Showing posts with label Berlakon. Show all posts
Showing posts with label Berlakon. Show all posts

Tuesday, 21 October 2014

Hanez Suraya masih ingin berlakon


DIGAM stesen televisyen, Hanez tidak mengambil hati sebaliknya reda dengan apa yang berlaku.

PERNAH menimbulkan kontroversi kerana bercinta dengan suami orang, kini Hanez Suraya mengakui, rezekinya dalam bidang lakonan sedang tersekat. Lebih parah lagi, namanya seakan-akan digam oleh stesen televisyen.

Bukan langsung tidak ada tawaran yang datang, bagaimanapun setiap kali namanya dicadangkan oleh pihak produksi kepada stesen televisyen, pasti ada sahaja penolakan. Semuanya gara-gara kontroversi hitam yang pernah tercipta.

Sungguhpun begitu, pelakon yang popular dengan drama Love You Mr. Arrogant itu enggan menyalahkan mana-mana pihak kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Biarpun keadaan tidak memihak kepadanya, Hanez reda apabila namanya kini digam pihak stesen televisyen.






Bagi Hanez, rezeki ada di mana-mana, namun jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan keadaan akan kembali normal seperti dahulu. Bukan mahu dijulang atau terus diulit populariti tetapi Hanez tidak mampu melupakan bidang lakonan yang sudah menjadi periuk nasinya selama ini.

Kosmo!: Adakah benar Hanez sudah tidak aktif sebagai pelakon?

HANEZ: Ya. Sekarang saya sudah tidak berlakon tetapi bukan kerana tidak ada tawaran sebaliknya nama saya dikatakan tidak akan mendapat kelulusan apabila dicadangkan oleh pihak produksi kepada stesen televisyen. Mereka bimbang kontroversi saya mengganggu perjalanan drama atau rating apabila drama disiarkan kelak. Saya faham dan saya reda dengan perkara itu.

Sejak bilakah tawaran lakonan anda semakin perlahan?

Sebenarnya, perkara itu berlarutan sejak kontroversi itu timbul lagi. Kontroversi saya mendapat perhatian satu Malaysia, tidak ada apa yang boleh saya lakukan kerana semuanya telah berlaku. Saya percaya rezeki ada di mana-mana, jika tidak di bidang lakonan, mungkin di bidang lain.

Adakah anda mengharapkan keadaan kembali seperti dahulu?

Sejujurnya, memang saya mahu keadaan kembali normal seperti sebelum kontroversi itu timbul. Mungkin saya harus berdiam diri buat sementara waktu, nanti apabila orang sudah lupa kontroversi itu, saya harap keadaan akan kembali seperti biasa.

Apakah anda serik apabila terlalu lantang dan terbuka tentang kisah peribadi sebelum ini?

Bukan serik, cuma kenyataan yang keluar daripada mulut saya diterima dengan cara berbeza oleh orang lain. Bagi mengelakkan perkara itu berlaku yang akhirnya memakan diri saya semula, lebih baik saya tidak berkongsi sebarang kisah peribadi selepas ini.

Bagaimanakah perasaan anda apabila kerjaya yang sebelum ini rancak, tergendala di tengah jalan kerana nama digam stesen televisyen?

Sedihlah sebab sebelum ini, apabila nama saya dicadangkan pihak produksi kepada stesen televisyen, tidak pernah pula ada sebarang penolakan. Bahkan, ada waktunya pihak stesen televisyen sendiri yang mencadangkan nama saya. Namun, siapa saya untuk menghalang mereka (pihak stesen televisyen) daripada berbuat demikian. Ramai lagi pelakon yang berbakat boleh diambil pihak stesen televisyen. Selepas kontroversi ini dilupakan orang ramai, memang saya berhasrat untuk kembali aktif berlakon.




Pada pendapat anda, apakah yang menyebabkan nama anda masih lagi ‘panas’ sedangkan kontroversi itu sudah lama berlalu?

Mungkin orang ramai masih tertunggu-tunggu apakah kesudahan kontroversi itu. Selagi belum ada sebarang kesudahan yang mutlak, nama saya masih tergantung di awangan dan masih lagi panas. Barangkali, selepas mereka tahu kesudahannya nanti, barulah nama saya kembali sejuk.

Selepas tidak aktif berlakon, bagaimanakah kehidupan anda?

Alhamdulillah, kehidupan saya seperti biasa dan tiada apa yang berubah. Saya masih Hanez yang dahulu, bezanya sekarang saya lebih banyak berehat. Walaupun sudah tidak aktif berlakon, rezeki saya terbuka dalam bidang yang lain. Sekarang saya sedang belajar berniaga secara kecil-kecilan. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya kongsi tentang perniagaan saya, andai semuanya berjalan lancar, barulah saya akan kongsi kepada semua.

View the original article here

Saturday, 4 October 2014

Che Ta, Zain tidak kisah jika bakal bayi berlakon iklan



BERBAHAGI rasa antara berdebar dan seronok, Rozita anggap Zain, orang yang paling tidak sabar menunggu kelahiran anak mereka.

BAKAL menimang cahaya mata tidak lama lagi, pasangan selebriti popular, Rozita Che Wan atau Che Ta, 41, dan suaminya, Zain Saidin, 30, nyata teruja menanti kehadiran penyeri baharu dalam hidup mereka.

Mereka juga tanpa berselindung meluahkan kata sepakat, tidak kisah sekiranya bayi dalam kandungan yang bakal dilahirkan pada bulan November itu terdedah kepada mana-mana program pengiklanan selepas ini.






“Jika ada mana-mana syarikat produksi pengiklanan menawarkan bayi kami nanti terlibat dalam iklan mereka, kami tidak kisah. Perkara itu tidak akan menjadi masalah kerana daripada situ juga, boleh menjadi sumber pendapatan dan simpanan untuk kegunaan bayi kami pada masa hadapan.

“Tetapi, itu semua terpulanglah kepada keadaan. Harus dikira juga sama ada bayi kami nanti mudah mesra dengan kamera atau tidak,” ujar Che Ta yang kini sarat menghitung hari.

Menurut Che Ta lagi, segala persiapan bagi menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka telah siap sepenuhnya. Dari segi persiapan tempat tidur sehinggalah pakaian bayi, segalanya telah dirancang sempurna.

“Alhamdulillah semuanya telah selesai. Katil bayi kami sudah siap hias, pakaian bayi juga sudah dibeli. Begitu juga dengan segala kelengkapan bayi yang lain. Sekarang, hanya menunggu sahaja masanya bila si kecil kami akan keluar,” ujar Che Ta manis sambil mengusap lembut kandungannya.

Pasangan itu ditemui dalam majlis pelancaran program realiti Pureen Chak Chak Che Ta & Zain di Restoran Marmalade, Bangsar Village 2, baru-baru ini.

Menyingkap mengenai program baharu terbitan Astro itu, ia merupakan sebuah program yang memaparkan fasa kehidupan Che Ta dan Zain dalam meniti hari bergelar ibu dan bapa. Bermula dengan momen persiapan menyambut kehadiran cahaya mata, detik-detik cemas ketika ingin bersalin dan sehinggalah kepada pengalaman awal dalam membahagikan masa untuk karier dan anak.

Selain kisah kehidupan baharu Che Ta dan Zain, program yang akan menemui penonton bermula Disember menerusi saluran Astro Ria itu, turut menampilkan pasangan selebriti popular Scha Alyahya dan Awal Aashari dengan bayi mereka, Lana Alana.

Mengakui teruja, Che Ta juga nyata berdebar memikirkan saat-saat kelahiran bayinya nanti. Setelah hampir 16 tahun tidak melalui fasa hamil dan bersalin, perasaan cemas tidak dapat diketepikan. Hasil perkahwinan terdahulu, Che Ta sudah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.




“Saya tidak mampu hendak menafikan betapa berdebar dan takutnya saya walaupun sudah berpengalaman melahirkan dua orang anak sebelum ini. Pengalaman bersalinkan Ammar dan Aniq itu sudah lama dahulu. Ketika itu saya masih muda.

“Sekarang, pada usia 40-an begini, saya tetap berasa takut. Namun, perasaan berdebar itu bercampur-campur dengan rasa teruja, seronok dan tidak sabar,” ujarnya ceria.

Berkongsi sisi cerita tentang si suami, dalam berseloroh Che Ta mengatakan bahawa Zain merupakan orang yang lebih teruja berbanding dirinya untuk menyambut kelahiran cahaya mata mereka. Lelaki yang dikahwini pada tanggal 12 Disember 2013 itu seperti sudah tidak sabar untuk menatap bukti cinta mereka.

“Tentunya dia yang paling teruja dan tidak sabar sebab ini pengalaman pertama Zain untuk bergelar ayah. Walaupun begitu, saya juga sangat teruja dengan kelahiran ini nanti, memandangkan bayi dalam kandungan ini bakal jadi anak perempuan pertama saya. “Kami sama-sama teruja,” tutup Che Ta sambil ketawa mengekek.

View the original article here

Friday, 3 October 2014

Rozita Che Wan Bersedia Anak Berlakon Iklan


Pelakon Rozita Che Wan sedia menerima tawaran mana-mana pihak yang ingin mengambil bayi perempuannya yang dijangka bakal dilahirkan November ini untuk terlibat dalam sebarang aktiviti periklanan.

Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 41, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan anaknya di bidang seni dari awal lagi kerana menyifatkan ia satu rezeki simpanan masa depan.






"Saya dan Zain tidak mempunyai masalah jika ada pihak yang ingin menawarkan anak kami terlibat dalam pengiklanan atau apa-apa yang berkaitan bidang seni.

"Kerana itu adalah rezeki buat anak. Tetapi terpulanglah, saya pun tidak boleh nak mengagak adakah bakal anak saya ini sejenis yang mesra kamera atau tidak," katanya.

Rozita ditemui pada majlis pelancaran program realiti Pureen Chak Chak Che Ta & Zain di restoran Marmalade, Bangsar Village 2, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Rozita berkata,dia teruja menantikan kelahiran anaknya dan sudah pun membuat segala persiapan buat bayi yang bakal lahir itu.



Rozita tampak anggun walaupun sedang sarat mengandung. RAJA FAISAL HISHAN/The Star

"Saya harap sangat semuanya berjalan dengan lancar. Sebelum bersalin nanti saya juga akan mengamalkan minum air bunga akar Fatimah. Ia bertujuan bagi memudahkan proses kelahiran nanti," ujarnya.

Selain bayi yang bakal lahir, Che Ta turut mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinannya terdahulu iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.

Mengenai program realiti Pureen Chak Chak Che Ta & Zain, ia bakal bersiaran bermula 1 Disember depan menerusi saluran Astro Ria (104).

Program itu memaparkan perubahan fasa hidupan Rozita dan Zain dalam persediaan menimang cahaya mata.




"Tengoklah nanti gelagat kami dalam membuat persiapan menantikan kelahiran anak.

"Zain yang paling teruja dan lihatlah betapa kami beria menghias katil anak, dah macam sarung baju pula," selorohnya.

Pada pelancaran Pureen Chak Chak Che Ta & Zain, turut hadir Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad dan Pengurus Besar Summit Company (Malaysia) Sdn Bhd, L.H Ong.

View the original article here

Monday, 22 September 2014

Fathia Belum puas berlakon



FATHIA kini sedang mempersiapkan diri. Katanya projek terbaharunya bakal memulakan penggambaran sekitar hujung bulan September depan dan atas alasan munasabah dia tidak menerima tawaran berlakon lain buat masa sekarang.

"Saya masih aktif berlakon dan masih teruja setiap kali diberi tawaran. Lakonan ialah minat saya. Hujung bulan nanti, saya akan masuk ke set penggambaran drama bersiri Bercinta untuk slot Samarinda di TV3.

"Saya langsung tiada niat untuk berhenti berlakon buat masa terdekat ini. Selagi kerja saya diterima oleh peminat dan mereka masih mahukan saya di kaca televisyen, saya akan terus berlakon.






"Selalunya selepas selesai sesebuah penggambaran sesebuah drama bersiri, saya akan berehat panjang, kumpul tenaga balik sebelum kembali ke set penggambaran yang baharu. Saya tidak suka kerja berterusan tanpa rehat kerana bimbang tidak dapat beri komitmen dan mutu lakonan yang terbaik," berikut penjelasan panjang lebar yang melenyapkan gosip sebuah akhbar mingguan baru-baru ini.

Tak mahu gopoh

Adakah lenyapnya Nur Fathia Abdul Latiff seketika selepas fenomena Ariana Rose menjadikan peminatnya panas punggung untuk melihat pelakon itu kembali beraksi di layar kaca?

Menjawab pertanyaan itu ulas Fathia, 27, dia enggan tamak dan terburu-buru menerima tawaran berlakon tanpa henti sampai perkara itu menjadi peluru yang membunuhnya suatu masa kelak.

"Pernah suatu ketika saya mengambil tawaran berlakon sejurus tamatnya penggambaran terdahulu. Kesannya kualiti lakonan saya pada tahap yang sangat teruk. Saya sendiri tidak berpuas hati!

"Sejak itu saya belajar untuk bertenang dan tidak tergopoh-gapah menerima semua tawaran. Saya nampak menghilang kerana saya sendiri pilih untuk berehat dan memperbaiki minda dan fizikal selepas berlakon drama rantaian yang memakan masa berbulan-bulan.


TIDAK muncul di kaca televisyen dalam jangka masa yang panjang, Fathia memberitahu, ia kerana dia sengaja berehat selepas menjalani penggambaran drama rantaian Ariana Rose.

"Berlakon bukan satu perkara yang wajib saya lakukan sampai nampak terdesak. Saya mahu bersiap-sedia, set semula minda dan membina karakter baharu," jelas penuntut jurusan Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu.

Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur itu bagaimanapun tidak menyangkal dakwaan bahawa tuduhan mahu berhenti berlakon itu wujud apabila dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon dalam suatu tempoh masa panjang selepas tamat siaran Ariana Rose sekitar Februari lalu.




Bertukar jadual

Bagaimanapun, jelas Fathia berlaku sedikit pertukaran jadual penggambaran drama Bercinta yang bakal dibintanginya menjelang hujung bulan September depan.

"Sepatutnya saya memulakan penggambaran drama itu pada awal bulan September, jadi saya terpaksa menolak semua tawaran berlakon kerana mahu fokus satu persatu.

"Namun, berlaku perubahan jadual hingga menyebabkan penggambaran itu terpaksa ditunda ke hujung bulan September depan. Mungkin itu sebabnya timbul dakwaan pihak tertentu yang terfikir saya sudah mahu berhenti berlakon," ujarnya.

Fathia juga mengakui kesan daripada kurangnya memuat naik foto di laman sosial Instagram miliknya serta tiada aktiviti kemas kini di Twitter mengundang pertanyaan ramai pihak berhubung statusnya terkini.

"Mungkin sejak kebelakangan ini wajah saya sudah jarang muncul di kaca televisyen dan saya juga sudah jarang memuat naik status tentang kerjaya dan gambar-gambar di lokasi penggambaran ke laman sosial.

"Jadi, peminat mungkin terfikir bahawa saya juga sudah tidak berminat untuk berlakon lagi. Mudah bagi saya, kalau tiada sebarang informasi berguna tidak perlu saya obses melampau di laman Instagram sampaikan setiap perkara perlu dikongsi," kata Fathia.


DRAMA rantaian Bercinta akan menjadi buah tangan terbaharu lakonan Fathia. Ia sekali gus menepis cerita tentang dirinya yang dikatakan sudah mahu bersara.

Berangan bintang Hollywood

Hal perkongsian alam maya juga menjadi pertikaian minggu lalu apabila sekeping foto yang dimuat naik di laman Instagram miliknya (@fatiyalatiff) disalah ertikan segelintir pelayar internet hingga menyifatkan pelakon terbabit berangan.

"Kapsyen yang saya telah tulis di foto berkenaan sudah terang-terangan menjelaskan bahawa saya tidak boleh mengambil foto di tengah-tengah jalan raya kalau di Malaysia nanti kena halau.

"Tapi ada pula segelintir pihak yang salah interpretasi saya suka dikejar peminat seperti seorang artis Hollywood. Tidak logik pula kerana kalau di luar daripada bidang kerja saya seperti orang biasa yang ke dewan kuliah dan keluar makan bersama-sama kawan lain.

"Untuk sampai ke taraf Hollywood rasanya jauh lagi perjalanan, entah-entah memang mustahil untuk saya sampai ke sana," jelasnya yang enggan melayan gosip tidak masuk akal seperti itu.

Sementara itu, diusik mengenai perancangan masa hadapan bersama teman lelakinya, Aiman Hakim Ridza, jawab Fathia:"Hubungan kami baik dan keluarga kami saling mengenali. Kami juga seperti pasangan yang lain, merancang untuk mengikat hubungan ini dengan perkahwinan. Buat masa sekarang, kami berdua terlalu sibuk. Mungkin dalam tempoh dua tahun lagi barulah kami boleh berfikir tentang perkahwinan."

View the original article here

Sunday, 21 September 2014

Kahwin Tak Sekat Mon Ryanti Aktif Berlakon


Mon Ryanti dan suami Mohd Hasrul selamat diijabkabulkan pada malam Sabtu lalu.

Pelakon baharu dan penyampai radio Ultra.FM, Mon Ryanti menganggap keputusannya mendirikan rumah tangga dengan Mohd Hasrul Ali, 26 ketika sedang bertatih mencipta nama bukan satu penghalang untuk dirinya terus aktif dalam dunia seni.

Mon Ryanti atau nama sebenarnya Haryanti Muhammad Sahudina Lee, 26, berkata, dia sentiasa percaya kepada bakat yang ada dan status perkahwinan bukanlah kayu pengukur seorang selebriti meraih populariti.






"Lepas kahwin saya saya akan terus aktif sebagai pelakon dan saya tidak menyesal berkahwin awal sebelum mencipa nama dalam industri.

"Saya hanya mengikut apa yang Allah sudah tentukan, saya pasti ada rezeki dalam bidang lakonan biarpun sudah berkahwin," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Mon Ryanti sah menjadi isteri kepada Mohd Hasrul Ali pada malam Sabtu lalu dengan sekali lafaz.


Pasangan dinikahkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Abu Bakar Datuk Mahat Mohd Said di Dewan Sangkar Kristal, Driving Range Golf Club, Jalan Pelangi, di Johor Bahru.

Mon Ryanti menerima mas kahwin sebanyak RM515.15 dan hantaran RM20,000.

Sementara itu, Mon Ryanti berkata, sebagai isteri dia tahu batasan apabila berlakon dengan lelaki lain dan menjaga maruah suaminya.




"Sudah tentu ada bezanya bila sudah bergelar isteri orang, saya tahu batasannya bila berlakon dengan lelaki lain dan utamakan maruah suami dan keluarga dahulu.

"Tapi kebiasaanya apa yang dilakonkan di drama adalah teknik kemera bukan berlakon betul-betul," katanya.

Tambahnya, dia bersyukur suaminya sangat memahami dan tidak pernah menghalang minatnya untuk terus berlakon.

Dalam perkembangan lain, Mon Ryanti baharu sahaja keluar dengan filem terbaharu berjudul Jin bersama pelakon Zul Ariffin di seluruh pawagam tanah air bermula 28 Ogos lalu.

View the original article here

Tuesday, 17 June 2014

Aidil Bidas Dakwaan Terpaksa Berlakon Kerana Cari Nafkah

Pemain bola sepak Johor Darul Takzim, Aidil Zafuan membidas dakwaan bahawa dia terpaksa melibatkan diri dalam bidang lakonan bagi menambahkan pendapatannya agar dapat membayar nafkah tertunggak kepada bekas isteri, Rita Rudaini.

Bercakap kepada mStar Online, Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, menyifatkan tuduhan itu seperti mengarut dan serta terkejut apabila ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan kontroversi itu.

Kata Aidil, penglibatannya dalam lakonan baru-baru ini sekadar ingin mencuba bidang baru dan langsung tiada kena mengena dengan nafkah. Tambah Aidil lagi, gajinya sebagai pemain bola sepak sahaja sudah mencukupi untuk memberi nafkah kepada anak.

Rabu lalu, Aidil telah memuat naik foto dia seperti sedang berlakon di sebuah lokasi penggambaran dengan meletakkan kapsyen 'At the set with wife @zaremazaina. #TheGlups'.

Menerusi foto tersebut ramai yang memberikan komen positif tanda mereka menyokong Aidil melibatkan diri dalam dunia lakonan. Tetapi ada juga pihak yang memberikan komen kononnya Zafuan menerima tawaran berlakon kerana ingin membayar nafkah tertunggak kepada bekas isterinya kira-kira RM100,000 itu.

Aidil bagaimanapun berkata dia enggan mengambil serius tentang komen-komen tersebut kerana menganggap ia tidak memberikan sebarang faedah dan hanya akan menambahkan masalah kepadanya.

Menyentuh tentang lakonan tersebut, Aidil akui dia kini terlibat dengan sebuah penggambaran, namun enggan mendedahkan secara terperinci sama ada ia sebuah drama ataupun filem.

Tambahnya, sebelum ini dia pernah ditawarkan berlakon tetapi hatinya tidak tergerak untuk menerima tawaran tersebut. Bagaimanapun entah kenapa kali ini dirinya bersedia menerima tawaran itu.

Bagaimanapun buat masa ini, Aidil berkata dia tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut tentang penggambaran itu dan meminta semua pihak menunggu sidang media yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ditanya adakah dia akan mula bergiat aktif di bidang lakonan pula, Aidil berkata dia masih mengutamakan kariernya sebagai pemain bola sepak.murai.com.

View the original article here