Wednesday 7 May 2014

The Amazing Spider-Man 2 Lebih Menghiburkan!

Selepas gagal di mata pengkritik pada filem ‘re-boot’ The Amazing Spider-Man 2012, pengarah Marc Webb nampaknya kembali membetulkan keadaan pada pusingan kedua melalui The Amazing Spider-Man 2.

The Amazing Spider-Man 2 Lebih Menghiburkan!

Sebelum ini, pasti penonton masih ingat pada penceritaan adiwira itu yang ‘gelap’ dengan gaya drama Christopher Nolan hinggakan menghilangkan rasa keterujaan yang sepatutnya.

Pada sekuel ini, Peter Parker lakonan Andrew Garfield menjalani kehidupan seterusnya dan masih berhubung dengan Gwen Stacy (Emma Stone) walaupun pada filem pertama, hubungan mereka tidak direstui bapa Gwen. Selepas kematian bapa Gwen, hubungan mereka kembali terjalin namun cabaran sebagai kekasih tetap ada.

Karakter alter-ego Peter, Spider-Man berdepan tiga musuh baru yang mahu memusnahkan bandar New York. Musuh pertama, Max Dillon yang bergelar Electro mempunyai kuasa elek­trik, askar upahan dari Russia bergelar Rhino yang gila dan musuh ketiga, Harry Osborn, anak Norman Osborn, pengasas Oscorp.

Tidak dinafikan plotnya hampir sama dengan Spider-Man 3 versi Sam Raimi apabila me-nyumbat banyak musuh dalam satu cerita. Namun Webb berjaya menyusun atur setiap musuh pada kedudukan plot sesuai, sekali gus membuatkan penonton berpuas hati.

The Amazing Spider-Man 2 Lebih Menghiburkan! [2]

Sekuel ini juga lebih berwarna-warni dan menghiburkan. Kesan khas dan aksinya berada di kelas tersendiri, malah pengarah seni pandai bermain dengan sudut kreatif, sekali gus memberi kesan sinematografi menarik.

Contohnya pada gerak kerja kamera, kesan khas gerak perlahan dan kesan khas gerak terhenti (suspended-motion effect).

Kelebihan utama filem ini pastinya pada perkembangan plot dan karakter yang dicipta pengarah dan penulis lakon layar. ­Antara yang menarik ialah hubungan romantik antara Garfield dan Emma yang turut diperkatakan di luar set.

Kekuatan cerita cinta mereka menguatkan lagi kepercayaan dan keinginan penonton memenuhi pawagam untuk menonton mereka sebagai kekasih.

Dari segi karakter, Garfield sempurna sebagai Peter Parker kerana dia berjaya memberi dua karakter yang benar-benar berbeza dan diperlukan untuk membawa watak Spider-Man.

Begitu juga Daen DeHaan yang berjaya membuktikan dia lebih layak dan terbaik membawa watak Harry Osbron berbanding aktor asal, James Franco (dalam versi trilogi Spider-Man karya Sam Raimi).

Malangnya, Jamie Foxx sebagai Electro seolah-olah satu pembaziran. Walaupun Jamie berjaya menonjolkan sisinya sebagai Max Dillon yang naif dan bendul, Webb dan penulis lakon layar gagal membuatkan penonton berasa kasihan pada salah faham yang berlaku dan punca Elektro jadi jahat.

Walaupun gagal meng­imbangkan watak Elektro, Webb berjaya memberi dua babak menarik untuk penonton kagum yakni babak Elektro kali pertama bertemu Spider-Man dan pada babak klimaks.

Rumusannya, Spider-Man kali ini menepati cita rasa peminat adiwira itu, malah menyerlahkan cita rasa sebenar tatkala menonton filem fiksyen yang karut tapi mengkhayalkan dek aksi dan bukan drama semata-mata.

INFO
  • FILEM: The Amazing Spider-Man 2
  • ARAHAN: Marc Webb
  • PELAKON: Andrew Garfield, Emma Stone, Jamie Foxx, Dane DeHaan, Colm Feore, Paul Giamatti, Sally Field dan BJ Novak
  • GENRE: Aksi
  • TAYANGAN: 1 Mei 2014
  • ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

[Sumber]

No comments:

Post a Comment