihani turut diumum sebagai hos pertama rancangan yang memaparkan filem-filem terbaharu di pawagam dalam versi bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, Lisa berkata, dia pernah menerima tawaran berlakon filem genre tersebut berjudul Dendam Orang Mati.

“Selalunya saya memang tolak mentah-mentah filem genre seram, namun ada satu filem berjudul Dendam Orang Mati yang saya terima kerana watak saya dalam filem itu sangat mencabar.

“Ia cerita psiko tetapi lokasi penggambaran di tempat-tempat yang memang menakutkan dan saya terpaksa meminta suami (Yusry Abdul Halim) untuk menemani saya ketika di lokasi,” katanya.

Tambah Lisa, dia juga terkilan kerana disebabkan perasaan takut itu juga dia tidak dapat memberikan sokongan kepada kawan-kawan baiknya yang berlakon dalam filem-filem seram.

Dalam pada itu, Lisa yang mengacarakan program HBO Sentral itu mengakui teruja dan berbesar hati kerana menjadi hos pertama rancangan tersebut.

Dia akan memastikan cara penyampaian agar lebih interaktif bagi menyalurkan maklumat tentang filem-filem terbaharu di pawagam.

“Saya seorang pelakon dan peminat filem, jadi saya berbangga apabila Astro memilih saya untuk menjadi hos rancangan ini.

“Mereka mahu saya bawa rancangan ini mengikut cara saya sendiri, namun apa yang sukar apabila saya terpaksa bercakap sendirian di skrin hijau dengan hanya membayangkan apa yang keluar di televisyen,” ujarnya.

Episod pertama HBO Sentral akan bersiaran pada 27 April ini, pukul 7.15 malam di saluran HBO (saluran 411/431). -mStar Online


 

No comments:

Post a Comment