Showing posts with label Bunkface. Show all posts
Showing posts with label Bunkface. Show all posts

Monday, 6 October 2014

Bunkface Tak Akan Tukar Identiti Untuk Masuk Indonesia


Bunkface tidak akan menukar identiti mereka semata-mata untuk menembusi pasaran Indonesia.

Kumpulan Bunkface tidak akan menukar identitinya sebagai kumpulan yang membawakan muzik punk rock ini semata-mata untuk diterima masuk ke pasaran muzik Indonesia.

Vokalisnya, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 27, berkata, negara jiran tersebut sukar menerima aliran muzik yang dibawa kumpulan mereka jika tidak mengikut beberapa syarat tertentu.






"Kalau ingin diterima di Indonesia kami perlu duet dengan artis negara itu, tahu berbahasa Indonesia dan tinggal di sana.

"Namun, kami tidak akan tukar cara dan identiti Bunkface semata-mata untuk masuk pasaran negara Indonesia, kalau mereka mereka tidak boleh terima tidak apa," ujarnya kepada mStar Online.

Sam berkata, mereka sudah beberapa kali mengadakan persembahan dan menyertai acara besar di negara tersebut sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, ia masih belum berjaya mendapat tempat dan menarik pendengar daripada negara itu.

"Akhir tahun lalu kami sudah cuba beberapa kali mengadakan persembahan di Hard Rock Jakarta dan di Makasar serta beberapa karnival yang besar, namun ia seperti salam perkenalan.

"Mereka suka tetapi mereka tidak panggil kami semula untuk persembahan," ujarnya.

Selain Sam, kumpulan Bunkface turut dianggotai oleh Youk (Farouk Jafaar) dan Paan (Ahmad Farhan).

Dalam pada itu, Sam berkata, dia berharap dengan bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music mampu memberi peluang kepada kumpulan tersebut menembusi pasaran luar.

Jelasnya, impian untuk menembusi industri muzik luar sememangnya merupakan cita-cita setiap anak seni.




"Siapa tidak mahu pergi pasaran luar, namun buat masa ini kami rasa peminat kami kuat di sini. Insya-Allah selepas berada bawah Sony Music ini kami dapat lebarkan sayap di negara luar," ujarnya.

Bunkface yang baharu sahaja melancarkan album kedua mereka berjudul Malam Ini Kita Punya berharap album tersebut diterima oleh peminat.

Sementara itu, kata Sam, mereka bakal mengadakan konsert jelajah universiti sempena mempromosi album tersebut.

"Sempena mempromosi album ini kami akan adakan mengadakan konsert jelajah universiti yang akan dimulakan dalam masa terdekat.

"Kita tahu kekuatan peminat ramai di universiti sebab itu kami pilih untuk buat persembahan di sana," ujarnya.

View the original article here

Tuesday, 23 September 2014

Resipi Bertahan Bunkface



SAHABAT yang mengharapkan Bunkface terus wujud sehingga mereka lanjut usia. Dari kiri: Paan, Sam dan Youk.

SAM, 27, Youk, 25, dan Paan, 27, tiga nama yang membentuk band Bunkface. Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, band yang popular dengan lagu Bunk Anthem, Prom Queen, Revolusi dan Situasi itu terus harum sehingga hari ini.

Siapa sangka pada saat band seangkatan mereka berada dalam situasi tenggelam timbul, sebaliknya Bunkface terus muncul dengan album ketiga yang berjudul Malam Ini Kita Punya.

Bertemu dengan Sam, Youk dan Paan ketika penggambaran klip video lagu terbaharu, Malam Ini Kita Punya di Helipad Menara KH, Kuala Lumpur baru-baru ini terlihat jelas kematangan mereka bertiga.






Berbeza pada awal kemunculan mereka. Setiap butir bicara kini difikirkan dengan jelas sebelum diluahkan kepada pihak media.

"Lapan tahun melalui asam garam dunia seni banyak mematangkan kami. Kami mula bermain muzik pada usia belasan tahun. Sekarang pada usia 20-an, rasanya sudah cukup untuk kami menikmati zaman remaja.

"Fokus kami buat masa ini hanyalah meluaskan lagi empayar muzik Bunkface dan perancangan masa depan kami semua. Masa bermain sudah tamat," kata vokalis Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar Mohd. Baharom.

Luahan Sam itu disambut oleh Paan yang menyifatkan pengalaman mereka dalam industri seni telah mengeratkan lagi keakraban mereka bertiga sebagai sahabat dan mengutuhkan lagi Bunkface.

"Secara peribadi kami bertiga merupakan tiga individu yang berbeza, idola muzik kami juga berlainan. Namun, apabila bersama Bunkface, kami mempunyai misi yang sama.

"Tipulah kalau kami tidak pernah bergaduh. Semua band akan menghadapi banyak isu tetapi atas dasar hormat dan juga faham keperluan antara satu sama lain. Hasilnya, Bunkface terus wujud sehingga hari ini," ujar Paan.

Justeru itu, mereka bertiga tidak pernah menyekat kemahuan setiap anggota yang melakukan pekerjaan luar daripada Bunkface.

"Kami bertiga mempunyai projek khas sendiri. Sam bersama band The Azenders, Youk pula dengan perniagaan pakaian dalam talian dan saya juga mempunyai perniagaan sendiri.

"Jadi, masing-masing mempunyai projek sendiri, tidak wujud perasaan tidak puas hati. Apabila kami fokus pada Bunkface, semua projek lain diketepikan buat sementara waktu," terang Paan atau nama sebenarnya, Ahmad Farhan yang merupakan pemain gitar Bunkface.

Sambung Sam, dia mahu Bunkface terus wujud dalam industri muzik selagi hayat di kandung badan. Katanya, dia mahu Bunkface menjadi sebuah band yang terus aktif berkarya walaupun usia mereka sudah lanjut kelak.

"Jika betul cara pengurusan sebuah band dan pembikinan karya yang jujur dari hati bukan kerana wang, rasanya rezeki itu akan lebih panjang berbeza dengan lagu yang dibuat untuk wang, ia mungkin popular tetapi untuk tempoh yang singkat.

"Saya mahu buktikan, menjadi pemuzik dalam sebuah band tempatan merupakan suatu kerjaya profesional dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Perkara itu dibuktikan oleh band di luar negara tetapi senarionya agak berbeza di Malaysia," terang Sam.

Dilayan seperti sampah

Bercerita tentang pengalaman mereka selama lapan tahun dalam industri seni, kata mereka bertiga, ada pahit dan manisnya.

Manisnya, mereka menerima beberapa anugerah besar dan lagu mereka berada di tangga teratas carta radio seluruh negara. Pahitnya, mereka ditipu penganjur dan dilayan seperti sampah meskipun ketika nama Bunkface sudah besar di Malaysia.

"Isu band tempatan dianak-tirikan bukan satu perkara baharu. Tanyalah mana-mana band yang masih aktif, semuanya melalui perkara yang sama, cuma mereka tidak mahu menyuarakan masalah itu.

"Jika orang lain tidak mahu bersuara, biarlah saya yang bercakap. Kami pernah dijemput ke beberapa buah konsert besar yang turut disertai oleh band luar negara.

"Malangnya bilik menunggu tidak ada, apatah lagi makan dan minum. Bukanlah kami minta dilayan seperti raja tetapi tidak adil untuk kami berdiri di tepi pentas berjam-jam, sebaliknya band luar negara diberi layanan kelas pertama.

"Ada juga kes kami pulang tanpa menerima sebarang bayaran kerana tidak sempat membuat persembahan disebabkan masa suntuk.

"Sayangnya penganjur itu orang tempatan, berbeza dengan penganjur dari luar negara yang melayan kami sama rata dengan penyanyi antarabangsa," balas Sam.

Jelas Youk pula sejak terkena layanan sedemikian beberapa kali, Bunkface mula memilih tawaran yang datang kepada mereka.

"Bagi saya, kami harus memilih untuk kami terus bertahan. Sebab itu banyak band seangkatan kami sudah tidak aktif. Kami terlalu bersabar sebab itu Bunkface masih ada.

"Itu belum masuk bab bayaran lagi. Selalunya band dibayar murah sedangkan kami bukan datang seorang. Kita harus ubah cara pemikiran orang kita bahawa setiap hiburan ada harga yang perlu dibayar, bukannya percuma," tutur Youk pemain bass Bunkface penuh serius.




Album terbaharu

Menyentuh tentang album terbaharu Bunkface yang berjudul Malam Ini Kita Punya, semua lagu dalam album ini dihasilkan oleh Sam, sama seperti album terdahulu mereka.

Bukanlah gila berkarya, sebaliknya kebebasan itu diberi oleh anggota yang lain kerana mempercayai kemampuan Sam.

"Album ini lebih matang tetapi mengekalkan identiti Bunkface yang agresif dalam setiap lagu. Saya lebih senang mencipta lagu yang ringkas tetapi mesejnya sampai kepada peminat.

"Biasanya lagu-lagu saya liriknya terarah kepada isu semasa yang sedang melanda Malaysia. Bukan hanya cinta sahaja," kata Sam.

Luah Sam lagi tentang album yang diterbitkan oleh Sony Music Malaysia itu, kesemua lagu ciptaannya tidak memerlukan terlalu banyak alat muzik atau elemen elektronik tambahan.

Bukan tidak mahu mengikut trend semasa tetapi kata Sam dia lebih senang mencipta lagu yang bunyinya sama dalam album dan ketika mereka mendendangkan lagu itu secara langsung.

"Kalau saya letak terlalu banyak elemen tambahan ia kedengaran bagus di dalam album tetapi apabila kami bermain secara langsung, bunyinya tidak sama seperti dalam album.

"Saya tidak mahu peminat yang datang ke persembahan kami berasa tertipu. Jadi, apa yang ada dalam album itulah yang kami hidangkan kepada peminat dalam setiap persembahan Bunkface," terang Sam yang turut menyelitkan pengalaman peribadinya dalam album terbaharu itu.

Album Malam Ini Kita Punya yang mengandungi tujuh lagu seperti Malam Ini Kita Punya, Kembali, Rentak Laguku, Darah Muda, Orang Kita, Goyang dan Anugerah Syawal itu akan dilancarkan pada Oktober depan.

View the original article here

Wednesday, 10 September 2014

Penganjur Malaysia Layan Bunkface Macam Sampah!

Penganjur Malaysia Layan Bunkface Macam Sampah! | "Kami sudah banyak kali terkena layanan macam sampah yang diberikan pihak penganjur untuk pembukaan konsert-konsert artis luar negara.

Penganjur Malaysia Layan Bunkface Macam Sampah!

"Sudahlah tidak disediakan bilik menunggu, malah kami terpaksa berdiri menunggu di tepi pentas sehingga masa persembahan bermula, ada juga yang kami tidak sempat buat persembahan kerana mereka kata sudah tidak cukup masa dan balik tanpa sebarang bayaran pun,"

Bunkface kini telah menolak tawaran untuk melakukan persembahan pembukaan konsert artis luar negara kerana sering kali menerima layan berat sebelah daripada pihak penganjur.

Vokalis Bunkface, Sam berkata, pihak penganjur tidak menghormati dan menyediakan kemudahan yang sepatutnya diberikan kepada artis tempatan yang dipilih sebagai pembuka persembahan konsert artis luar negara.

Perkara tersebut membuatkan mereka serik untuk menerima undangan nyanyian sebagai artis pada pembukaan sesebuah acara hiburan terutama bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, penganjur konsert seharusnya memberi layanan yang sepatutnya kepada artis-artis tempatan dan bukan terlalu mengagung-agungkan artis luar.

"Bila saya bercakap tentang ini, orang nampak seperti saya seperti terlalu demand, namun saya hanya ingin artis-artis tempatan yang buat persembahan pembukaan diberi kemudahan yang baik.

"Dulu kami memang antara kumpulan yang seringkali dipanggil untuk buat persembahan setiap kali penganjuran konsert-konsert daripada artis luar. Bagi saya persembahan pembukaan sesuai untuk kumpulan baru dari segi promosi mereka," ujarnya.

sumber
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/09/09/bunkface-dilayan-macam-sampah/

View the original article here