Showing posts with label Haslam. Show all posts
Showing posts with label Haslam. Show all posts

Monday, 3 November 2014

MENARIK!!! Yusof Haslam Bercakap Dengan Jin?


Hasrat penerbit filem Skop Production iaitu Datuk Yusof Haslam untuk mengadaptasi novel seram yg popular sekitar tahun 1980an iaitu Bercakap Dengan Jin tercapai apabila Astro berbesar hati untuk menayangkannya di saluran Mustika HD.

Memetik laporan di mStar online, Yusof berkata, sebelum ini beliau pernah untuk menerbitkan naskhah tersebut untuk dijual di sebuah stesen televisyen namun gagal kerana ketika itu cerita-cerita seram tidak digalakkan untuk tayangan umum.


Akhirnya impian saya untuk jayakan adaptasi novel seram popular pada tahun 1980an ini tercapai juga.

Dulu memang ada usaha untuk terbitkannya tetapi ketika itu cerita-cerita seram sebegini tidak begitu digalakkan oleh kerajaan, ujarnya.

Drama 13 episod ini bakal disiarkan pada setiap Selasa, pukul 10 malam di Mustika HD (saluran 134) dan Astro Bella (saluran 133) bermula 4 November ini.

Sementara itu, Yusof berkata, cabaran utamanya adalah berhadapan dengan tahap kesihatan pelakon veteran Datuk Rahim Razali yg terpaksa menjalani penggambaran 14 hari tanpa henti.

Disebabkan perkara tersebut juga pelakon berusia 75 tahun itu jatuh sakit akibat terlalu penat.


Saya rasa bersalah dengan Datuk Rahim Razali yg jatuh sakit ketika penggambaran sehingga dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Alhamdulillah dia sihat dan boleh menyambung penggambaran tersebut, kalau tidak pening juga saya untuk mencari penggantinya, ujar Yusof.

Selain itu katanya, cabaran daripada segi penggunaan imej janaan komputer (CGI) untuk beberapa babak dalam drama tersebut memerlukan kos agak tinggi.

Diarahkan oleh pengarah Londo Zawawi dan C. Kumaresan, 'Bercakap Dengan Jin' adalah kisah benar yg dilalui oleh penulis iaitu Tamar Jalis tentang pengalaman datuknya iaitu seorang pengamal perubatan tradisional di sekitar negeri Perak.

Selain Rahim, pelakon lain yg turut membintangi drama ini ialah Pekin Ibrahim, A.Galak dan Oktavia Manrose.

 


View the original article here

Wednesday, 3 September 2014

Yusof Haslam ikon industri hiburan



PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Ikon Malaysia kepada Yusof.

DI SEBALIK kegemilangan dan kejayaan cemerlang dalam bidang penerbitan drama dan filem, ada sisi lain yang bakal disingkap daripada diri Datuk Yusof Haslam.

Pengarah prolifik itu bakal ditampilkan dalam sebuah program khas dokudrama 1Malaysia Ikon yang telah memulakan siaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 bermula 22 Ogos hingga 22 September depan.

Tersenarai antara 13 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang dan bidang, siaran selama satu jam bermula pukul 7 malam itu akan menampilkan wawancara santai berserta lakonan semula kehidupan tokoh negara ketika zaman remaja dan awal pembabitan dalam bidang masing-masing.






Yusof yang terpilih sebagai satu-satunya tokoh daripada cabang seni, menyambut baik usaha tersebut yang sekali gus mengiktiraf sumbangan anak seni sepertinya.

“Saya amat berterima kasih dengan pengiktirafan yang diberikan memandangkan suatu ketika dahulu keringat anak seni kurang diberikan perhatian serius.

“Diharapkan dengan adanya program televisyen seperti ini sedikit sebanyak boleh memberikan suntikan inspirasi kepada pelakon, pengarah dan penerbit baharu untuk tidak mudah berputus asa,” ujarnya yang ditemui usai majlis pelancaran 1Malaysia Ikon di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Yusof, setelah disunting untuk terbabit dalam program tersebut, dia memang sudah bersedia untuk berkongsi pengalaman awal dan sejarah silamnya sebelum bergelar penerbit, pengarah dan pelakon.

“Selama 30 tahun merupakan perjalanan yang amat panjang sebagai seorang anak seni dan ruang masa yang tidak boleh diputar kembali ini merupakan pengalaman emas yang mampu saya kongsikan sebagai sebuah cerita,” kongsi Yusof.

Sementara itu, menurut pengarah dan penerbit bersama 1Malaysia Ikon, Ismail Bob Hasim, rancangan tersebut akan memberikan inspirasi kepada generasi muda terutamanya selain berkongsi kehidupan silam tokoh negara yang banyak menyumbang jasa dalam pembangunan pelbagai sektor di Malaysia.

“Pelbagai bangsa daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran akan mengisi slot selama satu jam siaran 1Malaysia Ikon yang bakal bermula tidak lama lagi.

“Memang nampak mustahil pada mulanya untuk mendapatkan ruang menemubual tokoh-tokoh negara tersebut memandangkan jadual mereka memang padat tapi hasil usaha lebih enam bulah akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran untuk mendapatkan slot temu bual daripada jadual yang padat, Ismail Bob memuji sikap merendah diri dalam memberikan kerjasama yang optimum.




“Antara perkara yang dapat saya rumuskan sepanjang usaha menerbitkan rancangan ini, kebanyakan tokoh negara yang berjaya hari ini bukan daripada keluarga yang berada dan ada antaranya yang pernah beberapa kali berdepan muflis.

“Malah, ada juga yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi tapi berbekalkan iltizam dan semangat yang tidak mengenal putus asa, akhirnya mereka berjaya menggapai cita-cita yang diidamkan sejak kecil,” jelasnya yang paling tersentuh dengan kehidupan peribadi ahli politik Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Program yang menelan belanja lebih RM900,000 itu dinaungi oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, merangkap Pengasas Marhaen Production yang menjadi penerbit bersama syarikat produksi Ismail Bob, Shapeway Entertainment Sdn. Bhd.

Selain Yusof, ikon negara lain ialah Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Datuk Seri S. Samy Vellu, Datuk Jimmy Choo, Tan Sri Tony Fernandez, Tan Sri Vincent Tan, Datuk Marina Chin, Datuk Doraisinggam Pillai dan Datuk Ahmad Kemin.

View the original article here

Friday, 23 May 2014

Yusof Haslam Kecewa Lembaga Penapisan Filem Berat Sebelah

Dengan pelbagai elemen menghiburkan diadun ke dalam penceritaan filem Abang Long Fadil antaranya babak Imej Janaan Komputer (CGI) inspirasi watak Bumblebee daripada filem Transformers, pastinya klasifikasi di bawah kategori 18PL sedikit mengecewakan pengarahnya, Syafiq Yusof dan Datuk Yusof Haslam selaku produser filem ini.



Yusof Haslam yang ditemui pada sidang media selepas majlis pratonton filem ini malam kelmarin mengakui berasa ralat dengan keputusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) itu.

“Terus terang saya berasa sedikit kecewa dan tidak tahu mengapa LPF akhir-akhir ini menjadi terlalu tegas. Pihak di sana memaklumkan mereka menonton ini sebanyak tiga kali kerana cuba untuk memberikan P13, tetapi akhirnya terpaksa mengkategorikannya sebagai 18PL.

“Filem antarabangsa Godzilla lagi dahsyat unsur ganas yang diketengahkan, tetapi diluluskan sebagai P13. Hendak bantu industri filem kalau beginilah caranya, kita fikirlah sendiri.

“Saya sebagai Presiden Persatuan Pengeluar Filem merasakan perkara sebegini tidak seharusnya berlaku, apatah lagi keadaan suasana pasaran filem tempatan yang merudum sekarang ini.

“Sebagai orang lama dalam industri perfileman, saya sendiri apabila terdapat babak yang rasanya tidak sesuai, kita sendiri akan potong. Untuk pengetahuan ramai, sebanyak sembilan babak dalam filem ini dibuang,” katanya.

Yusof berkata, kebanyakannya adalah babak komedi yang boleh membuat penonton mengekek ketawa tetapi pihak LPF mendapati ia ada unsur ‘double meaning’, jadi kita akur dengan keputusan itu. Kita tidak menafikan peranan mereka walaupun ada drama televisyen yang lebih ekstrem serta berbaur lucah tetapi boleh pula lepas,” jelasnya.

Beliau berkata, pembikin filem tempatan walaupun ramai semakin berani melakukan eksperimen tetapi belum sampai ke tahap ekstrem. Malah, sebagai pembikin filem, dia setuju jika ada filem tempatan yang melanggar tatasusila, adat dan sebagainya harus diberi pemantauan yang ketat.

Syafiq pula ketika diminta bercerita mengenai idea pembikinan Abang Long Fadil berkata, ia sebuah karya bercita rasa filem antarabangsa dari segi garapan dan pengarahannya.

“Pembikinan filem ini diinspirasikan daripada filem Hollywood, Hong Kong dan Tamil seperti Padayappa, Kungfu Hustle dan Bad Boys. Memandangkan Abang Long Fadil sebuah filem komedi, saya boleh bereksperimen selain memaksimumkan penggunaan CGI. Apabila bercakap mengenai CGI, ia sinonim dengan watak dalam Transformers,” katanya.



Salah satu babak.

Ditanya adakah dia tidak bimbang dikatakan mencuri idea dan dikenakan sebarang tindakan menggunakan dua watak seakan-akan Iron Man dan Bumblebee itu, Syafiq berkata, watak CGI yang ditampilkannya itu hanya menyerupai tetapi tidak 100 peratus.

Apa yang menarik mengenai filem ini, dalam memberi hiburan kepada penonton, ia diperkuatkan dengan isu mempertahankan harta orang Melayu apabila memilih Kampung Baru sebagai simbolik memandangkan kawasan penempatan yang bernilai ratusan juta ringgit itu menjadi rebutan banyak pihak untuk melaksanakan projek pemba–ngunan.

Abang Long Fadil adalah sebuah filem gengster komedi berbentuk parodi dan yang lebih menarik lagi, ia adalah kesinambungan daripada filem KL Gangster arahan abangnya, Syamsul Yusof yang pernah mencipta sejarah kutipan ‘box-office’ tertinggi dalam industri perfileman tanah air pada 2011.

Selain Zizan Razak selaku Abang Long Fadil, filem yang menggunakan hampir 60 peratus teknik kesan khas dan bakal menjengah pawagam pada 29 Mei ini, turut menampil–kan pelakon hebat lain antaranya Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Soffi Jikan, Tauke Raja Lawak, Yassin Senario, Arman Graseka dan Harun Salim Bachik. -Harian Metro