Showing posts with label mencari. Show all posts
Showing posts with label mencari. Show all posts
Monday, 17 November 2014
Nenek 70 Tahun Hidup Merempat Mencari Sesuap Nasi
Selama 20 tahun, Nenek Nasih tinggal di kawasan perkuburan Cina di kawasan Jakarta Timur, dengan rumah ala kadar yang tidak layak di Huni. Seharian Nenek Nasih mencari bunga Kemboja dan plastik sampah.
Dengan umurnya yang sudah 70 Tahun, Nenek Nasih memanjat pohon Kemboja di sekitar kawasan perkuburan Cina di kawasan Jakarta Timur, untuk mengambil bunganya dan dijual pada harga Rp. 80.000 / kilo.
Selama 2 minggu, Nenek Nasih dapat mengumpulkan bunga Kemboja yang dicarinya di area sekitar perkuburan Cina, Jakarta Timur, sebanyak 1 kilogram. Nenek Nasih menjualnya dengan harga Rp.80.000 / kilo ..
Walau sudah berumur 70 Tahun, nenek Nasih masih bersemangat untuk memanjat pohon Kemboja dan mencari sampah plastik untuk dijual dengan harga yang tidak setanding dengan perjuangannya.
Tuesday, 2 September 2014
Ummi Nazeera mencari diri

UMMI NAZEERA tenang mengatur langkah. Sambil membetulkan kedudukannya, pelakon filem Hikayat Merong Mahawangsa itu menguntum senyum. Diajukan soalan sulung pada pertemuan petang Rabu lalu sempena majlis meraikan calon lima terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) mengenai proses penghijrahannya, dahinya berkerut tanda dia mendengar dengan serius sebelum membuka bicara.
"Segalanya bermula pada hujung tahun lalu, seminggu sebelum peperiksaan akhir di universiti saya, Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) di Melbourne, Australia.
"Ketika itu berlaku sedikit perselisihan faham dengan beberapa teman rapat saya di sana hingga membuatkan jiwa ini sangat kosong.
"Terdetik pada waktu itu saya masih ada Allah yang tidak pernah menjauh dari saya dan hanya Dia satu-satunya yang ada ketika tiada sesiapa di sekeliling saya.
"Sepanjang malam saya menangis dan perlahan-lahan saya mula bertudung dan mendalami ilmu agama Islam. Saya cuba mengukuhkan tiang agama saya dengan mendirikan solat lima waktu dan senjata paling kuat yang saya ada ketika itu adalah doa," jelasnya pada pertemuan singkat di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bebas
Meneruskan bicara kata Ummi, 24, selepas mula berhijab dia berdepan satu perasaan yang berolak-olak dan berombak dalam relung hatinya. Tidak terbendung hingga kadangkala membuatkan air matanya sendiri mengalir.
"Pada mula saya bertudung, saya bergelut melawan perasaan saya sendiri sampaikan hampir setiap malam saya menangis.
"Apabila saya berhijrah ke Melbourne, Allah tidak pernah 'menampar' 'saya malah diberikan pula kebebasan kepada saya.
"Jauh daripada keluarga dan beroleh kebebasan yang saya mahukan selama ini akhirnya menemukan saya dengan perasaan serba kosong dan memaksa saya mencari agama saya, Islam.

HATI Ummi Nazeera kini terbuka untuk cinta tetapi seboleh-bolehnya dia mengelak bercinta dengan sesiapa buat masa ini kerana mahu memperbaiki diri terlebih dahulu.
"Yang menguatkan kembali emosi dan jiwa saya hanya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Saya belajar untuk mengaji dan semakin hari dalaman saya secara semula jadinya mahu belajar banyak perkara yang selama ini saya terlalai dan leka. Sungguh indah Islam itu," sambung Ummi lagi.
Batasan
Mengakui hasrat untuk berhijab sebenarnya sudah lama terdetik dalam hatinya, kata empunya nama penuh Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, ada masa dia merasakan komitmen dalam industri hiburan mengehadkan matlamatnya.
"Saya risau apabila bertudung nanti saya akan terbatas dan tidak banyak watak yang boleh saya bawa, tapi kerisauan itu tidak sebesar nikmat dan rezeki yang Allah anugerahkan selepas saya berhijab.
"Syukur Alhamdulillah, tawaran berlakon masih ada cuma saya yang terlalu selektif dalam pemilihan naskhah dan watak.
"Sebenarnya memang dari dahulu lagi pun saya sangat menitik beratkan mengenai komitmen dalam berlakon kerana saya akan memberikan sepenuh jiwa apabila berada di depan kamera.
"Insya-Allah, jika ada karakter dan skrip yang bagus dan kena dengan jiwa saya, pasti saya terima," ujarnya yang menyasarkan untuk berlakon dalam filem berkonsepkan kemanusiaan.
Usai tamat pengajiannya di RMIT dalam jurusan Sarjana Muda Perniagaan bulan Disember tahun lalu, Ummi kini memberikan khidmat sepenuhnya di syarikat keluarganya, Pointray (Malaysia) Sdn. Bhd.

PERUBAHAN imejnya banyak membawa kepada perjalanan hidup yang serba baharu.
Lari media
Sementara itu, Ummi menjelaskan tindakannya yang dianggap melarikan diri daripada media sebenarnya kerana khuatir kondisi peribadinya terjejas apabila mula berkongsi cerita kepada masyarakat.
"Saya masih baru berhijab ketika itu, dalaman saya masih lemah dan memang saya terpaksa mengelak daripada berjumpa media atau berkongsi cerita kepada orang ramai.
"Bimbang tindakan itu membuatkan diri saya menjadi riak. Perkara itu membuatkan saya cuba mengelak hingga akhirnya pada bulan Mei saya memberanikan diri untuk berkongsi kisah peribadi ini," ujarnya.
Ummi diusik pertanyaan mengenai kisah hati, barangkali kini dia sedang melalui fasa cinta baharu setelah kisah silamnya memberikan tamparan hebat buat anak jati Kuala Lumpur itu.
"Saya buka hati saya tapi harus pandai memilih yang betul-betul sesuai, bukannya terima sesiapa saja bulat-bulat. Saya tidak mahu bercinta lagi kalau boleh, prioriti sekarang adalah mengubah dan memperbaiki diri saya sebelum menguruskan hal rumah tangga," tegasnya.
Lima terbaik
Menerusi FFM26 tahun ini, Ummi tersenarai antara lima finalis Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak Murni dalam filem Penanggal arahan Ellie Suriaty.
Mengakui terdetik perasaan segan menonton kembali lakonannya terdahulu, kata Ummi tindakan terbaik yang mampu dilakukannya kini adalah mengawal diri sendiri.
"Saya dicalonkan untuk watak saya yang belum bertudung, orang tidak akan bercakap apa-apa kerana perkara itu sudah lepas. Perasaan segan itu memang ada.
"Yang lepas biarkan berlalu, apa yang boleh saya kawal sekarang saya akan lakukannya dan menjaga sebaik mungkin perkara yang melibatkan imej dan maruah saya.
"Alhamdulillah, saya dicalonkan untuk watak yang sangat menguji mental dan fizikal saya. Hampir setiap hari saya menangis kerana terlalu penat hingga tenaga saya hampir lumpuh sepenuhnya. Saya gembira dan berterima kasih kerana hasil kerja kami dihargai," simpulnya.
Friday, 29 August 2014
Tekken 2: Misi mencari identiti

BAGI kaki-kaki permainan video, permainan Tekken barangkali tidak lagi asing buat anda dan anda pastinya mengenali dan memahami setiap pergerakan permainan ini.
Setelah menemui penonton menerusi filem Tekken pada 2009, kini filem yang sekali lagi diadaptasi daripada permainan video berjudul sama ini kembali dengan Tekken 2: Kazuya’s Revenge.
Filem ini mengisahkan tentang jin yang terseksa akibat menghidapi penyakit amnesia dan dia mencuba untuk selidik siapa dirinya yang sebenar dan dalam masa yang sama telah dirinya telah diculik oleh satu organisasi penjenayah.
Keseluruhannya, filem ini adalah mengenai kisah balas dendam, mencari identiti dan aksi-aksi yang cukup mengagumkan.
Namun pada pandangan penulis, filem ini mungkin hanya akan mendatangkan keterujaan kepada peminat permainan video ini sahaja tetapi tidak pada peminat filem aksi atau filem seni mempertahankan diri.
Biarpun sarat dengan aksi-aksi pertarungan yang cukup mencemaskan, filem yang diarahkan oleh Wych Kaosayananda dan membariskan barisan pelakon seperti Kane Kosugi, Kelly Wenham, Cary Tagawa, dan Gary Daniels, tidak banyak bezanya dengan filem Tekken yang pertama.
Walaupun filem ini menampilkan hampir 99.9 peratus aksi pertarungan, ia belum cukup kuat untuk mengikat penonton supaya setia sepanjang tayangan kerana aksi pertarungan ditonjolkan agak lemah biarpun secara relatif ia lebih sempurna berbanding filem Street Fighter - Legend Of Chun Li, DOA mahupun Mortal Kombat.
Perbandingan pelakon
Cuma dari segi lakonan, Kane Kosugi nampak lebih berjaya menghayati jalan cerita filem ini berbanding pelakon Tekken yang pertama iaitu Jon Foo.
Barangkali kerana berdarah Jepun dan China membuatkan pemilihan dilihat lebih tepat, lebih-lebih lagi berkaitan rupa dan bentuk badan.
Malah lakonannya juga dilihat lebih hidup dan dia kelihatan garang bila membabitkan babak aksi.
Paling berkesan adalah kecelaruannya dalam mencari identiti yang sebenar.
Boleh dijangka
Selain itu, jalan ceritanya klise dan kurang memberi kesan, malah keghairahan mula hilang apabila dapat mengagak setiap pergerakan serta kesudahan cerita yang tidak tidak jauh berbeza dengan mana-mana kisah pembalasan dendam.
Pendek kata, tiada kejutan yang boleh dijangka daripada filem ini, namun apa yang penulis boleh katakan, Tekken 2 digarap lebih baik berbanding Tekken.
Dengan pengekalan beberapa pelakon lama di samping pelakon baru, filem ini barangkali akan menimbulkan keterujaan bagi mereka yang pernah bermain permainan video filem ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)




